MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STPM TAHUN 2017 NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STPM TAHUN 2017

NEGERI PULAU PINANG

7 APRIL 2017 (SABTU)

AUDITORIUM A, KOMTAR

 

 

Yang Berhormat Prof. Dr. P. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II

 

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan;

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri;

 

Ketua-ketua Jabatan

 

Pengetua-Pengetua dan Guru-Guru Sekolah;

 

Para pelajar dan Ibu Bapa; seterusnya

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian.

 

Selamat pagi dan salam sejahtera.

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri (II) YB Prof Dr. P. Ramasamy, YB Wong Hon Wai dan Urusetia Majlis daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertungkus-lumus memastikan majlis bagi meraikan pelajar-pelajar cemerlang STPM 2017 pada hari ini dapat dijalankan dengan jayanya.

 

Berdasarkan maklumat, pada tahun 2017, seramai 28 orang calon STPM telah mendapat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0. Jumlah ini juga sedikit berkurang daripada pencapaian pada tahun lepas iaitu seramai 47 pelajar yang mendapat PNGK 4.0. Anda semua telah mengharumkan nama Pulau Pinang dengan pencapaian anda.

 

Walaupun begitu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih berasa amat berbesar hati untuk memberikan insentif kewangan sebanyak RM1,000 seorang berserta sijil kepada setiap pelajar cemerlang. Majlis hari ini juga turut meraikan 5 pelajar terbaik daripada setiap kaum dan 5 pelajar Khas Terbaik STPM. Pelajar-pelajar ini juga akan turut menerima wang tunai sebanyak RM1000.00 seorang berserta sijil. Selain itu, Kerajaan Negeri turut akan menyampaikan anugerah kepada 3 buah sekolah yang memperolehi keputusan keseluruhan terbaik. Tahniah kepada semua.

 

Sidang hadirin sekalian,

 

Saya mengharapkan kejayaan semua pelajar-pelajar akan menjadi sumber inspirasi kepada calon-calon STPM pada tahun ini.

 

Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat, kita sedaya upaya mempersiapkan diri menghadapi cabaran Revolousi Industri 4.0. Selaras dengan itu, segala usaha untuk memacu ke arah pendidikan yang berasaskan STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) amat dititikberatkan. Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM75 juta untuk pembelajaran STEM. Kami telah menubuhkan Penang Tech Dome dengan kos sebanyak RM28 juta, Penang Science Cafe sebanyak RM23 juta, pembinaan Penang Digital Library (PDL) sebanyak RM3 juta dan sedang membina PDL Fasa 2 sebanyak RM10.8 juta, serta membelanjakan RM6 juta untuk memberikan 120,000 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah kelas koding yang percuma, menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan teknologi.

 

Kerajaan Negeri juga telahpun menubuhkan Penang Future Foundation (PFF) iaitu satu program biasiswa bagi memudahkan pelajar-pelajar cemerlang di universiti tempatan. PFF tawarkan kepada pelajar-pelajar cemerlang dan berkelayakan dan keutamaan adalah untuk anak jati Pulau Pinang.

 

Untuk melahirkan golongan pelajar yang cemerlang, Kita perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah dan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata pepatah “bagai aur dengan tebing” dan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

 

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya di dalam peperiksaan STPM yang lalu. Tahniah juga diucapkan kepada para ibubapa, guru-guru dan juga semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan pelajar-pelajar ini. Teruskanlah berusaha untuk menghadapi pelbagai cabaran yang baru dan lakukanlah inovasi agar dapat kita langkaui sempadan kecemerlangan yang ada pada hari ini.

 

Dengan ini saya merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM Tahun 2017 Negeri Pulau Pinang.

 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang