MAJLIS PENUTUPAN SEMPENA KARNIVAL OLIMPIK PULAU PINANG 2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
MAJLIS PENUTUPAN SEMPENA KARNIVAL OLIMPIK PULAU PINANG 2019
AHAD, 23 JUN 2019, ESPLANADE, GEORGE TOWN

Selamat Petang dan Salam Sayangi Malaysiaku,


Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Olimpik kerana telah memberi kepercayaan kepada negeri Pulau Pinang untuk menjadi tuan rumah Karnival Olimpik Pulau Pinang tahun 2019 ini.


Karnival ini juga telah membuka peluang kepada orang ramai khasnya warga Pulau Pinang untuk menjadi sebahagian daripada Olympic Movement. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengorak langkah untuk mempertingkatkan mutu hidup warga Pulau Pinang melalui Visi Pulau Pinang 2030: Negeri Berorientasi Kekeluargaan, Hijau Dan Pintar Untuk Inspirasi Negara.

Visi ini akan direalisasikan melalui empat tema dan salah satu daripada tema tersebut adalah untuk meningkatkan daya huni sebagai peningkatan kualiti kehidupan dengan mempelbagaikan kemudahan rekreasi, sukan, kesenian dan kebudayaan. Ini adalah seiring dengan tujuan Olympic Movement iaitu mendidik generasi muda melalui sukan yang mempraktikkan nilai-nilai murni Olympik ke arah kesejahteraan negara.

Dengan itu, saya amat berbangga kerana negeri Pulau Pinang senantiasa meriah dengan pelbagai aktiviti sukan, misalnya tarian Zumba, line dancing, taman-taman rekreasi yang penuh orang ramai yang berlari atau bersenam, mempraktikan seni tai chi dan qi gong ataupun bersenam menggunakan peralatan senaman yang telah dipasang. Pada hujung minggu pula, mesti ada program sukan seperti larian santai, berbasikal dan program berjalan kaki.

Di samping ini, saya ingin megucapkan terima kasih kepada YB Soon Lip Chee, EXCO Belia dan Sukan Negeri kerana telah mengambil inisiatif untuk menjayakan karnival ini bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Syabas kepada mereka yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan karnival ini berlangsung dengan lancar.

Saya juga dimaklumkan bahawa karnival ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan penglibatan setiap lapisan golongan masyarakat. Petang ini, kita telah menyaksikan ramai peserta menyertai program Family Fun Walk dengan keluarga masing-masing. Ini juga sejajar dengan Visi Pulau Pinang 2030: Negeri Berorientasi Kekeluargaan, Hijau Dan Pintar Untuk Inspirasi Negara.


Pada malam ini juga, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada atlet-atlet Olimpik Negera kelahiran Pulau Pinang kerana anda merupakan idola dan sumber inspirasi kepada ramai peminat sukan serta bakal atlet. Terim kasih kerana sumbangan anda telah membawa impak yang begitu positif.


Akhir kata, sempena Sambutan Hari Olimpik, saya menyeru orang ramai untuk memberikan sokongan kepada Kontinjen Olimpik Negara yang bakal beraksi di Tokyo 2020. Apatah lagi bila Chef de Mission kontinjen merupakan anak jati kebanggaan Pulau Pinang, Datuk Wira Lee Chong Wei! Ayuh kita semarakkan semangat juang atlet-atlet Olimpik negara!

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang