PERASMIAN PROGRAM WANITA HEBAT PERKASA
TEKS UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT
KETUA MENTERI PULAU PINANG
PERASMIAN PROGRAM WANITA HEBAT PERKASA
31 MAC 2019 (AHAD)
Chong Eng, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam
YB Teh Lai Heng,
ADUN Komtar
Dif Dif jemputan/Dato Seri /Dato/presiden NGO NGO/
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Persatuan kemajuan wanita Pulau Pinang (PERJUANITA) dan kepada puan Patimah kader pengasas dan pengerusi persatuan ini. Atas jemputan beliau, dapatlah kita bersama-sama di majlis ‘Wanita Hebat Perkasa’ pada petang yang bahagia ini.
Hari wanita merupakan detik bersejarah bagi kemajuan wanita terutamanya dalam konteks perjuangan kaum wanita di seluruh dunia dalam usaha bidang pentadbiran, kehakiman dan korporat agar kebajikan wanita terus dijaga.
Wanita juga merupakan tulang belakang dalam pembangunan institusi keluarga dan masyarakat. Peranan wanita dalam negara kita semakin menyerlah dan berani menampil serta usaha untuk menceburkan diri dalam bidang-bidang aktiviti yang lebih mencabar dan lebih sofistikated.
Kesungguhan penglibatan kaum wanita dalam pelbagai sektor di negara ini telah terbukti dengan pencapaian yang membanggakan baik dalam ekonomi, pendidikan, budaya, politik dan agama. Penglibatan mereka juga tidak menjejaskan tugas sesetengah wanita sebagai isteri yang menguruskan rumahtangga malah juga sebagai ibu yang bertanggungjawab membimbing dan menyerapkan nilai-nilai kehidupan yang baik.
Penglibatan wanita dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan negara telah dizahirkan melalui galakan oleh kerajaan, bergerak sebagai satu pasukan, pertubuhan ataupun persatuan sosial. Tujuannya adalah ke arah permuafakatan sebagai usaha menggemblengkan tenaga dan minda wanita secara sistematik.
Kita berasa bangga kerana Pulau Pinang merupakan negeri yang perintis dan komited untuk melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender. Usaha ini dilakukan bukan sahaja untuk kita pada masa kini tetapi juga dapat dikecapi oleh generasi akan datang.
Dalam penjawatan kita, wanita dan lelaki harus diberi peluang yang sama untuk mengambil bahagian dalam pembuat keputusan. Kita sasarkan nisbah 40:40:20 sebagai penanda aras atau ‘benchmark’ di peringkat pembuat keputusan, iaitu 40 peratus wanita, 40 peratus lelaki dan 20% wanita dan lelaki, supaya tidak ada satu gender yang mendominasikan proses membuat keputusan.
Dengan adanya polisi kerajaan mesra wanita serta kemudahan sosial yang wujud, wanita harus menyiapkan diri secara aktif dalam program komuniti dengan pelbagai kemahiran yang dapat membantu wanita maju ke hadapan. Kerajaan negeri kini menumpukan kepada keseimbangan dalam melaksanakan dasar dasar di semua lapisan masyarakat juga Pulau Pinang kini menerajui dalam agenda memajukan pembangunan wanita. Saya berharap semua Ahli Jawatankuasa akan memberi kerjasama dan komitmen dalam melaksanakan tugas yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab.
Akhir kata, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan serta ucapan terima kasih kepada hadirin sekalian yang sudi hadir bagi memeriahkan majlis ini juga tahniah dan syabas kepada semua jawatankuasa yang bertungkus lumus, berganding bahu tidak kira agama dan bangsa bagi menjayakan program.
Sekian, terima kasih.