MAJLIS HIGH-TEA PERAYAAN THAIPUSAM

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS HIGH-TEA PERAYAAN THAIPUSAM

PERKARANGAN WATERFALL HILLTOP TEMPLE
21 JANUARI 2019, 5PM

YANG BERHORMAT PROF DR P. RAMASAMY
TIMBALAN KETUA MENTERI II NEGERI PULAU PINANG

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI EXCO KERAJAAN NEGERI

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI DEWAN UNDANGN NEGERI

EN. SUBRAMANIAM RAMALINGGAM
PENGERUSI JAWATANKUASA KUIL THANNEERMALAI SHREE BALATHANDAYUTHAPANI DEVASTHANAM (WATERFALL HILLTOP TEMPLE)

EN. RAMACHANDRAN MUTHIAH
KETUA EKSEKUTIF LEMBAGA WAKAF HINDU NEGERI PULAU PINANG

EN. SURENDARAN RAMADASS
SETIAUSAHA LEMBAGA WAKAF HINDU NEGERI PULAU PINANG

PESURUHJAYA-PESURHJAYA LEMBAGA WAKAF HINDU NEGERI

YANG BERBAHAGIA DATO'-DATO'

RAKAN-RAKAN MEDIA

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN

Selamat petang, salam sejahtera, dan vanakam.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas jemputan program “High Tea” bersempena dengan perayaan Thaipusam pada tahun ini. Ini merupakan penyertaan pertama saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Tahniah dan syabas kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang, Jawatankuasa Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam ataupun lebih dikenali sebagai Waterfall Hilltop Temple dan Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Queen Street di atas segala persiapan yang telah dilaksanakan bagi menjayakan perayaan Thaipusam di Pulau Pinang pada tahun ini.

Waterfall Hilltop Temple sememangnya sangat terkenal bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia sebagai salah satu destinasi tumpuan sambutan perayaan Thaipusam. Saya difahamkan juga bahawa kuil ini merupakan Kuil Dewa Murugan yang terbesar di luar India. Pada tahun ini, dijangka hampir 1,000,000 penganut dan pelancong menyertai sambutan ini di Pulau Pinang.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Puan Hajjah Zuraida Kamaruddin telah memuji Pulau Pinang kerana pandangan serta pembangunan progresifnya dalam 10 tahun sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini dan berharap menjadi contoh kepada pentadbiran negeri-negeri lain. Ini termasuklah dari segi pembangunan rumah kos rendah dan mampu milik serta polisi kerajaan yang memanfaatkan rakyat.

Pada masa ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha untuk memajukan negeri ini menjadi sebuah negeri yang hijau dan pintar dalam masa 10 tahun yang akan datang. Pelan Tindakan Penang2030 yang telah dilancarkan akan menjadi pemandu arah kepada perancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti hidup, ekonomi serta pembangunan yang seimbang kepada rakyat negeri ini. Pelan tindakan yang bersifat holistik dan inklusif ini diharap akan mendapat sokongan, maklum balas dan penyertaan awam dalam menaikkan taraf hidup dan kebahagiaan masyarakat Pulau Pinang.

Saya berasa bangga bahawa Kerajaan Negeri telah memberi perhatian yang sewajarnya kepada keperluan serta menyelesaikan beberapa isu berbangkit masyarakat India di Pulau Pinang sepanjang pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan. Sebagai contohnya, Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang telah berjaya memantapkan lagi fasiliti-fasiliti pembelajaran bukan sahaja di Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang tetapi juga di tadika-tadika yang wujud di Sekolah-Sekolah Tamil ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Di sini, saya ingin untuk mengucapkan terima kasih kepada YB Prof Dr P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri (II) yang mewakili masyarakat India, yang sentiasa memastikan Kerajaan Negeri mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat India di negeri ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM200,000 kepada Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam atau lebih dikenali sebagai Waterfall Hilltop Temple.

Semoga sumbangan ini dapat membantu dalam kelancaran perayaan Thaipusam. Selamat Menyambut Hari Thaipusam!

Sekian terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang