MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2020
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2020
28 JULAI 2020
KOMPLEKS PLAZA TOL, JAMBATAN SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH (JAMBATAN KEDUA PULAU PINANG)
YB Dato’ Law Choo Kiang
Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Norazmi bin Mohd. Narawi
Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Sarul Bahiyah binti Haji Abu
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Seri- Dato’ Seri
YB Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
YB Ahli-ahli Parlimen
Konsul-Konsul Jeneral/ Konsul-Konsul Kehormat Negeri Pulau Pinang
Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan
Wakil-wakil Jabatan dan Agensi
Para peserta Konvoi ‘Info On Wheels Merdeka’
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin panjatkan kesyukuran atas kesempatan untuk kita semua berkumpul bagi bersama-sama meraikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2020, yang julung kalinya disambut secara hybrid atau digital iaitu gabungan dua (2) elemen fizikal serta digital dalam majlis yang disambut secara serentak oleh semua negeri bersama dengan Kerajaan Persekutuan.
Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa induk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP), Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pulau Pinang dan semua agensi Persekutuan serta Negeri atas kolaborasi dan komitmen yang telah diberikan dalam merencana, merancang, menyusun serta seterusnya merealisasikan majlis pada pagi yang berbahagia ini. Turut tidak dilupakan adalah kesudian Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) atas kerjasama untuk menjadi tuan rumah bagi acara pada hari ini.
Meskipun masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan normal baharu ketika perang memerangi pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, semangat patriotisme setiap daripada kita masih kekal utuh dan tidak sesekali luntur.
Selari dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, sambutan pada tahun ini semestinya mempunyai intipati serta matlamatnya tersendiri yang menuntut semua pihak tanpa ada yang terkecuali untuk berganding bahu melawan COVID-19 daripada terus berleluasa. Keprihatinan semua pihak untuk ‘menjaga’ antara satu sama lain memberi pengertian yang cukup besar sekaligus menyuntik semangat kita semua untuk terus maju ke hadapan selaras dengan aspirasi serta pengertian semangat kemerdekaan itu sendiri.
Pada masa ini, seluruh negara sedang berada dalam fasa pemulihan dan saya percaya strategi Next Normal Pulau Pinang yang kita perkenalkan dengan empat (4) misi utama iaitu C. A. R. E. (Containing the pandemic; Adapting our institution to the next normal; Rescuing people and the economy; dan Empowering the community) memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekang penularan wabak ini dan seterusnya memulihkan kembali keadaan ekonomi serta kehidupan kita.
Pakej-pakej bantuan yang diperkenalkan adalah sebagai bantuan awal kepada golongan yang paling terkesan agar mereka dapat berdiri semula dan meneruskan usaha untuk membangunkan diri, keluarga serta negeri melalui produktiviti dan kelangsungan kehidupan ketika melalui pasca COVID-19.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
Hidup dalam kalangan rakyat berbilang kaum menuntut dan mengajar kita semua untuk sentiasa bertolak ansur serta hormat-menghormati antara satu sama lain agar perhubungan dan perpaduan terus kekal terjalin. Kepelbagaian budaya dan adat resam meletakkan Malaysia sangat istimewa serta unik dan menjadi tonggak kekuatan serta kesejahteraan negara selama ini.
Kita gembira pada tahun ini yang kita semua masih berkesempatan untuk meraikan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang meskipun terhad dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Kempen kibarkan Jalur Gemilang merupakan salah satu usaha Kerajaan dalam meningkatkan penghayatan nilai-nilai dan semangat yang dizahirkan oleh Jalur Gemilang untuk kita menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati, aman damai dan terus cemerlang.
Sebentar tadi kita telah mendengar amanat yang telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri secara langsung di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya bagi peringkat nasional. Saya percaya pengisian adalah hampir sama di seluruh negeri dengan kepelbagaian aktiviti telah dirangka dan disusun berpaksikan kepada satu matlamat iaitu menyemai semangat patriotisme serta nasionalisme dalam kalangan kita semua sebagai warganegara Malaysia.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan (frontliners) dan semua pihak yang terlibat dalam membantu Kerajaan Negeri menangani pandemik COVID-19. Meskipun masih belum menang, tetapi sekurang-kurangnya Pulau Pinang berjaya menjadi antara negeri yang terawal menyekat penyebaran wabak COVID-19 dan kekal sebagai negeri Hijau sehingga kini. Kita masih belum menang, jangan alpa dan kekal patuh dengan amalan 4P – Penjarakan sosial; Pakai pelitup muka ketika di luar; Pencucian tangan menggunakan sabun; dan Perhatikan gejala COVID-19.
Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam merancang pelbagai aktiviti sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Pulau Pinang. Bersama-samalah kita menggelorakan Bulan Kebangsaan dan kibarkanlah Jalur Gemilang. Kibarlah Jalur Gemilang di mana-mana sahaja anda berada, tidak kira pada kenderaan, rumah atau pejabat serta premis perniagaan bagi memeriahkan bulan kemerdekaan ini.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.