Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 Anjuran Ahli Parlimen Batu Kawan

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019

Anjuran Ahli Parlimen Batu Kawan

31 Mac 2019

Autocity, Juru

 

YB Chong Eng

EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang

YB Kasthuriraani Patto

Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap penganjur program

YB Gooi Hsiao Leung

ADUN Bukit Tengah

YB Heng Lee Lee

ADUN Berapit

Gary Teoh

Pengarah Pengurusan AutoCity merangkap venue host

Pemimpin-pemimpin tempatan,

Rakan-rakan media,

Puan-puan dan Tuan-tuan yang saya hormati sekalian.

Selamat petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Kasthuri kerana sudi menjemput saya bagi bersama-sama meraikan sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 anjuran Parlimen Batu Kawan dengan tema “Balance for Better” atau “Seimbang untuk Sejahtera” pada petang yang berbahagia ini.

Hari Wanita yang disambut setiap 8 Mac adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada semua wanita dari semua lapisan masyarakat tidak kira yang bergelar isteri, ibu, ibu tunggal, pelajar mahupun pekerja atas segala pengorbanan untuk mengukuhkan struktur keluarga dan sekaligus turut mewarnai dan menyumbang kepada ekonomi sesebuah negeri/negara.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami komited untuk terus menjadi tunjang kepada perjuangan golongan ini agar kehadiran mereka terus dihormati, dilindungi dan disayangi. Tidak dapat dinafikan, meskipun statistik menunjukkan kaum wanita merangkumi 49.6% atau 3.8 bilion daripada 7.7 bilion keseluruhan penduduk dunia, namun masih banyak ruang dan peluang yang masih belum didapat diceburi atas pelbagai faktor persekitaran termasuk ketika proses penggubalan undang-undang dan polisi yang sekian lama didominasi oleh kaum lelaki.

Hari ini di Pulau Pinang, dengan peralihan kuasa pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya menubuhkan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), iaitu sebuah agensi di bawah naungan Kerajaan Negeri yang mempunyai impian kesamarataan gender di antara wanita dan lelaki, urus tadbir pentadbiran yang telus dan berintegriti serta keadilan sosial untuk semua.

Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong usaha dan inisiatif oleh PWDC dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran hak wanita, menambah pengetahuan pendidikan politik serta memberdayakan wanita untuk menjadi usahawan yang dapat menjana pendapatan isi rumah dan juga untuk memastikan tiada lagi wanita di negeri Pulau Pinang yang tercicir dari arus pembangunan dan hak mereka untuk mendapat perlindungan kerajaan.

Sememangnya Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan wanita dalam memajukan masyarakat dan negara. Ini dibuktikan melalui dasar minimum 30 peratus perwakilan wanita dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan dan Komuniti (JKKK). Dasar ini mensasarkan sekurang-kurangnya lima (5) orang wanita dilantik dalam MPKK menjelang tahun 2021. Malahan ia akan turut dipanjangkan kepada pelantikan Ahli-ahli Majlis di kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Di bawah naungan Kerajaan Pakatan Harapan kini, lebih ramai suara wanita bergema di Dewan Rakyat dan di Dewan Undangan Negeri di seluruh negara untuk membawa suara dan juga isu-isu wanita dan juga isu-isu yang berkaitan dengan struktur keluarga, keadilan sosial dan wujudnya platform untuk menggalakkan lebih ramai wanita untuk bergiat secara aktif dalam bidang politik.

Seperti mana yang telah dipraktikkan di negara-negara luar seperti Iceland, Kerajaan Iceland telah melaksanakan 2 polisi bagi membantu secara langsung penyertaan wanita dalam arena politik dan sektor ekonomi iaitu dengan membuka pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak mengikut standard universal dan juga “cuti bersalin” yang dikongsi secara adil di antara ibu dan bapa.

Sememangnya ini merupakan fakta yang tidak dapat dinafikan. Untuk wanita bergiat lebih aktif dalam arena politik dan sektor ekonomi, maka kerajaan dan masyarakat perlu berganding bahu untuk memastikan kemudahan penjagaan anak dan cuti bersalin atau “parental leave” diberikan perhatian yang sewajarnya. Masih terdapat kes-kes di mana ibu bekerja yang melahirkan anak seringkali berdepan dengan diskriminasi secara sistemik di tempat kerja dan sekiranya si bapa juga diberikan cuti ini untuk menjaga bayi yang baharu lahir, maka struktur diskriminasi tersebut dapat dimusnahkan.

Atas faktor-faktor tersebut, Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan bahawa kita sudah lama mempraktikkan dasar ini di mana RM250,000 telah dilaburkan untuk menyediakan pusat penjagaan anak di pusat pentadbiran kerajaan di KOMTAR yang dikenali sebagai Taska D’Komtar dan memperuntukkan lebih banyak kemudahan bagi pusat-pusat penjagaan di Pulau Pinang serta menggalakkan projek CSR bersama pihak swasta dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menubuhkan lebih banyak pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak yang bertauliah, yang selamat dan mengikut piawaian antarabangsa demi memberikan peluang bagi kaum wanita bergiat dalam arena politik dan sektor ekonomi. Untuk rekod, Kerajaan Negeri turut membiayai pusat jagaan kanak-kanak di Taman Serumpun, Bukit Mertajam dan di Padang Tembak, Air Itam. Pengurusan kesemua pusat jagaan ini adalah di bawah pengurusan PWDC.

Impian saya dan kita semua agar negeri Pulau Pinang menjadi negeri model dan lokasi pilihan untuk kaum wanita berani mengimpikan masa depan yang selamat, produktif, progresif, adil dan bebas bagi memastikan segala impian mereka direalisasikan.

Akhir kata, saya berharap PWDC selaku badan yang telah dipertanggungjawabkan dapat memandu kaum wanita di negeri ini demi kemaslahatan masyarakat sejagat seperti mana yang dipraktikkan di negara Iceland yang menjadi negara model dari segi jurang gender, keterlibatan wanita dalam politik, wanita dalam kedudukan penggubal undang-undang dan membuat dasar dan polisi dan aset dalam melahirkan generasi yang akan datang.

Dengan ini, saya merasmikan Sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Parlimen Batu Kawan!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang