MAJLIS PERASMIAN LIF BARU DI PANGSAPURI SRI BAGAN
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN LIF BARU DI PANGSAPURI SRI BAGAN
25 FEB 2018
Selamat pagi dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada ADUN Bagan Dalam dan pihak pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Sri Bagan kerana menjemput saya untuk menghadiri Majlis Perasmian Lif Baru di Pangsapuri Sri Bagan pagi ini.
Pangsapuri Sri Bagan ini telah dibina pada tahun 1993 dan telah diabaikan oleh pemajunya JKP Sdn Bhd. JKP Sdn Bhd sebenarnya harus bertanggungjawab untuk memastikan semua kemudahan di pangsapuri ini lengkap sebelum diserahkan kepada Pebadanan Pengurusan. Tetapi ini tidak berlaku. Difahamkan JKP Sdn Bhd telah cuci tangan dan melepaskan tanggungjawab sahaja dan tidak mahu membuat sebarang pembaikan.
Walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang bukanlah merupakan pihak yang bertanggunjawab untuk memastikan kemudahan di pangsapuri ini berada dalam keadaan baik namun kami sebagai sebuah Kerajaan Negeri berjiwa rakyat bersedia untuk meringankan beban rakyat yang menderita tanpa mengira kaum dan latar belakang politik.
Saya difaham pangsapuri ini mempunyai 13 tingkat yang terdiri daripada 496 unit - 464 unit adalah untuk kediaman dan baki 32 unit adalah rumah kedai.
Penduduk di Pangsapuri Sri Bagan berasa seolah-olah dianiaya oleh JKP Sdn Bhd. Walau bagaimanapun, atas permintaan dan bantuan ADUN Bagan Dalam, saya telah membuat keputusan untuk memberikan peruntukan sebanyak RM264,000 untuk membaiki lif baru.
Saya turut difahamkan ada suatu ketika, keempat-empat lif di Pangsapuri Sri Bagan ini tidak berfungsi dan menyukarkan pergerakan penduduk di kawasan ini. Dan kini dengan bantuan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, baki 3 lif yang ada telahpun beroperasi sekarang.
Akhir kata, saya berharap penduduk di Pangsapuri Sri Bagan ini akan sentiasa bersama-sama menjaga kemudahan ini dengan baik supaya boleh diguna dan dinikmati oleh semua penduduk dalam tempoh masa yang panjang.
Sekian, terima kasih.