MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PEGASINGAN SISA DI PUNCA, KADUN AIR PUTIH
UCAPAN YAB TUAN LIM GUAN ENG, KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PEGASINGAN SISA DI PUNCA,
KADUN AIR PUTIH PADA 26 MAC 2017(AHAD) DI PENHILL CONDO A & B, PANGSAPURI PINANG INDAH
Selamat pagi dan salam sejahtera,
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada JKKK Encik Sim Kin Pin, Encik Ooi Soon Aun, Encik Chan Weng Chin (Pen hill Condo A & B) dan Jawatankuasa Pengelola Majlis yang sudi menjemput saya merasmikan majlis yang sederhana tapi cukup bermakna pada pagi yang mulia ini.
Saya sangat gembira dan berbesar hati untuk hadir dan berjumpa dengan penduduk Penhill Condo serta penduduk-penduduk kawasan sekeliling untuk Program Pengasingan Sisa Di Punca KADUN Air Putih. Ini menunjukkan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang yang lebih hijau sememangnya dipandang serius oleh masyarakat.
Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menetapkan 1 Jun 2017 untuk penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di seluruh Negeri Pulau Pinang.
Secara ringkasnya, pengasingan sisa di punca adalah suatu proses yang mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan di punca mengikut komposisi sisa pepejal iaitu sisa kitar semula (kertas, plastik, tin aluminium) dan sisa baki (sampah kotor dan sisa makanan).
Tujuan utama penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca di seluruh Negeri Pulau Pinang demi menjamin kesejahteraan masa depan kita semua. Antara tujuan lain adalah :
i) Untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menjaga keseimbangan eko sistem.
ii) Untuk mengurangkan kos pengurusan sisa
iii) Untuk mengurangkan penjanaan sisa yang semakin meningkat ke tapak pelupusan sampah
iv) Untuk memanjangkan tempoh hayat tapak pelupusan sampah Pulau Burong
Setiap penduduk di Pulau Pinang membuang lebih kurang 1.1 kg setiap hari. Ini bermakna lebih kurang 1700 – 1800 tan sisa dari seluruh Pulau Pinang dibuang ke tapak pelupusan sampah setiap hari. Saya difahamkan terdapat 2 buah Pihak Pengurusan / MC di Penhill Condo yang terdiri daripada 140 unit kediaman dengan anggaran seramai 700 penghuni.
Bayangkan 1 kg sampah di buang oleh seorang setiap hari, maka sebanyak 700 kg sampah yang perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burong. Lama kelamaan tapak pelupusan akan penuh dan adalah sangat mencabar mencari tempat baru di tempat lain. Jika 50% dapat dikitar semula maka cuma 350 kg perlu diuruskan.
Di Negeri Pulau Pinang, pertambahan penduduk adalah sebanyak 2% setahun. Secara langsung, akan meningkatkan pertumbuhan dari segi penjanaan sampah pada setiap tahun. Namun, sejak pelaksanaan dasar pengasingan sisa mulai 1 Jun 2016, Kerajaan Negeri telah berjaya mengawal pertumbuhan dari segi penjanaan sampah domestik yang dilupuskan ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong. Sebanyak 607.61 tan sehari dilupuskan pada tahun 2016 berbanding dengan 607.06 tan sehari pada tahun 2015 bagi kawasan pentadbiran MBPP.
Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukkan sebanyak RM94.27 juta dan RM101.73 juta masing-masing bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan pentadbiran masing-masing. Sejak Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar baru pengasingan sisa di punca ini bermula 1 Jun 2016 sehingga akhir tahun 2016, MBPP telah berjaya menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM1.59 juta manakala MPSP pula telah berjaya menjimatkan RM792,999 menjadikan keseluruhan sebanyak RM2.38 juta.
Dengan ini saya ingin menyeru agar kita semua dapat melibatkan diri dalam program Pengasingan Sisa Di Punca demi alam sekitar dan masa depan anak-anak kita mulai hari ini. Jika pihak pengurusan / MC / JMB sudah memulakan program ini dengan menyediakan tempat / tong-tong untuk pengasingan sisa sampah, terima kasih diucapkan.
Akhir kata, saya dengan ini mengumumkan pelancaran program pengasingan sisa di punca Kadun Air Putih. Sekian, terima kasih.