MAJLIS PENYERAHAN SURAT TAWARAN SKIM SEWA BELI (RTO) BLOK B (FASA 1)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN SURAT TAWARAN
SKIM SEWA BELI (RTO) BLOK B (FASA 1)
DI RUMAH PANGSA DESA WAWASAN, BUKIT MERTAJAM, SEBERANG PERAI TENGAH, PULAU PINANG
4 JULAI 2020
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa
YB Chong Eng
EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam
Yang Berbahagia Dato’ Haji Rozali bin Haji Mohamud
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berusaha Puan ‘Ainul Fadhilah binti Samsudi
Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan)
Yang Berbahagia Haji Mohd. Sanusi bin Ahmad
Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Desa Wawasan
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Jagdeep Singh Deo selaku EXCO Perumahan serta barisan petugas daripada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang begitu komited dalam memastikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Sewabeli Di Blok B, Rumah Pangsa Desa Wawasan, Bukit Mertajam pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.
Dalam usaha memenuhi aspirasi dan merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara di bawah Tema A: Meningkatkan Daya Huni Bagi Menambah Baik Kualiti Kehidupan, isu pemilikan rumah adalah amat kritikal dan Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk terus mengekalkan momentum yang dicapai kini sebagai langkah bagi memastikan kualiti hidup rakyat terus terpelihara.
Kerajaan Negeri sangat menitikberatkan hal kebajikan rakyat dan kebolehmampuan untuk memiliki rumah kediaman sendiri. Dalam menangani isu kemampuan dan kepelbagaian perumahan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Kaedah Sewa Beli atau Rent-To-Own (RTO). Kaedah sewa beli ini merupakan alternatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pemilikan rumah bagi pemilikan rumah kali pertama. Kelebihan kaedah sewa beli ini adalah pemilik hanya perlu mengeluarkan deposit sewa beli dan juga deposit utiliti yang mana jauh lebih rendah dan kurang bebanan berbanding penyediaan deposit pembelian rumah mampu milik (RMM).
Seperti mana yang semua sedia maklum, usaha untuk menukarkan satu (1) blok yang mengandungi 456 unit kediaman sewa beli Rumah Pangsa Desa Wawasan ini telah lama dibincangkan. Justeru, saya berasa amat berbesar hati untuk menyempurnakan penyerahan surat tawaran kepada 26 calon pemilik kediaman sewa beli Blok B, Rumah Pangsa Desa Wawasan. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada semua pemilik.
Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai isu permasalahan kewangan melibatkan pembiayaan pinjaman perumahan iaitu kadar penolakan pinjaman yang tinggi dan kesukaran pemohon untuk menyediakan deposit 10% bagi pembelian rumah mampu milik (RMM) hatta kepada RMMA yang berharga RM42,000.00 dan RMMB yang berharga RM72,500.00.
Di bawah Inisiatif Strategik A1: Menangani Isu Kemampuan dan Kepelbagaian Perumahan, YB Jagdeep Singh Deo selaku EXCO Perumahan telah diberi tanggungjawab yang besar untuk menyelesaikan permasalahan ini. Di peringkat Kerajaan Negeri, meskipun menghadapi kekangan kewangan serta desakan kos pembinaan yang lebih tinggi, Kerajaan Negeri masih mengekalkan harga syiling RMM yang ada di negeri ini.
Sasaran asal dalam Visi Penang2030 adalah untuk penyediaan 1,000 unit sewa beli telah ditingkatkan kepada 18,000 unit di mana setakat ini sebanyak 2,474 unit telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri.
Hadirin Sekalian,
Saya gembira menyaksikan perubahan persekitaran yang sangat drastik di sekitar kawasan Rumah Pangsa Desa Wawasan ini, tidak seperti 5 tahun yang lepas. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM6,937,210.12 untuk projek-projek menaiktaraf baru dan penyelenggaraan seperti projek pengecatan bangunan Blok A dan B, Rumah Pangsa Desa Wawasan, laluan pejalan kaki berbumbung, pemasangan tiang lampu, taman refleksologi dan sebagainya.
Selain daripada menaiktaraf fasiliti dan persekitaran, fokus juga diberikan dalam memperkukuhkan dan memantapkan komuniti di Rumah Pangsa Desa Wawasan melalui projek Gender Responsive Participatory Budgeting (GRPB) dengan kerjasama Penang Women’s Development Corporation (PWDC).
Saya juga sangat gembira untuk mengumumkan buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan berjaya menganugerahkan kontrak pembersihan kepada Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Desa Wawasan pada 30 Mei 2020 dan ianya merupakan projek yang pertama di bawah skim perumahan awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PAKR).
Kerajaan Negeri percaya bahawa komuniti yang mantap mampu menyediakan persekitaran yang kondusif, selamat dan bersih untuk didiami selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjadikan Pulau Pinang lebih Bersih, Selamat, Hijau dan Sihat.
Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada pagi ini. Semoga sedikit usaha yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini mampu memberi sedikit kelegaan dan kegembiraan kepada semua pemilik Blok B, Rumah Pangsa Desa Wawasan (Fasa 1) ini. Jagalah rumah dengan baik dan jangan dibiarkan rosak serta jangan disewakan kepada orang lain.
Sekian, terima kasih.