MAJLIS UPACARA 'TOPPING-UP' PROJEK PERUMAHAN 100% MAMPU MILIK ONE FORESTA, LENGKOK KELICAP, BAYAN BARU
Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang
Sempena Majlis Upacara 'Topping-Up' Projek Perumahan 100% Mampu Milik One Foresta, Lengkok Kelicap, Bayan Baru
17hb Mac 2018 (Sabtu)
Saya berasa gembira berada di sini untuk menyaksikan upacara 'topping-up' bagi Projek Perumahan 100% Mampu Milik - One Foresta yang dibangunkan oleh I-Global Property Network Sdn. Bhd.
Pemajuan projek perumahan mampu milik 100% ini yang dibangunkan di tapak seluas 2.727 hektar ini akan menyaksikan pembangunan 1,343 unit perumahan mampu milik berkeluasan 900 kaki persegi yang akan dijual pada harga RM300,000 setiap unit. Projek ini dijangka siap pada Disember, 2018.
Untuk makluman, sebanyak 24,227 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah telah siap dibina di kelima-lima daerah di Pulau Pinang antara tahun 2008 hingga 2017, berbanding dengan hanya 5,154 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang siap dibina secara fizikal antara tahun 1999 hingga 2007 dibawah pentadbiran BN.
Ini adalah satu pencapaian 5 kali ganda oleh Kerajaan Negeri ini berbanding dengan Kerajaan BN dalam pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah.
Selain daripada 24,227 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang siap dibina, sejumlah 74,161 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah serta rumah mampu milik kurang daripada RM 300,000 sedang dan akan dibina di Negeri Pulau Pinang.
Prestasi lemah Kerajaan BN yang dahulu di dalam penyediaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah ditambah teruk dengan kegagalan program-program perumahan mampu milik pusat seperti Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M), di mana sehingga hari ini satu unit PR1MA atau PPA1M menurut rekod kami pun belum siap dibina.
Ini adalah berbanding dengan 18 projek pelbagai jenis perumahan mampu milik iaitu rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik tidak melebihi RM300,000 sebanyak 27,306 unit bakal dibina oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui agensinya iaitu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Daripada 18 projek ini, 7 telahpun bermula dan di dalam pelbagai peringkat pembinaan seperti berikut:-
Bil |
Nama Projek |
Daerah |
Status |
1 |
Bandar Cassia |
SPS |
100% siap dengan CCC |
2 |
Dua Residensi, Teluk Kumbar |
DBD |
73% siap |
3 |
Kampung Jawa, Butterworth |
SPU |
91% siap |
4 |
The Rise, SP Chelliah |
DTL |
70% siap |
5 |
Kampung Kepala Gajah |
SPS |
14% siap |
6 |
Sandiland Foreshore |
DTL |
Majlis Pecah Tanah |
7 |
Ladang Byram |
SPS |
Majlis Pecah Tanah |
Selain daripada prestasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang begitu baik di dalam penyediaan perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik seperti mana dibuktikan melalui statistik yang saya sebut tadi, saya juga begitu gembira bahawasanya pihak swasta telah membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mencapai misinya di dalam pembekalan perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik.
Dengan itu, saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Alex Ooi dan Dato Joanne yang berjaya dalam projek ini dan kita akan saksikan upacara 'topping-up' bagi projek pembangunan perumahan mampu milik oleh pihak swasta sebegini dan berharap agar ia dapat disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan.