PENANG CELEBRATES: HARI RAYA WITH RADIO SINAR FM

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI PENANG CELEBRATES: HARI RAYA WITH RADIO SINAR FM

 

22 JUN 2019

DESIGN VILLAGE

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat EXCO Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang (PETACH) di bawah kepimpinan YB Yeoh Soon Hin atas penganjuran program Hari Raya bersama radio Sinar FM pada petang yang berbahagia ini.

Meskipun sudah memasuki minggu ketiga Aidilfitri, namun kehangatan lebaran masih dirasai dan diraikan di mana pada petang ini kita dapat menyaksikan pusat membeli- belah, Design Village Outlet Mall, Batu Kawan ini sesak dan dipenuhi dengan orang ramai yang tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam majlis yang cukup meriah ini.

Antara artis yang akan membuat persembahan pentas pada malam ini, antaranya adalah Ara Johari, NAMA, Benzooloo dan Sandra Dianze, di samping dua (2) orang penyampai radio Sinar FM yang tidak asing lagi iaitu Adi Fashla dan Pink Azwan. Saya mungkin tidak mengenali sebahagian daripada artis ini tetapi dengan sorakan dari peminat-peminat yang ada di sini, saya percaya anda mempunyai peminat, kekuatan dan populariti yang tersendiri.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada PETACH dan semua agensi yang terlibat dalam industri pelancongan yang peka, penuh dedikasi dan sentiasa bersemangat dengan idea-idea baru untuk memastikan sektor pelancongan di Pulau Pinang terus kekal unggul dan relevan di negara ini.

Strategik, idea dan objektif penganjuran program yang menghimpunkan lapisan masyarakat untuk bersama-sama mewarnai program yang membabitkan artis popular sangat membantu dalam mempromosikan keharmonian dalam budaya dan kesenian.

Dalam masa yang sama, ia turut membantu dalam merealisasikan hasrat Pulau Pinang untuk menjadi sebuah hab seni di Asia Tenggara menjelang 10 tahun akan datang dan juga destinasi pelancongan pilihan utama menerusi kepelbagaian budaya komuniti.

Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan yang terjalin antara keluarga, sahabat handai dan komuniti selaras dengan Visi Penang2030 yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri yang menjadikan pembangunan keluarga dalam negeri hijau dan pintar sebagai elemen penting dalam mentadbir negeri ini kerana kita percaya memperkukuhkan institusi kekeluargaan adalah teras kepada pembangunan sesebuah negara.

 

Akhir kata, semoga majlis kita pada malam ini mencapai objektif dengan jayanya dan terus meriah dengan semangat perpaduan, muhibah dan kekeluargaan dalam diri kita.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan pembukaan program “Penang Celebrates:Hari Raya with Radio Sinar @ Design Village”.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang