MAJLIS PERASMIAN PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG FASA 2 (PDL-P2)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG FASA 2 (PDL-P2)

NO. 123, JALAN MASJID NEGERI, BANDARAYA GEORGE TOWN, DAERAH TIMUR LAUT, PULAU PINANG

27 JANUARI 2019, AHAD, 9.00 PAGI
_____________________________________________________________________

 

Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng
Menteri Kewangan Malaysia

Yang Berhormat Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman
Timbalan Ketua Menteri I

Yang Berhormat Prof. Dr. Ramasamy A/L Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri II

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat ADUN-ADUN Negeri Pulau Pinang

YBhg. Dato' Azhar bin Arshad
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)

YBhg. Tuan Haji Ali bin Sebran
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan)

Yang Berbahagia Dato' Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Ahli-Ahli Majlis , Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Ketua-Ketua Jabatan

Y.Bhg, Dato’ Gooi Soon Chai,
Presiden Keysight Technologies Malaysia dan Singapura

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi dan Selamat sejahtera kepada semua.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua kerana sudi hadir ke Majlis Perasmian Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 2 (PDL-P2). Ini merupakan satu projek Kerajaan Negeri yang dilaksanakan untuk manfaat rakyat negeri Pulau Pinang khususnya. Tahniah kepada pasukan projek PDL-P2 yang diketuai oleh Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI). Saya yakin bahawa pembangunan PDL-P2 adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah Penang2030.

Suka untuk saya kongsikan bersama-sama hadirin sekalian mengenai Penang2030. Menjelang tahun 2030, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya model kepada negara dan global dengan menfokuskan tiga aspirasi utama iaitu Keluarga (Family), Hijau (Green) dan Negeri Pintar (Smart State).

Saya amat gembira semua aspirasi tersebut telah diserapkan dalam reka bentuk dan pembangunan PDL-P2. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri telah menyahut visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang pintar, hijau dan berteraskan keluarga yang menginspirasikan negara iaitu “Smart state, Green and Family Focus that inspire the nation” dapat dicapai. Syabas!

Seperti mana yang kita maklum, Kerajaan Negeri memulakan inisiatif PDL pada 2016 dengan perasmian Fasa 1 di bangunan bersebelahan. Tujuan pembinaan PDL adalah untuk mentransformasikan kaedah pembelajaran dan mendapatkan maklumat di hujung jari dengan pantas.

Semenjak pelancarannya pada 2016, PDL telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Malah para delegasi luar negara juga telah melawat PDL dan memujinya sebagai model untuk perpustakaan masa depan. Pada masa ini, PDL mempunyai 3,848 ahli yang mengakses 3,024 eBook yang tersedia dan pelawat harian yang menggunakan kemudahan fizikal perpustakaan telah melebihi kapasitinya.

Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambah jumlah koleksi digital dengan jalinan kerjasama bersama-sama pihak Perpustakaan Negara Malaysia (Malaysia National Library), dan ini akan menjimatkan kos Kerajaan Negeri dalam penyediaan eBooks serta eMagazine. Ini adalah hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang telah menjadi pucuk pimpinan yang sama selepas PRU-14 (Smart Networking).

Hadirin sekalian,

Seperti yang anda lihat di sekeliling, PDL Fasa 2 merangkumi persekitaran yang lebih besar dan luas untuk memenuhi keperluan orang ramai. Ia terdiri daripada dua bangunan iaitu sebuah rumah warisan yang telah dipulihkan dengan indah; dan bangunan baru yang moden. Kedua-dua bangunan berkeluasan 16,000 kaki persegi itu dapat menampung sehingga 540 orang pada satu-satu masa berbanding 140 orang di PDL Fasa 1 kini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan RM10.8 juta untuk pembangunan PDL Fasa 2 untuk pemulihan dan transformasi rumah warisan, pembinaan bangunan tambahan baru, restoran, kafe serta kawasan sekitarnya, dan juga untuk teknologi maklumat (IT) serta infrastruktur digital.

Fasa 2 direka dengan konsep “Library in the Park” atau ‘Perpustakaan di dalam Taman’ yang mana pengguna dapat mengakses informasi dan ilmu menggunakan dunia digital di dalam persekitaran yang semulajadi. Gabungan serasi ruang maya dan fizikal ini direka untuk mentransformasikan pembelajaran sambil menggalakkan interaksi sosial serta kolaborasi. Konsep ini boleh diletakkan sebagai penanda aras kepada reka bentuk bangunan bertaraf dunia yang menitik beratkan kehijauan atau ‘Green Concept’.

Umumnya, kemudahan di sini bakal memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat - daripada kanak-kanak kepada warga tua; daripada pelajar kepada profesional dan golongan istimewa. Kemudahan-kemudahan yang disediakan di PDL Fasa 2 adalah seperti berikut:

a) Kawasan bacaan yang selesa dan kondusif di 'Mansion Library', yang merupakan bangunan warisan sedia ada;

b) Pusat pembelajaran yang luas termasuk bilik mesyuarat dan perbincangan, bilik kanak-kanak dan zon bacaan di bangunan baru ‘New Annexe’;

c) Dewan serba guna fleksibel yang mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 200 orang;

d) ‘Wisdom Street’ - kawasan terbuka untuk membaca dan berinteraksi; dan

e) Restoran serta Kafe yang selesa

Serentak itu, terdapat juga kemudahan ruang dan bilik yang akan dikenakan kadar sewaan, sebagaimana diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Sebagai makluman, PDL juga telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan rakan-rakan program seperti Telebort, Talk Better, C-Artistic, GEC dan Excel NeuroLearning untuk memperbanyakkan program berasaskan “STEM Education” di Fasa 1. Justeru, dengan adanya PDL Fasa 2, banyak lagi program seumpama ini telah dirancang dan akan mula diketengahkan untuk memberi lebih impak kepada penduduk di negeri ini.

Selain daripada perluasan fizikal, aspek yang paling penting dalam Fasa 2 ialah pertambahan kandungan digital ‘e-content’ yang tersedia kepada orang ramai dari STEM ke ESTEEMA, yang juga termasuk Bahasa Inggeris (English), Keusahawanan (Entrepreneur) dan Kesenian (Arts).

Semua ini disampaikan menerusi platform ‘IT’ dan digital yang mantap serta teguh direka oleh Keysight Technologies untuk PDL dalam Fasa 1 sebelum ini. Ia termasuk aplikasi mudah alih ‘Readcasa’ yang membolehkan pengguna mengakses kandungan digital PDL dari mana saja menggunakan peranti mudah alih mereka.

Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Keysight Technologies. Ini sekali lagi menjadi contoh perkongsian dan jalinan kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan melalui konsep 4P iaitu “Public, Private, People & Profesional Partnership” untuk terus memacu kejayaan dan kemajuan Pulau Pinang ke masa hadapan.

Hadirin sekalian,

Hari ini, saya juga bangga untuk mengumumkan satu lagi ciri teknologi yang menarik yang disediakan dalam PDL Fasa 2 iaitu penyediaan 8 unit “Smart Pole” oleh pihak DGB bersama teknologi Huawei.”Smart Pole” dilengkapi dengan sambungan “Wifi”, liputan langsung “CCTV”, pencahayaan daripada “Smart Compound Light” berserta papan tanda luaran “Digital Screen” dan “Environment Sensing”

Memandangkan PDL Fasa 1 telah beroperasi 24 jam, maka Kerajaan Negeri telah bersetuju dan meluluskan waktu operasi bagi PDL Fasa 2 dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam termasuk operasi kafe juga restoran.

Selaras dengan hasrat untuk mencapai “Penang Brand”, pembangunan projek PDL Fasa 2 telah melibatkan CMI, arkitek, konsultan, kontraktor dan penasihat teknikal yang mana semua adalah anak jati dan syarikat di Pulau Pinang. Kami mahu memperjuangkan dan membangunkan bakat, kepakaran serta kemahiran tempatan untuk melancarkan jenama "Made in Penang" kepada platform global. Sesungguhnya " Made by Penang people for the people". Tahniah!

Sebagai penutup kata, Kerajaan Negeri tidak akan berhenti dengan pembangunan PDL Fasa 2, malah 2 lagi perpustakaan akan dibangunkan iaitu Butterworth Digital Library (bersama-sama MPSP dan ThinkCity) dijangka siap pada penghujung 2019 dan Penang Islamic Digital Library (di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Pulau Pinang) pula dijangka siap pada pertengahan 2020.

Penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa Projek diterajui oleh CMI selaku pemilik projek, BETA Architect PLT (arkitek projek), Keysight Technologies (rakan strategik teknologi), dan Jayamas Property Construction Sdn. Bhd. (kontraktor) yang telah menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan.

Tidak dilupakan penghargaan dan terima kasih kepada penyumbang Diversified Gateway Berhad yang menyediakan platform “Smart Pole” dan TIMEdotCom yang masih bersama PDL semenjak daripada Fasa 1.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 2, “Library in the Park”.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang