MAJLIS PERASMIAN ADVOKASI KHAS KESELAMATAN JALAN RAYA SEMPENA TAHUN BARU CINA (DUN BAGAN JERMAL)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN ADVOKASI KHAS KESELAMATAN JALAN RAYA SEMPENA TAHUN BARU CINA

(DUN BAGAN JERMAL)

21 JANUARI 2019 (9:30 PAGI)
PETRONAS JALAN RAJA UDA, BUTTERWORTH
………………………………………………………………………………………

YB Soon Lip Chee
EXCO Belia dan Sukan Pulau Pinang

Yang Berusaha Puan Thurkahthevi a/p N. Munusamy
Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Puan Marini binti Baharuddin
Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU)

Yang Berbahagia Dato Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)

Yang Berusaha Puan Nurazreen bt Ab. Rahman
Pegawai Penerangan SPU

Yang Berusaha Ir Shafizan bin Md Noor
Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya SPU

Mr Keiichi Yasuda
Managing Director of Boon Siew Honda Sdn Bhd

Yang Berusaha Puan May Law Siew Hwa
Deputy President of Boon Siew Honda Sdn Bhd

Yang Berusaha Tariq Ashra Sulaiman
Head, Regional Retail (Northern), Retail Business Division (RBD), Petronas Dagangan Berhad

Yang Berusaha Ahmad Nadzri bin Hamzah
Head Regional Sales North 2, Retail Business Division (RBD), Petronas Dagangan Berhad

Persatuan Peniaga-peniaga Motosikal Negeri Pulau Pinang

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan puan -puan sekalian
………………………………………………………………………………………

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada EXCO Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal, YB Soon Lip Chee bersama-sama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang, Petronas dan juga Boon Siew Honda kerana berjaya menganjurkan program pada pagi yang berbahagia ini.

Bersempena dengan musim perayaan yang bakal tiba, program ini dilihat sangat bertepatan bagi memupuk kesedaran pengguna-pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini. Kebanyakan kes kemalangan jalan raya yang berlaku adalah disebabkan oleh faktor kecuaian pemandu sendiri yang bersikap tidak sabar, suka berlumba dan tidak berhemah terhadap pengguna jalan raya lain.

Mengikut statistik dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM), jumlah kemalangan jalan raya di Pulau Pinang meningkat dari 42,244 kes pada tahun 2016 ke 43,007 kes pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak 763 kes. Bilangan kematian mencatatkan penurunan 10 kes iaitu 411 kes pada tahun 2016 ke 401 kes pada tahun 2017. Walaupun ia mencatatkan penurunan, tetapi kes kematian masih tinggi dan jika boleh angka ini perlu turun setiap tahun sehingga sifar kematian. Daripada jumlah kematian ini, lebih 60% adalah melibatkan pengguna motosikal.

Berdasarkan statistik di atas, adalah menjadi harapan saya agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati. Saya percaya bahawa tumpuan utama dalam usaha untuk mengurangkan bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya adalah lebih bergantung kepada sikap pengguna jalan raya sendiri.

Kempen keselamatan jalan raya seperti ini haruslah dilaksanakan secara berterusan terutama pada musim perayaan. Ini kerana kempen-kempen sebegini sememangnya membantu kerajaan dalam misi mengurangkan kadar kemalangan dan berharap lebih banyak syarikat-syarikat swasta dan korporat dapat bekerjasama di bawah tanggungjawab sosial atau CSR (Corporate Social Responsibility). Gabungan usaha bersepadu ini juga menunjukan bahawa Kerajaan serius dan komited dalam melaksanakan usaha mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Kempen-kempen bersepadu oleh media massa juga harus ditingkatkan lagi bagi memastikan mesej keselamatan jalan raya dapat dihebahkan kepada masyarakat dari masa ke semasa.

Saya difahamkan terdapat hampir 1,000 jaket keselamatan (safety vest) akan diagihkan kepada pengguna motosikal yang singgah dan melalui kawasan ini. Selain itu, program pada hari ini turut dimeriahkan dengan pemeriksaan motosikal secara percuma, semakan saman oleh kenderaan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pelbagai lagi.

Akhir kata, dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina (Dun Bagan Jermal).

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang