MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN 2020 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN 2020
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
29 JULAI 2020 DI KOMTAR, GEORGE TOWN
---------------------------------------------------------------------------
YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin
Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020
Tuan Haji Mohd Suhaimi bin Mohd Yunus
Pengarah Jabatan Perangkaan Pulau Pinang
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Sebentar tadi, saya dan barisan ahli EXCO Kerajaan Negeri telah diberi taklimat oleh delegasi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin sempena Majlis Pelancaran Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.
Banci Penduduk dan Perumahan 2020 atau Banci 2020 yang dilaksanakan setiap 10 tahun sekali merupakan inisiatif amat penting untuk memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa di seluruh kawasan di Malaysia. Ia menjadi sumber rujukan serta asas penting kepada perancangan pembangunan negeri dan negara secara keseluruhannya.
Data-data berhubung saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio ekonomi penduduk serta perumahan di Pulau Pinang dikumpul serta dikenal pasti. Maklumat terutama yang berkaitan dengan data fasiliti pendidikan, kesihatan, rekreasi, jaringan jalan raya yang diperoleh bakal digunakan untuk menggubal serta melaksanakan polisi kerajaan bagi tujuan pembangunan demi kepentingan rakyat.
Statistik rasmi merupakan teras kepada proses pembentukan dasar sosio ekonomi negara. Dalam aspek ini, Jabatan Perangkaan Malaysia telah diberikan tanggungjawab untuk menghasilkan statistik yang berintegriti dan boleh dipercayai dalam bidang ekonomi, sosial, demografi serta alam sekitar.
Keberhasilan daripada produk dan perkhidmatan statistik secara berkala dengan kekerapan bulanan, suku tahunan dan tahunan merupakan bukti statistik yang digunakan oleh kerajaan sebagai input dalam pembentukan, penilaian serta semakan semula dasar awam negara.
Melaluinya, setiap perancangan dasar kerajaan yang dibuat dapat difokuskan kepada pembangunan ekonomi dan pengagihan kekayaan negeri kepada semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira etnik, pendapatan serta rantaian. Malah, pengurusan negeri merentasi pelbagai sektor juga akan lebih tersusun dan saksama yang akhirnya akan memastikan kesejahteraan rakyat tetap menjadi fokus utama.
Sebagai tambahan, persekitaran dunia yang kian mencabar dengan daya saing negeri semakin bergantung kepada penguasaan data dan maklumat untuk membuat keputusan yang tepat telah menuntut agar Sistem Statistik Negara yang teguh perlu dilaksanakan.
Pelaburan strategik oleh pihak berkepentingan diperlukan bagi pembinaan prasarana serta pembangunan kapasiti Sistem Statistik Negara. Pastinya dengan ketersediaan statistik yang teguh, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap serta berkesan.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
Dalam usaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembangunan negeri berpandukan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, kejituan statistik ini adalah sangat penting agar segala polisi dan keperluan semasa yang dilaksanakan menjadi lebih proaktif serta responsif.
Justeru, saya ingin mengambil peluang ini untuk memohon agar semua rakyat Pulau Pinang dapat memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci 2020 ini. Saya pasti para petugas Jabatan Perangkaan Malaysia telah diberi panduan dan pendedahan agar segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan dipatuhi ketika proses bancian dilaksanakan.
Maklumat yang dibekalkan ini akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa hadapan, yang bakal mengemudi negeri ini ke satu tahap yang lebih baik. Jika diimbas kembali, kehidupan serta nikmat yang kita peroleh pada hari ini adalah hasil kerjasama dan komitmen rakyat yang membekalkan maklumat pada lima (5) Banci terdahulu.
Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para petugas Jabatan Perangkaan Malaysia yang bertungkus-lumus menjalankan tugas dalam memastikan matlamat Banci 2020 dapat dicapai dengan sebaiknya.
Sekian, terima kasih.