PELANCARAN PENANG GRAND PARADE 2020

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW

PELANCARAN PENANG GRAND PARADE 2020

Selamat petang semua.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru dan juga Selamat Melawat Pulau Pinang kepada semua kawan-kawan yang bersama-sama kita pada hari ini.

Kita secara rasminya sudah memasuki Tahun Menikmati Kepelbagaian Asia Pulau Pinang 2020 Experience Penang Year 2020 ‘The Diversity of Asia’ pada hari ini. EPY2020 merupakan inisiatif utama industri pelancongan negeri Pulau Pinang bagi mempertingkatkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan isi rumah melalui penciptaan pelbagai produk pelancongan yang berkualiti di seluruh Pulau Pinang.

Melalui kempen ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk ‘capitalise’ pengalaman unik Pulau Pinang terutamanya melalui diversiti kita dalam aspek kebudayaan, eko-pelancongan, warisan dan sebagainya. Beberapa hari sebelum ini sahaja, Pulau Pinang dinamakan sebagai ’20 Destinations With The Most Beautiful Beaches (You Can Actually Afford To Go To)[20 destinasi dengan pantai tercantik (yang anda boleh mampu)] oleh The Travel.

Kempen Tahun Menikmati Kepelbagaian Asia Pulau Pinang 2020 Experience Penang Year 2020 (EPY2020) dengan tagline ‘The Diversity of Asia’ menyajikan kepelbagai elemen pelancongan termasuk keindahan alam semulajadi, warisan kesenian, budaya, makanan dan pemandangan bandar raya George Town yang menakjubkan.

Hadirin sekalian,

Hari ini, dalam melancarkan Tahun Menikmati Kepelbagaian Asia Pulau Pinang 2020, Kerajaan Negeri juga ingin mempromosikan Pulau Pinang sebagai satu destinasi yang menarik bukan sahaja berdasarkan satu aspek, tetapi merangkumi pantai dan bukit, makanan enak jalanan dan juga restauran, tarikan yang bersifat adventure seperti Gravityz dan Escape, mural di sekitar Pulau Pinang yang berunsur kesenian dan banyak lagi yang wajar dipengalami hanya di Pulau Pinang.   

Sejajar dengan pertambahan pelancong, Kerajaan Negeri berhasrat memenuhi permintaan pelancong dengan menyerlahkan elemen-elemen ini di mata pengunjung sama ada dalam mahupun luar negara.

Industri pelancongan merupakan salah satu penjana ekonomi utama untuk Pulau Pinang, yang pada masa yang sama dapat membawa pembangunan kepada masyarakat setempat melalui pelancongan.

Seiring dengan matlamat ini, kita berusaha mewujudkan lebih banyak produk pelancongan yang berkualiti di seluruh Pulau Pinang agar ia dapat membantu dalam meningkatkan pendapatan isi rumah melalui pendapatan hasil dari industri pelancongan yang merupakan salah satu daripada industri utama yang menjana KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) tertinggi bagi Pulau Pinang.

Selain daripada mengetengahkan lagi potensi industri pelancongan, acara-acara sebegini juga selaras dengan visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang mengutamakan keluarga, seperti yang ternyata dalam slogan Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Hadirin sekalian,

Pada malam ini, saya amat bergembira melihat banyak ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk bersama di sini. Inilah yang merupakan salah satu matlamat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan suatu persekitaran yang tidak meninggalkan sesiapa sahaja sementara Pulau Pinang giat bergerak ke arah yang lebih tinggi.

  

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menggalakkan dan mempromosikan seni dan budaya masyarakat setempat kerana melalui initiatif ini dapat menarik minat dan mendapatkan penglibatan pelajar-pelajar sekolah dan juga golongan belia. Penganjuran program-program sedemikian merupakan platform untuk mengaktifkan penglibatan golongan muda, di samping itu memberi peluang kepada golongan muda untuk mempamerkan bakat mereka kepada orang ramai.

Dengan cara ini, kita dapat memupuk dan mencungkil bakat-bakat tempatan dan memberikan satu platform kepada mereka untuk mempamerkan lebih banyak bakat dan kemahiran mereka untuk memastikan pembangunan manusia yang mampan bagi jangka masa panjang. Pada masa yang sama, ia dapat memperkukuhkan kedudukan Pulau Pinang dan meletakkan nama Pulau Pinang sebagai pusat budaya di rantau ini.

Untuk mempercepatkan momentum dan menjadikan impian Pulau Pinang suatu realiti, Pulau Pinang telah melancarkan Experience Penang Year 2020 yang selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (Visit Malaysia Year 2020), supaya kita dapat menikmati pengalaman Pulau Pinang yang sebenar dari semua aspek termasuk keindahan, keseronokan, hiburan, kegembiraan dan kepuasan.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan kempen pelancongan Experience Penang Year 2020 dan Experience Penang International Coastal Run 2020!

Terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang