UCAPAN BAJET TAHUN 2021 NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN BAJET TAHUN 2021 NEGERI PULAU PINANG

OLEH

YAB. TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

KETIKA MEMBENTANGKAN

RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN

DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2021

DI DEWAN UNDANGAN NEGERI

PADA

12 OKTOBER 2020
(ISNIN)

PULAU PINANG:

TRANSFORMASI PEMULIHAN DAN KETAHANAN EKONOMI

KE ARAH DIMENSI BAHARU TERBILANG

PENDAHULUAN

YB. Dato’ Yang di-Pertua,

  1. Saya memanjatkan rasa penuh kesyukuran kerana berpeluang untuk membentangkan kepada Dewan yang Mulia ini, Belanjawan Negeri Pulau Pinang Tahun Pada 17 April 2020 yang lalu, Dewan ini hanya bersidang sehari sahaja selama hampir dua (2) jam bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada masa tersebut.
  1. Belanjawan 2021 merupakan belanjawan ketiga saya sejak menerajui tampuk pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima. Pembentangan kali ini merupakan detik penting dan mencabar dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas dunia dilanda musibah COVID-19. Susulan itu, kita perlu melangkah ke suatu dimensi berlandaskan normal-normal baharu. Oleh yang demikian, Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran getir ekonomi.

 

PRESTASI DAN KEDUDUKAN EKONOMI MALAYSIA

 

  1. Secara kebetulan, pandemik COVID-19 mula menyerang ketika persekitaran ekonomi global telahpun mengalami sedikit kelembapan. Pada awal Januari 2020, pertumbuhan ekonomi di hampir semua negara semakin perlahan berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Pada awal Mac 2020, apabila pandemik global ini semakin memuncak, harga minyak antarabangsa turut mengalami penurunan mengakibatkan tekanan fiskal tambahan terhadap negara-negara pengeluar minyak.
  1. Pada peringkat awal, kesan krisis mula dirasai oleh sektor elektrikal dan elektronik (E&E) yang berkait rapat dengan pasaran China. Di samping itu, sektor pelancongan dan peruncitan turut terjejas berikutan penurunan mendadak bilangan pelancong. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global pada tahun 2020 pada kadar negatif 3%, yakni kadar paling rendah pernah dicatatkan sejak Zaman Kemelesetan Besar atau The Great Depression sekitar dekad 1930-an. Kesan ini semakin meningkat mengakibatkan gangguan kepada pasaran kewangan dan mata wang di seluruh dunia termasuk Malaysia.
  1. Usaha-usaha untuk melindungi rakyat dan membatasi kerencatan ekonomi giat dilaksanakan di seluruh dunia. Di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berlanjutan selama hampir dua (2) bulan telah mengakibatkan ramai mengalami kemerosotan pendapatan, malah ada yang kehilangan pekerjaan, sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi.
  1. Walau bagaimanapun dari perspektif yang positif, langkah drastik pelaksanaan PKP dan PKPB telah mencapai matlamat apabila jumlah jangkitan menurun secara konsisten. Selain itu, PKP dan PKPB telah melonjakkan penggunaan e-commerce dan penerimaan yang meluas terhadap pelaksanaan konsep bekerja dari rumah oleh majikan.
  1. Perkembangan tersebut turut mengakibatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pada awalnya diramal positif telah dinilai semula. World Bank pada Jun 2020 meramalkan ekonomi Malaysia akan menguncup sebanyak 3.1% manakala International Monetary Fund (IMF) pula menjangkakan kemerosotan pertumbuhan pada kadar 3.8%. Kadar tersebut adalah lebih tinggi berbanding ramalan awal iaitu negatif 1.7%. Namun begitu, ramalan-ramalan tersebut bergantung kepada tempoh penularan wabak, selain keberkesanan polisi yang dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2020 untuk merangsang semula ekonomi negara.
  1. Gelombang kedua penularan wabak COVID-19 sedikit sebanyak menyukarkan usaha merangsang pertumbuhan ekonomi. Pada 6 Oktober 2020, sebanyak 691 kes dicatatkan iaitu angka tertinggi yang pernah direkodkan dalam negara. Dalam menghadapi situasi ketidaktentuan ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM155.5 juta menerusi pelaksanaan Pakej Bantuan Khas (Penang Lawan COVID-19) walaupun tidak dibajetkan semasa penyediaan belanjawan tahun 2020.

 

YB. Dato’ Yang di-Pertua,

 

PRESTASI DAN KEDUDUKAN EKONOMI PULAU PINANG

 

  1. Pada tahun 2019, Pulau Pinang kekal sebagai antara enam (6) negeri penyumbang utama ekonomi nasional selain negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sarawak, Johor, dan Sabah. Keenam-enam negeri ini telah menyumbang sebanyak 72.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Walau bagaimanapun, konflik perdagangan antarabangsa mengakibatkan ekonomi Pulau Pinang turut terjejas apabila merekodkan nilai ditambah hanya RM94.7 bilion iaitu pertumbuhan sederhana sebanyak 3.8% pada tahun 2019 berbanding 5.1% pada tahun 2018.
  1. Sektor perkhidmatan dan pembuatan merupakan nadi utama ekonomi Pulau Pinang selaras dengan tumpuan yang digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri 2030. Pada tahun 2019, sektor perkhidmatan menyumbang RM48.7 bilion atau 51.4% kepada KDNK negeri manakala sektor pembuatan menyumbang sebanyak RM40.5 bilion atau 42.8%. Sektor pembinaan pula menyumbang RM2.6 bilion atau 2.8%, sementara sektor pertanian menyumbang RM2.1 bilion atau 2.2%. Dalam pada itu, sektor perlombongan dan pengkuarian menyumbangkan RM0.2 bilion atau 0.2%.
  1. Dalam tempoh Januari hingga Jun 2020, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM9.12 billion. Prestasi yang baik ini didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI), yang berjumlah RM8.42 bilion atau 92% aliran masuk pelaburan pembuatan, sementara baki RM694 juta atau 8% adalah pelaburan domestik. Pelaburan pembuatan yang diluluskan dalam separuh pertama tersebut mewakili 54% daripada pelaburan pembuatan yang diluluskan untuk keseluruhan tahun 2019.
  1. Apa yang lebih membanggakan, Pulau Pinang menyumbang RM8.42 bilion atau 47% daripada keseluruhan pelaburan asing negara dalam tempoh Januari hingga Jun 2020. Pencapaian ini mencerminkan peranan signifikan negeri ini untuk mendorong penyertaan Malaysia dalam rantaian bekalan global dengan meraih keyakinan syarikat-syarikat multinasional untuk melabur.
  1. Sementara itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan Pulau Pinang berjaya mencatatkan 61 projek dalam sektor pembuatan sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2020 yang telah mewujudkan anggaran 6,971 peluang pekerjaan baharu.

 

KESAN PANDEMIK COVID-19

 

  1. Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ekonomi Pulau Pinang yang dijangka berkembang pesat sepanjang tahun 2020 telah menguncup sejak April lalu akibat pandemik COVID-19. Kajian oleh badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute menganggarkan bahawa kadar pengangguran meningkat melebihi 3% di Pulau Pinang pada tahun 2020 berbanding 2% pada tahun 2019 dan 2.2% pada tahun 2018. Trend pemberhentian pekerja susulan penularan COVID-19 terutama dalam sektor perkhidmatan meliputi perkhidmatan hospitaliti, perdagangan borong, penjualan runcit, pelancongan dan harta tanah banyak menyumbang kepada peningkatan kadar penggangguran ini.
  1. Bagi menangani kemelesetan dan menjana semula ekonomi, Kerajaan Negeri telah meluluskan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang (Penang Lawan COVID-19) menerusi tiga (3) fasa. Fasa 1 dengan peruntukan RM75 juta bermula seminggu selepas pelaksanaan PKP. Fasa 2.0 pula bermula pada Mei 2020 dengan peruntukan RM76 juta. Prihatin dengan rintihan rakyat, Fasa 2.1 dengan peruntukan tambahan sebanyak 5 juta diluluskan pada Ogos 2020, menjadikan peruntukan keseluruhan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang (Penang Lawan COVID-19) mencecah RM155.5 juta.
  1. Selain itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC). Jawatankuasa ini berperanan untuk merangka strategi jangka pendek dan sederhana bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing dan tempatan serta menentukan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan pasca PKP.

YB. Dato’ Yang di-Pertua,

FOKUS BELANJAWAN 2021

  1. Ke arah merealisasikan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri menggariskan empat (4) strategi bagi memperkasakan pemulihan ekonomi Pulau Pinang. Empat (4) strategi yang dimaksudkan itu ialah:

Pertama    :        Menggalakkan Pelaburan dan Meningkatkan

Produktiviti Pemacu Pertumbuhan Ekonomi

Kedua       :        Membangunkan Infrastruktur dan Komuniti Digital

ke Arah Ketahanan Mampan

Ketiga       :        Memperkukuh dan Mensejahtera Kualiti Hidup

Rakyat

Keempat   :        Memperkasa Peranan dan Bakat Modal Insan

  1. Semua strategi adalah sangat signifikan untuk menggerakkan agenda transformasi pemulihan dan memperkukuhkan ketahanan ekonomi bagi memacu Pulau Pinang merintis dimensi baharu yang lebih berdaya maju dan gemilang.

 

 

STRATEGI PERTAMA:

MENGGALAKKAN PELABURAN DAN MENINGKATKAN PRODUKTIVITI BAGI MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI   

 

Mengungguli Prestasi Pelaburan

 

  1. Pada tahun 2019, Pulau Pinang mencatatkan rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri ini. Berdasarkan data projek pembuatan yang diluluskan oleh MIDA, Pulau Pinang merupakan penyumbang FDI tertinggi dalam negara dengan jumlah pelaburan RM15 bilion. Ketidakpastian ekonomi global yang disebabkan oleh COVID-19 dan perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China tidak banyak menjejaskan peluang untuk pembangunan pelaburan dan industri di negeri ini. Kerajaan Negeri akan terus memperkasa dan menggalakkan pelaburan tempatan dan luar negara sama ada dalam pelaburan baharu atau pelaburan semula.
  1. Sektor pembuatan terus menjadi satu daripada pemacu utama aktiviti-aktiviti galakan. Industri-industri galakan dalam sektor pembuatan meliputi semikonduktor, peralatan semikonduktor dan industri berkaitan, peralatan elektrik dan elektronik, aeroangkasa, avionik, peralatan perubatan dan industri halal. Pada tahun 2020, syarikat-syarikat seperti Lam Research, Bosch Automotive Electronics, Dexcom dan Ultra Clean Holdings (UCT) telah mengumumkan pelaburan baharu mereka di Pulau Pinang sekaligus membuktikan negeri ini berjaya mengekalkan momentum menarik pelaburan.
  1. Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan kerjasama dengan MIDA untuk menganjurkan lebih banyak misi pelaburan yang berfokus dengan negara-negara maju dan membangun seperti China, Jepun, Korea Selatan, India dan Timur Tengah. Bidang pelaburan seperti pelancongan, pembuatan elektrik dan elektronik, pelancongan perubatan serta pertanian akan terus diberi penekanan untuk meningkatkan kebolehsaingan Pulau Pinang. Pada masa yang sama untuk menarik lebih ramai pelabur, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menambah baik segala prosedur dan syarat-syarat pelaburan untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih cekap, fleksibel dan rancak.
  1. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) sedang dalam proses membina GBS@Mahsuri, yang dijangka akan siap pada bulan Oktober tahun ini. GBS@Mahsuri akan menyediakan ruang pejabat seluas 80,000 kaki persegi untuk memenuhi permintaan syarikat-syarikat Global Business Services (GBS). Ruang GBS@Mahsuri telah menerima pra-sewaan (pre-letting) yang memberangsangkan daripada syarikat-syarikat Global Business Services (GBS) terkemuka global.
  1. Untuk membudayakan norma baharu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan Kongres Dunia Teknologi Maklumat (World Congress on Information Technology) secara maya pada 18 hingga 20 November 2020 dengan tema “Discover New Opportunities in Southeast Asia”. Kongres ini bakal menghimpunkan para ketua industri, pemimpin kerajaan dan ahli akademik dari lebih 80 buah negara.
  1. Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) iaitu sebuah syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) milik penuh Kerajaan Negeri telah ditubuhkan bagi menerajui pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Syarikat ini yang diperbadankan pada Julai 2020 berperanan untuk merealisasikan projek-projek infrastruktur mega di bawah PTMP merangkumi:
  1. Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas,
  2. Projek Lebuhraya Pan Island Link (PIL) Fasa 1 dan 2A,
  3. Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR),
  4. Projek Tiga Jalan Utama, serta
  5. Projek Terowong Dasar Laut.

 

YB. Dato’ Yang di-Pertua,

 

Memperkasakan Potensi Perindustrian

 

  1. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) telah sekian lama memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Pulau Pinang. Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited menyokong misi pembangunan IKS dengan menggunakan tiga (3) pendekatan iaitu penubuhan:
    1. Pusat Penasihat Pasaran, Sumber dan Latihan IKS Pulau Pinang (Penang S.M.A.R.T Centre),
    2. Pusat IKS Pulau Pinang (Penang SME Centre), dan
    3. Perkampungan-perkampungan IKS Pulau Pinang (Penang SME Villages).

 

  1. Kerajaan Negeri juga melalui InvestPenang telah melancarkan @CAT (accelerator for creative, analytics and technology) dan menawarkan perkongsian ruang kerja serta pusat animasi kreatif dan teknologi untuk membantu usahawan kecil yang terlibat di dalam bidang kreatif animasi dan sektor Ïnternet of Things (IOT). Dalam usaha merancakkan pembangunan ‘start-up’, Kerajaan Negeri telah melancarkan program dana Penang i4.0 Seed Fund bernilai USD1 juta (RM4 juta) bagi projek-projek ‘start-up’ yang berpotensi tinggi. Setakat ini, 27 syarikat telah menerima manfaat melalui dana ini.

 

Mengupaya Keberhasilan Pertanian

 

  1. Walaupun pada tahun 2018, sektor pertanian di Pulau Pinang mengalami kemerosotan sebanyak 3.2%, namun pada tahun 2019, sektor ini telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.9% dengan nilai ditambah sebanyak RM2.1 bilion. Peningkatan ini dilonjakkan oleh subsektor perikanan yang menyumbang sebanyak 41.2% kepada sektor pertanian. Subsektor ternakan pula menyumbang 26.6% manakala aktiviti tanaman seperti sayur-sayuran, padi dan tanaman makanan menyumbang sebanyak 20.6% kepada sektor pertanian negeri.
  1. Program Tabung Usahawan Tani (TUT) yang diperkenalkan sejak tahun 2015 akan diteruskan untuk membantu golongan petani, penternak dan nelayan bagi memulih dan meningkatkan produktiviti perusahaan masing-masing. Program skim pinjaman mikro kredit ini memberi peluang kepada usahawan tani untuk membuat pinjaman tanpa faedah. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk program tersebut.

 

Meneruskan Kelestarian Pertanian

  1. Permintaan dan bekalan makanan domestik turut terkesan susulan penularan wabak COVID-19. Bagi memastikan rakyat memperolehi bekalan mencukupi, selamat dan berkhasiat, rantaian bekalan makanan sedia ada perlu ditambah baik supaya lebih berdaya tahan tanpa bergantung sepenuhnya kepada sumber luar negara. Bagi meneruskan kelestarian pertanian, Kerajaan Negeri memperuntukkan 65 juta kepada Jabatan Pertanian pada tahun 2021.
  1. Kerajaan Negeri juga amat berbangga dengan pembukaan Ladang Vanila Pintar pertama di Malaysia oleh sebuah syarikat tempatan yang diterajui oleh agropreneur muda menggunakan teknologi ‘Internet of Things’ (IoT) di Permatang Pauh Agropark. Penanaman pokok vanila secara pintar tersebut dijangka dapat membawa pulangan ekonomi kira-kira 5 juta setahun kepada negeri.

Memacu Pertumbuhan Industri Penternakan

  1. Pengeluaran daging ayam/itik dan khinzir telah melebihi tahap sara diri atau self-sufficient level (SSL) di negeri Pulau Pinang sejak dua (2) dekad yang lalu. Pengeluaran tersebut merupakan penyumbang utama Nilai Hasil Ternakan (NHT) iaitu sebanyak RM918.94 juta atau 82.77% daripada jumlah keseluruhan NHT tahun 2019.
  1. Bagi memperkemas usaha untuk melestarikan keselamatan bekalan makanan di negeri ini, Enakmen Penternakan Babi 2016 telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2020 manakala Peraturan-Peraturan Perlesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020 pula telah dikuatkuasakan pada 1 Mac 2020. Pada sidang Dewan kali ini, Rang Undang-Undang Perladangan Unggas (Pulau Pinang) 2020 akan dibentangkan. Permohonan pengecualian kebenaran merancang bagi ladang khinzir telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 sebagai sokongan Kerajaan Negeri supaya ladang-ladang ternakan khinzir sedia ada diberi tempoh mencukupi untuk dinaik taraf kepada sistem penternakan moden dalam persekitaran yang mesra alam.
  1. Kerajaan Negeri juga akan terus melaksanakan usaha-usaha untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam industri ternakan. Sebagai contoh, projek penternakan ayam baka berskala komersial telah dilaksanakan dengan jayanya di Batu Kawan Agropark. Projek ternakan tersebut mampu mengeluarkan bekalan daging ayam yang mencukupi serta mengekalkan SSL bagi bekalan ayam pada masa hadapan di samping mewujudkan peluang pekerjaan serta peluang latihan untuk siswazah perubatan veterinar.
  1. Untuk tahun 2021, Kerajaan Negeri akan terus mentransformasi penternakan tradisional ke tahap semi-komersial dan komersial bagi meningkatkan pengeluaran untuk menampung keperluan daging, susu dan telur. Sebanyak 52 juta akan diperuntukan untuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tujuan tersebut.

Memperkukuh Industri Perikanan

  1. Negeri Pulau Pinang turut menyumbang kepada pengeluaran akuakultur negara. Aktiviti akuakultur menyumbang 30.3% kepada keseluruhan sektor pertanian di Pulau Pinang. Bagi memastikan produk akuakultur berkualiti dan selamat dimakan, Kerajaan Negeri memberi penekanan terhadap keperluan untuk mematuhi Amalan Akuakultur Baik serta Skim Pensijilan myGAP. Sehingga tahun 2020, lima (5) ladang akuakultur di Pulau Pinang telah dianugerahkan dengan sijil myGAP (Akuakultur).

Menyemarakkan Potensi Industri Pelancongan dan Warisan

  1. Meskipun terkesan dengan wabak COVID-19, Pulau Pinang kekal unggul sebagai sebuah destinasi pelancongan apabila mendapat pengiktirafan daripada pelbagai institusi dan agensi antarabangsa. Antara pengiktirafan yang diterima pada tahun 2020 adalah:
    1. disenaraikan sebagai salah satu destinasi persaraan terbaik di dunia oleh International Living;
    2. Six of The World’s Most Thrilling Long-Haul City Breaks oleh The Telegraph;
    3. salah satu bandar yang mempunyai pilihan makanan paling dinamik di dunia oleh Eater Travel;
    4. George Town sebagai salah satu bandar terbaik untuk nomad digital (Digital Nomad) oleh The National, dan
    5. George Town antara 10 ibu kota terbaik dengan seni jalanan di dunia.
  1. Dalam usaha untuk mengekalkan keyakinan para pelancong terhadap Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi pelancongan yang selamat dan menarik, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Sistem Akreditasi Pasca COVID-19. Akreditasi ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada mana-mana penggiat industri pelancongan seperti pengusaha hotel dan premis penginapan pelancong serta pengusaha tempat daya tarikan yang mematuhi peraturan yang diwajibkan oleh Kerajaan Negeri untuk menyekat penyebaran virus COVID-19. Penggiat industri pelancongan yang telah memenuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan akan diberi logo rasmi untuk dipamerkan di premis serta untuk kegunaan promosi serta pemasaran.
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) telah melaksanakan projek Normal Baharu di George Town atau “George Town in the New Normal”. Projek ini merupakan projek utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membantu masyarakat tempatan bagi menjana semula dan membantu peralihan sektor warisan budaya Pulau Pinang dalam menghadapi normal baharu.
  1. Pada tahun 2021, GTWHI akan menganjurkan Perayaan Warisan George Town dan George Town Festival dengan kerjasama masyarakat setempat dan persatuan tempatan secara atas talian. Anggaran peruntukan untuk program-program tersebut berjumlah 0 juta.

 

  1. Meneruskan usaha untuk memartabatkan Bukit Bendera sebagai destinasi ekopelancongan terunggul di Malaysia, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa projek seperti menaik taraf Stesen Atas Bukit Bendera (Fasa 4), penstabilan cerun, pemasangan anti climb fence di sepanjang landasan dan sistem pengurusan trafik Bukit Bendera.
  1. Sebagai usaha untuk meneruskan pelaksanaan projek kereta kabel, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan Request for Proposal (RFP) bagi projek ini yang dijangka memakan masa selama dua (2) atau tiga (3) tahun. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan projek-projek pembangunan seperti Penang Hill Visitors’ Gallery, menaik taraf bangunan Astaka Bukit Bendera dan projek-projek pemuliharaan banglo warisan milik kerajaan seperti banglo Woodside, Convalescent dan Fernhill. Kerajaan Negeri juga akan menaik taraf infrastruktur seperti Jalan Viaduct dan saliran daripada kawasan Lower Tunnel sehingga kawasan Claremont. Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah 11 juta untuk pembangunan Bukit Bendera.

Menjana Hasil Melalui Guna Tanah Yang Optimum

 

  1. Untuk meningkatkan hasil negeri melalui hartanah yang dimiliki, usaha sedang diambil untuk mengkelaskan semula tanah-tanah desa yang telah dibangunkan menjadi bandar di seluruh Pulau Pinang di bawah Seksyen 51(2)(a) Kanun Tanah Negara (KTN). Usaha juga sedang diambil untuk meminda sempadan bandar asal di bawah Seksyen 11(ca) KTN dan mewujudkan bandar-bandar baharu di bawah Seksyen 11(d) KTN. Kerajaan Negeri dijangka akan mendapat hasil sebanyak RM56 juta selepas pelaksanaan program ini.

YB. Dato’ Yang di-Pertua,

STRATEGI KEDUA:

MEMBANGUNKAN INFRASTRUKTUR DAN KOMUNITI DIGITAL KE ARAH KETAHANAN MAMPAN

 

Mengukuhkan Jaringan Pengangkutan

 

  1. Pelaburan dalam infrastruktur amat signifikan dalam memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri. Kerajaan Negeri telah menyediakan 98 juta bagi tahun 2021 untuk kesinambungan projek pembinaan dan menaik taraf jalan raya dan jambatan di seluruh Negeri Pulau Pinang.
  1. Sistem jalan raya yang sempurna melambangkan kemajuan pembangunan sesuatu tempat. Penyenggaraannya memerlukan kos yang tinggi. Kerajaan Negeri ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) bagi penyenggaraan jalan-jalan negeri, jalan raya bandaran, jalan kampung dan jalan pertanian di Pulau Pinang. Sehingga Oktober 2020, sebanyak 97 juta telah disalurkan di bawah peruntukan ini.
  1. Sebagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, perkhidmatan bas percuma, ‘CAT Bridge’ telah diperkenalkan mulai 1 September hingga 31 Disember 2020. Perkhidmatan ‘CAT Bridge’ ini merupakan laluan alternatif kepada orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam untuk merentasi Jambatan Pulau Pinang selain perkhidmatan feri. Buat masa ini, laluan percubaan bagi perkhidmatan ini merangkumi kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) serta beberapa kawasan tumpuan utama di bahagian Pulau dan Seberang Perai. Kerajaan Negeri akan meneliti maklum balas daripada orang awam berhubung perkhidmatan ‘CAT Bridge’ dan menilai keberkesanan pelaksanaannya selepas Disember 2020. Suka saya mengumumkan bahawa sebanyak RM15 juta akan disediakan bagi meneruskan perkhidmatan bas percuma CAT di laluan-laluan utama yang ditetapkan di Negeri Pulau Pinang.
  2. Projek-projek Rancangan Tebatan Banjir Berimpak Tinggi akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2021. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan 13 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk projek-projek mendalam dan membaiki sungai, pengairan dan saliran pertanian, projek tebatan banjir serta pembangunan pantai, koridor sungai, saliran mesra alam dan kolam takungan.

Merancakkan Pertumbuhan Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa

YB. Dato’ Yang di-Pertua,

 

  1. Kerajaan Negeri juga memberi fokus ke arah pembangunan negeri pintar bertaraf antarabangsa melalui pendigitalan perkhidmatan bandar raya dengan teknologi pintar. Satu daripadanya ialah Penang Smart Parking (PSP), iaitu sistem pengurusan dan pengoperasian 36,000 petak Tempat Letak Kereta (TLK) secara pintar yang merangkumi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang telah bermula sejak bulan Ogos 2019. Aplikasi PSP telah dimuat turun sebanyak 351,413 kali dengan bilangan transaksi bayaran sebanyak 2,635,517 kali serta nilai kutipan sebanyak RM5.12 juta. Proses pemasangan secara berfasa bagi semua 36,000 sensor sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2021.

Meluaskan Capaian Telekomunikasi

 

  1. Dalam aspek infrastruktur telekomunikasi, Negeri Pulau Pinang diiktiraf oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai negeri kedua terbaik selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari segi liputan telekomunikasi. Kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk di Pulau Pinang adalah sebanyak 139.7%, lebih tinggi dari kadar nasional 127.7%. Penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula mencapai kadar 11.8%, lebih tinggi dari kadar nasional 8.1%.
  1. Untuk memastikan ketersediaan jalur lebar bertaraf 5G di seluruh Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri bersama dengan kesemua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah merangka satu Pelan Kesalinghubungan Negeri Pulau Pinang atau Penang Connectivity Master Plan (PCMP) selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

 

  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya bertuah kerana mempunyai dua (2) pihak berkuasa tempatan (PBT) yang cemerlang menggalas peranan masing-masing sebagai perantara Kerajaan Negeri dan rakyat. Bagi tahun 2021, MBPP dan MBSP terus komited untuk menjalankan fungsi merancang, membangun dan menguruskan kawasan bandar. Di sebelah pulau, antara projek yang akan dilaksanakan oleh MBPP termasuk projek menaik taraf tembok laut dan pejalan kaki di George Town dan Bayan Lepas, pembinaan jalan berkembar di Jalan Paya Terubong, pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam berserta tempat letak kenderaan di Batu Lanchang serta pembinaan bangunan baru di Jalan Kampung Jawa.
  1. Manakala, di Seberang Perai pula, MBSP akan membangunkan semula Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja serta melaksanakan pembangunan bercampur dan komersial di Bandar Seberang Jaya, serta menaik taraf sistem perparitan dan membina rumah pam di Taman Bunga Raya, Butterworth serta menaik taraf Kompleks Makanan Lengkok Tenggiri, Seberang Jaya. Kerajaan Negeri percaya MBPP dan MBSP akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dan memainkan peranan yang penting dalam membantu pertumbuhan serta meningkatkan daya saing negeri secara keseluruhannya.
  1. Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi Projek Parit Monsun dari Sungai Puyu ke Jalan Siram yang akan dilaksanakan pada tahun 2021 dan dijangka siap pada tahun 2023. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah 4 juta bagi Projek Menaik Taraf Kompleks Penjaja Mak Mandin (Pasar Awam), Butterworth. Sebagai satu daripada usaha merealisasikan Visi Penang2030, sebanyak RM2 juta juga telah diperuntukkan bagi pembangunan Robina Eco Park Fasa 2 sebagai lokasi tarikan terbaharu di Seberang Perai.

 

Memanfaatkan Pendigitalan Komuniti

 

  1. Pada 26 April 2020 iaitu semasa tempoh PKP, satu inisiatif pintar melibatkan pembayaran tanpa tunai telah dilaksanakan secara perintis di Pasar Awam Taman Tun Sardon yang melibatkan 33 penjaja. Inisiatif ini kemudiannya diperluaskan ke semua 56 pasar awam di seluruh Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama 17 penyedia perkhidmatan kewangan dan sebuah syarikat telekomunikasi. Setakat ini, inisiatif tersebut telah menerima maklum balas positif daripada 991 penjaja di 13 pasar awam yang menerima pakai kaedah e-pembayaran. Sebanyak 2,500 transaksi jualan bernilai RM50,000.00 telah dilakukan melalui kaedah e-pembayaran tersebut.
  2. Pada masa yang sama, penggunaan teknologi digital adalah antara alternatif terbaik bagi membantu usahawan PKS meneruskan aktiviti perniagaan sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran terutama dalam tempoh pasca COVID-19 ini. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui Digital Penang telah memperkenalkan program Digital Coach Scheme dan Digital Promoter Scheme bertujuan untuk memberi peluang pekerjaan separuh masa kepada golongan yang memerlukannya.
  1. Digital Coach Scheme merupakan program memberi pengetahuan kepada golongan yang kurang berkemahiran dalam penggunaan teknologi digital terutamanya warga emas dan penduduk desa. Digital Promoter Scheme pula merupakan program menggalakkan penggunaan e-wallet oleh pengguna dan peniaga dalam menyokong usaha transaksi tanpa tunai Kerajaan Pulau Pinang.
  1. Bagi tujuan pelaksanaan Digital Coach Scheme dan Digital Promoter Scheme, suka saya umumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan anggaran 19 juta. Saya mengambil kesempatan ini menyeru semua komuniti perniagaan untuk mempercepatkan usaha pendigitalan dalam semua aspek perniagaan masing-masing untuk menjamin kelangsungan perniagaan dan kekal relevan.

 

Menambah Baik Prasarana Sukan dan Rekreasi

  1. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang akan mewujudkan Sports City Batu Kawan yang akan menggabungkan beberapa prasarana sukan bertaraf antarabangsa. Dalam masa yang sama, Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang merancang program-program yang menarik dan bermanfaat bagi mengaktifkan Stadium Negeri Batu Kawan. Antaranya ialah:
    1. pembukaan trek balapan stadium kepada orang ramai menjalankan aktiviti larian dan joging berekreasi,
    2. pembukaan Gimnasium Stadium,
    3. Penang International Fruits And Flowers Festival 2021,
    4. Talent Developing Society and Zero2Maker,
    5. Litar Perlumbaan Drag Race, Sports for All @ Stadium Negeri Pulau Pinang, dan
    6. Karnival Sukan Batu Kawan Industrial Park dan Penang Science Park.
  1. Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang juga akan membangunkan dua (2) buah Taman iaitu Taman Kejiranan Lebuh Sungai Pinang 7, Jelutong dan kawasan lapang Pokok Sena di Seberang Perai Utara sebagai sebuah Taman Sukan dan Rekreasi. Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bersama Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang serta agensi-agensi berkaitan sedang dalam usaha merangka Pelan Induk Kemudahan Sukan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan Negeri Pulau Pinang mempunyai kemudahan dan fasiliti sukan yang mencukupi serta sedia untuk digunakan. Suka saya umumkan untuk tahun 2021, sebanyak 45 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan keseluruhan program di bawah pembangunan sukan dan kawasan lapang.

Melestarikan Persekitaran Selamat dan Bersih

  1. Salah satu aspek utama dalam pelaksanaan inisiatif pintar adalah aspek keselamatan. Kerajaan Negeri melalui MBPP dan MBSP telah menaik taraf closed-circuit television (CCTV) dengan keupayaan analitis dan pengecaman wajah. Selain itu, CCTV juga telah dipasang di kawasan hotspot jenayah, pembuangan sampah haram dan jalan-jalan yang mempunyai aliran trafik yang tinggi. Setakat bulan Ogos 2020, sebanyak 1,177 CCTV telah dipasang di seluruh Pulau Pinang.
  1. Kerajaan Negeri amat prihatin dengan kebajikan penduduk di Ladang Byram yang terpaksa dipindahkan kerana berada dalam zon penampan Fasa III, tapak pelupusan sampah Pulau Burung. Kerajaan Negeri sedang membangunkan satu kawasan khas untuk menempatkan semula penduduk dengan pembinaan 76 buah rumah kos rendah, sebuah sekolah rendah dan sebuah kuil. Projek ini dijangka siap pada hujung tahun 2022.
  1. Projek perintis ‘waste to energy’ melibatkan kutipan dan pemprosesan sisa organik di bahagian pulau menunjukkan potensi untuk diperkembangkan ke seluruh negeri. Kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan di kawasan Seberang Perai. Projek ini berpotensi untuk meningkatkan lagi kadar kitar semula negeri dan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.
  1. Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah-langkah pragmatik untuk menutup secara selamat, memulih dan membangunkan tanah bekas tapak pelupusan sampah di Jelutong melalui satu tender terbuka. Tanah ini yang berkeluasan 84 ekar akan mengambil masa lima (5) tahun untuk dipulihkan dan sepuluh (10) tahun untuk dibangunkan bagi pembangunan bercampur yang akan mengubah wajah kawasan Jelutong. Syarikat yang berjaya dalam tender telah menandatangani satu perjanjian dengan Kerajaan Negeri pada 21 Februari 2020 untuk rehabilitasi dan membangunkan tapak berkenaan dengan kos keseluruhan berjumlah RM1 bilion.

 

YB. Dato’ Yang di-Pertua,

STRATEGI KETIGA:

MEMPERKUKUH DAN MENSEJAHTERA KUALITI HIDUP RAKYAT

 

Meningkatkan Daya Huni Rakyat

 

  1. Melalui Agenda Penang 2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, di bawah teras Meningkatkan Daya Huni Rakyat yang bertujuan untuk menambah baik kualiti kehidupan rakyat telah mencapai sasaran menyediakan perumahan yang selesa dan mencukupi bagi golongan B40 dan M40. Semenjak 2008 hingga kini, Kerajaan Negeri telah berjaya memastikan sebanyak 33,847 rumah mampu milik A, B dan C siap dibina. Sebanyak 20,721 unit lagi sedang dalam pelbagai fasa pembinaan manakala 52,174 unit pula berada di peringkat perancangan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 106,742 unit, melepasi jumlah komitmen yang dinyatakan di dalam Manifesto 100 Hari Perumahan Untuk Semua, iaitu sebanyak 75,362 unit. Kerajaan Negeri kini meletakkan sasaran baharu iaitu untuk menyediakan 220,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2030, berbanding sasaran 180,000 unit rumah mampu milik seperti yang terkandung dalam Visi Penang2030.
  2. Pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP telah memberi tekanan kepada golongan B40 dan M40. Sektor pembinaan pula menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan pembinaan perumahan yang selesa dan mampu milik. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperkenal Home Ownership Campaign (HOC) atau Kempen Pemilikan Rumah Negeri Pulau Pinang 2020 dan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah Negeri Pulau Pinang 2020.
  1. Antara intipati dasar ini adalah untuk mengurangkan 10% siling maksimum rumah mampu milik (RMM). Harga siling RMM C yang baharu bagi keluasan minima 850 kaki persegi ditetapkan pada RM270,000.00 di bahagian pulau manakala RM225,000.00 di Seberang Perai. Selain itu, sektor pembinaan yang terjejas juga diberikan insentif tambahan melalui pemberian pelbagai diskaun, pengecualian dan aspek pematuhan yang dijangka dapat mengurangkan kos pembinaan dan merancakkan aktiviti pembinaan.
  1. Bagi membantu golongan yang menghadapi masalah pembiayaan untuk memiliki rumah mampu milik pula, Kerajaan Negeri menyasarkan penyediaan 22,000 unit sewa beli. Kerajaan Negeri juga telah memohon secara rasmi pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 di mana lima (5) tapak meliputi kelima-lima daerah dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan. Tapak-tapak tersebut adalah di Jelutong, Jalan Mayang Pasir, Batu Kawan, Kampung Tongkang, dan Ujung Batu.
  1. Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan sebanyak RM250.1 juta atau purata RM20.83 juta setahun dalam menyelenggara perumahan awam dan swasta di kelima-lima daerah. Daripada jumlah tersebut, RM191.3 juta dibelanjakan untuk skim-skim di bawah perumahan awam, RM23.4 juta untuk skim perumahan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan 4 juta untuk penyelenggaraan Skim Perumahan Kos Rendah/Sederhana Rendah swasta melalui inisiatif Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus (TPM80). Untuk 2021 Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM6.8 juta untuk TPM80 dan  RM12 juta untuk penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf perumahan awam kos rendah.
  1. Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang secara rasminya akan memulakan operasi pada 1 Januari 2021. Pada masa ini, segala urusan migrasi serta transisi daripada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang sedang giat dilaksanakan. Selaras dengan Seksyen 42 (1) Enakmen Lembaga Perumahan Pulau Pinang, penubuhan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang adalah bertujuan untuk memacu pembangunan serta melestarikan pembangunan rumah mampu milik dan pembangunan semula bandar di seluruh Pulau Pinang.

Mendahulukan Kebajikan Rakyat

 

  1. Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan kebajikan rakyat negeri Pulau Pinang sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan negeri dan amat prihatin dengan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini terutama golongan-golongan rentan (vulnerable groups) yang sering terkesan dengan perubahan sosio-ekonomi dunia. Mengambil kira kekuatan ekonomi pasca PKP dan pengumuman terbaru Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri akan mengkaji dan memperhalusi penggunaan PGK terbaharu tersebut bagi memastikan program-program pembasmian kemiskinan di Pulau Pinang dapat dilaksanakan tanpa melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kedudukan kewangan negeri.
  1. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan memfokuskan agenda-agenda yang mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, dan meningkatkan kebolehpasaran rakyat negeri sebagai kaedah pembasmian kemiskinan yang utama.

 

  1. Sebagai langkah yang proaktif untuk merapatkan jurang pendapatan masyarakat, Kerajaan Negeri akan menggunakan kadar pendapatan per kapita (PPK) yang baharu iaitu daripada RM220.00 kepada RM260.00 mulai September 2020 bagi penyaluran bantuan-bantuan berkaitan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri. Selaras dengan perubahan ini, bantuan Agenda Ekonomi Saksama (AES) telah digabungkan dengan Bantuan Am di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan bantuan yang diberikan relevan dengan keperluan semasa, urus tadbir pemberian bantuan yang lebih efisien, tiada pertindihan yang boleh menyebabkan ketirisan wang, serta penyampaian bantuan program kebajikan yang lebih inklusif untuk semua rakyat yang layak tanpa mengira lokaliti pengundian. Program ini dijenamakan sebagai Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES).

                                                                                       

  1. Sebagai penghargaan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang sosial, Kerajaan Negeri dengan berbesar hati akan meneruskan program-program kebajikan di bawah iSejahtera dengan sejumlah RM50 juta akan diperuntukan bagi tujuan tersebut. Mengambil pengajaran dari peningkatan permohonan pembayaran secara pindahan wang elektronik (EFT) ketika tempoh PKP berkuat kuasa, Kerajaan Negeri akan terus berusaha ke arah 100% pembayaran secara kaedah EFT bagi memastikan proses pemberian sumbangan dapat dilakukan dengan efisien dan telus, serta mengurangkan kos-kos sampingan melalui pembayaran secara tunai.

 

  1. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga komited untuk meneruskan program kebajikan yang mengutamakan golongan miskin negeri secara langsung seperti Program Mutiara Foodbank. Program ini sememangnya memberi manfaat kepada golongan yang kurang berkemampuan melalui kaedah menyelamatkan lebihan makanan daripada pasar raya besar dan mengagihkan semula makanan tersebut kepada golongan sasar yang telah dikenal pasti. Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM300,000.00 bagi kelangsungan pelaksanaan Program Mutiara Foodbank. Sehingga bulan Julai 2020, program yang telah diperkenalkan sejak 2017 ini telah berjaya menyelamatkan lebih 890 tan lebihan makanan berupa hasil pertanian dan produk bakeri serta telah memberi manfaat kepada 40,445 orang penerima.
  1. Pada kesempatan ini, suka saya mengingatkan semua rakyat Pulau Pinang untuk menjayakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 atau MyCensus Pembancian dalam talian (e-census dan Computer Assisted Telephone Interview) yang sepatutnya berakhir pada 30 September 2020 telah disambung semula pada 7 Oktober 2020 sehingga 21 Disember 2020. Berikutan peningkatan kes COVID-19 kebelakangan ini juga, fasa kedua banci (secara bersemuka) yang sepatutnya bermula pada 7 sehingga 24 Oktober 2020 telah dijadualkan semula kepada 20 Januari sehingga 6 Februari 2021.
  1. Bagi mereka yang masih belum melaksanakan bancian, gunakan kesempatan lanjutan tempoh ini untuk melunaskan tanggungjawab sebagai rakyat yang prihatin. Beri kerjasama sepenuhnya apabila dikunjungi oleh para pembanci semasa fasa kedua kelak. Hasil dapatan bancian inilah bakal mencorakkan struktur demografi, sosial dan ekonomi yang akan digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk menetapkan hala tuju pembangunan negeri serta menyediakan kemudahan, bantuan serta manfaat-manfaat berkaitan.

 

Mengutamakan Kesejahteraan dan Kesihatan Rakyat

  1. Bagi meluaskan skop kemudahan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat, beberapa projek pembangunan telah diluluskan di dalam Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-11 bagi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP). Antaranya:-
    1. Membina baharu Klinik Kesihatan Jenis 2 (KK2) Dengan Kuarters, Bayan Lepas, Daerah Barat Daya; dan
    2. Membina baharu Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tasek Mutiara, Seberang Perai Selatan.

 

  1. Saya ingin memanjangkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan untuk meluluskan projek-projek pembangunan ini demi untuk memastikan kemudahan kesihatan dapat dinikmati dan mudah diakses oleh rakyat Pulau Pinang.
  2. Walaupun telah memasuki fasa pemulihan, namun peperangan menentang COVID-19 ini masih belum berakhir. Selagi vaksin utama untuk virus ini belum ditemui, SOP adalah vaksin yang paling berkesan untuk tempoh masa kini. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mematuhi setiap SOP yang telah digariskan oleh Kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19. Untuk memastikan Pulau Pinang benar-benar terputus daripada rantaian COVID-19, Kerajaan Negeri akan terus berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan komuniti melalui pendidikan kesihatan berkaitan COVID-19 terutamanya penerapan normal baharu dalam kehidupan serta kepentingan menjaga kawalan kendiri sama ada di tempat kerja, tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah pada setiap masa.

 

Memastikan Kelestarian Bekalan Air

 

  1. Sejak tahun 2008 sehingga kini, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan Polisi Tiada Catuan Air dengan jayanya. Polisi ini tidak lain tidak bukan mempunyai matlamat utama untuk memastikan air terawat dan berkualiti dapat dibekalkan secara berterusan kepada semua rakyat Pulau Pinang serta sektor industri. Selain memelihara kesihatan awam, perkara ini adalah penting untuk menarik lebih banyak pelabur untuk membuka perniagaan baharu di Pulau Pinang. Bagi tahun 2021, PBAPP akan meneruskan pemasangan saluran paip baharu untuk membekalkan air ke semua kawasan pertumbuhan baharu di Pulau Pinang melalui sepuluh (10) projek yang telah dikenal pasti dengan kos keseluruhan berjumlah 5 juta serta enam (6) lagi projek yang sedang dikenal pasti kosnya oleh PBAPP.

 

World UN Habitat Day

 

  1. Setiap tahun UN Habitat akan menganjurkan sambutan World UN Habitat Day di seluruh dunia. Bagi tahun ini, sambutan telah dibuat di negara jiran iaitu di Surabaya, Indonesia dengan tema Pembangunan Perumahan Untuk Semua: A Better Urban Future, and The Global Observance. Tujuan sambutan ini adalah untuk menilai perkembangan bandar dan bandar raya di dalam sesebuah negeri termasuklah keperluan penyediaan keperluan asas untuk dinikmati oleh semua orang iaitu tempat perlindungan.

 

  1. Kerajaan Negeri tidak ketinggalan untuk memberikan yang terbaik kepada penduduk Pulau Pinang. Antaranya adalah menjalinkan kerjasama erat bersama pihak UN Habitat untuk menambah baik kualiti projek pembangunan dan perkhidmatan yang disediakan. Bagi tujuan tersebut, UN Habitat telah menyediakan perancangan awal untuk pelaksanaan projek di bawah seliaan Kerajaan Negeri selaras dengan dimensi Sustainable Development Goals (SDG) dan New Urban Agenda (NUA) secara spesifik dengan mengambil kira Visi Penang2030.

 

  1. Ini sekaligus memastikan pembangunan dan pelaksanaan projek-projek dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan komuniti setempat dan kemudahan infrastruktur sedia ada, urban resilience, regenerasi bandar, kemudahan mobiliti dan kesalinghubungan antara bandar.

YB. Dato’ Yang di-Pertua,

 

STRATEGI KEEMPAT :

MEMPERKASA PERANAN DAN BAKAT MODAL INSAN

 

Memartabatkan Peranan Institusi Kekeluargaan dan Wanita

 

  1. Keganasan rumah tangga menjadi topik yang hangat dibincangkan semasa penularan wabak COVID-19 di Malaysia. Sememangnya keganasan rumah tangga ini bukan sahaja meruntuhkan institusi keluarga, malahan dapat memusnahkan masa depan anak-anak muda. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri sebulat suara meluluskan Dasar Keluarga Selamat Pulau Pinang sebagai salah satu usaha untuk membanteras keganasan rumah tangga dengan lebih komprehensif. Usaha ini dilaksanakan dengan melibatkan kolaborasi dan kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), badan-badan Bukan Kerajaan serta Persatuan Agama untuk menangani keganasan rumah tangga di Pulau Pinang.

 

  1. Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan program-program keusahawanan wanita pada tahun 2021. Program Wanita Jana Rezeki adalah antara program yang telah diadakan pada tahun 2020 yang memperlihatkan penglibatan seramai 31 pengusaha wanita yang mengetengahkan 65 produk hasil perusahaan masing-masing. Program seumpama ini dapat melahirkan lebih banyak golongan wanita yang mampu berdikari dan menyumbang kepada kemajuan negeri Pulau Pinang.
  2. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pelaksanaan program Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di semua KADUN di Pulau Pinang pada tahun 2021. Program JPWK ini dibangunkan untuk meningkatkan kemahiran kepemimpinan golongan wanita di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri berhasrat untuk melihat lebih banyak golongan wanita untuk tampil ke hadapan serta berani untuk membela nasib dan mengangkat martabat diri sendiri, keluarga dan komuniti. Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan 35 juta bagi bayaran elaun ahli dan pelaksanaan program JPWK.
  1. Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan Program Pemeriksaan Mammogram Percuma untuk golongan wanita Pulau Pinang (Mammo-Penang) dengan kerjasama Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2021 dengan kos berjumlah RM886,000.00.

 

Memperkasakan Kepimpinan MPKK

 

  1. Peranan penting yang dimainkan oleh ahli-ahli MPKK di peringkat akar umbi akan terus diiktiraf. Walaupun Kerajaan Persekutuan telah menghentikan peruntukan bagi bayaran elaun MPKK, namun Kerajaan Negeri akan terus komited untuk menyediakan peruntukan berjumlah RM9 juta bagi tujuan bayaran elaun MPKK di Pulau Pinang. Peruntukan pada tahun 2021 ini meningkat sebanyak RM4.9 juta berbanding RM4.1 juta pada tahun 2020.

 

Mengupaya Potensi Belia

 

  1. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah melancarkan Program Sukarelawan Belia Pulau Pinang pada 1 Mac 2020. Sehingga 31 Ogos 2020, seramai 401 belia telah mendaftar sebagai sukarelawan belia di negeri Pulau Pinang. Matlamat utama program ini adalah untuk menyediakan pasukan sukarelawan di kalangan belia Pulau Pinang yang berdedikasi bagi memberikan perkhidmatan sukarela kepada komuniti setempat serta melestarikan semangat patriotisme di kalangan belia. Berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021, Kerajaan Negeri menetapkan kuota bagi seorang belia lelaki dan wanita yang berumur 21 tahun hingga 35 tahun dalam keanggotaan MPKK. Tujuan penglibatan belia dalam MPKK adalah untuk menggalakkan penglibatan golongan belia dalam pembangunan dan pengurusan kampung, kawasan tempat tinggal serta memupuk nilai-nilai kepimpinan dalam diri mereka.
  1. Dalam masa yang sama, PYDC akan menubuhkan satu platform digital pada tahun 2021 untuk membangunkan lebih ramai bakat dalam kalangan belia dalam bidang digital yang berupaya memacu Pulau Pinang sebagai sebuah hab inovasi digital. PYDC menyasarkan 1,000 orang bakat dilahirkan di bawah Program Penang Young Digital Talent dalam jangka masa satu (1) atau dua (2) tahun. Usaha pemantapan kerjaya yang merupakan fokus utama PYDC akan turut diperkukuhkan melalui inisiatif pengwujudan portal pekerjaan melalui laman web PYDC. Golongan belia dialu-alukan menggunakan platform ini untuk mencari pekerjaan terutamanya pada detik sukar selepas penularan COVID-19 ini. Untuk tahun 2021, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada PYDC untuk perbelanjaan mengurus dan pelaksanaan program, iaitu peningkatan sebanyak RM180,000 berbanding tahun 2020.

 

Melestarikan Keterangkuman Gender

 

  1. Dasar Keterangkuman Gender telah dilaksanakan bermula Mei 2018 dan sehingga kini Pulau Pinang kekal sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai dasar tersebut. Dasar ini bertujuan untuk memberi keutamaan untuk mengurangkan diskriminasi, ketidaksamaan dan menggalakkan penyertaan daripada pihak berkepentingan termasuk golongan wanita dan kaum ibu, kaum lelaki dan bapa, golongan kurang upaya, warga emas dan remaja. Sejak pelaksanaan dasar ini, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan kesaksamaan gender diambil kira dalam semua dasar, program dan amalan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha mengintegrasikan nilai keterangkuman gender dan mempromosikan kesaksamaan gender di Negeri Pulau Pinang. Bagi memastikan program keterangkuman gender dapat diakses oleh semua, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM200,000.00 untuk pelaksanaan program bagi tahun 2021.
  1. Usaha untuk memperkasakan pelaksanaan agenda pembangunan wanita, keluarga dan keterangkuman gender diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC). Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah 5 juta kepada PWDC.
  1. Sebagaimana yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa MMK Agama Selain Islam yang bertindak sebagai perancang, penggubal dan pelaksana polisi Kerajaan Negeri mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama selain Islam di peringkat negeri. Jawatankuasa MMK ini juga bertindak bagi mengalakkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu menyelesaikan isu berkenaan dengan hal ehwal agama selain Islam. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM300,000.00 bagi tahun 2021 untuk melaksanakan program-program di bawah pembangunan hal ehwal agama selain Islam. Diharap banyak lagi pertubuhan akan mendapat faedah melalui peruntukan yang diberikan di bawah Jawatankuasa MMK Agama Selain Islam ini.

 

Meningkatkan Kualiti Sumber Manusia

 

  1. Pemerkasaan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri dalam dasar pembangunan negeri. Kerajaan Negeri melalui Penang Skills Development Centre (PSDC) aktif mengadakan pelbagai program dan latihan untuk melatih sumber manusia dalam pelbagai bidang kemahiran merangkumi Program Teknologi Pemesinan Kepersisan, Kejuruteraan dan Teknologi Pembuatan. Selain itu, Program Malaysian Meister Program (MMP) di Pulau Pinang telah diperkenalkan untuk mencontohi sistem pendidikan Technical and Vocational Training (TVET) yang unggul di Jerman. Melalui program ini, pusat latihan akan didirikan di kilang serta syarikat perniagaan bagi membolehkan pelajar mempelajari teori dan amalan praktikal pada masa yang sama.
  1. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melalui Program empowerNCER@PulauPinang dan NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) untuk membangunkan kapasiti modal insan di Pulau Pinang. Program empowerNCER@PulauPinang bertujuan untuk memberi kemahiran asas dan latihan keusahawanan ke arah kebolehpasaran dan keusahawanan melibatkan golongan belia, wanita dan ibu tunggal serta penganggur. Tidak terhad bagi golongan tersebut, penyertaan untuk program ini juga ditawarkan kepada pengusaha perniagaan mikro yang terjejas dengan pelaksanaan PKP, penjaja dan peniaga kecil serta pekerja yang diberhentikan kerja. Sementara itu, NTEP juga akan diteruskan untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan kualiti hidup graduan-graduan yang menghadapi kesukaran mencari pekerjaan susulan penularan COVID-19 serta memastikan tenaga kerja mahir yang mencukupi bagi memenuhi keperluan industri di Wilayah Koridor Utara.
  1. Kerajaan Negeri turut menyambut baik pelaksanaan Program PENJANA NCER JomKerja dan JomNiaga dengan kerjasama NCIA yang diperkenalkan khusus di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Negeri Pulau Pinang. Program PENJANA NCER JomKerja adalah bermatlamat untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan memberikan insentif kepada syarikat-syarikat yang memberi peluang pekerjaan kepada graduan menganggur, pekerja yang hilang pekerjaan dan belia lepasan sekolah. Insentif ini akan memanfaatkan 770 peserta. Manakala Program PENJANA NCER JomNiaga pula adalah sebuah program fast track yang bertujuan untuk menyediakan peluang menjana pendapatan melalui keusahawanan bagi golongan sasar dalam tempoh masa tiga (3) bulan selepas menjalani latihan kemahiran, atau penempatan pekerjaan di dalam industri Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). Insentif ini akan memanfaatkan 1,000 peserta di Pulau Pinang.
  2. Susulan pandemik COVID-19, pembangunan modal insan melibatkan penyusunan semula guna tenaga selaras dengan matlamat pemulihan ekonomi untuk memperkasakan tahap sosio-ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat. Pusat Bantuan Kerjaya dan Bakat Pulau Pinang (Penang Career Assistance and Talent Centre, PenangCAT) akan terus memainkan peranannya untuk meningkatkan pertumbuhan sumber manusia. PenangCAT memainkan peranan yang jauh lebih menonjol dengan perkembangan semasa di mana syarikat-syarikat berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan tenaga kerja selepas penguatkuasaan PKP. Dalam hal ini, PenangCAT akan meneruskan kerjasama erat dengan Jabatan Tenaga Kerja untuk memadankan pekerja-pekerja yang telah diberhentikan kerja serta pekerja-pekerja baharu dengan peluang pekerjaan dan program-program latihan.

 

Memperkukuhkan Pembangunan Modal Insan Melalui Pendidikan

  1. Saban tahun, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan bagi Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina, Sekolah Persendirian dan Sekolah Tamil. Oleh itu, bayaran bantuan pendidikan kepada sekolah-sekolah ini akan diteruskan pada tahun 2021 dengan kos berjumlah RM14 juta. Penyaluran peruntukan ini melibatkan pertambahan kos sebanyak RM2 juta berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, bayaran bantuan kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi iaitu RM1,000 untuk pelajar yang mendapat tawaran IPT di Semenanjung Malaysia, RM1,200 untuk pelajar yang mendapat tawaran ke IPT di Sabah dan Sarawak serta RM300 untuk pelajar yang berjaya mendapat tawaran di politeknik. Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta pada tahun 2021.
  1. Usaha meningkatkan kemahiran Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) perlu dipergiatkan untuk menyediakan pelajar yang mampu berdaya saing di peringkat global. Kerajaan Negeri meneruskan Penang Maths Platform (PMP) di Karpal Singh Penang Learning Centre yang memberi fokus kepada pembelajaran Matematik. PMP bekerjasama dengan organisasi lain seperti PSDC, Tech Dome Penang dan @CAT untuk memupuk dan melibatkan penyertaan golongan muda yang berkemampuan tinggi untuk menggerakkan ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0 melalui penganjuran kelas matematik dan robotik.
  1. Kerajaan Negeri sedar pembangunan modal insan unggul bergantung kepada pendidikan berkualiti untuk menghasilkan individu yang bukan sahaja mempunyai jati diri yang kukuh malah membentuk individu yang lebih kreatif dan inovatif yang akan memacu produktiviti dan kemajuan negeri. Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaksanaan program Makmal Pencipta (MakersLab) di sekolah-sekolah negeri Pulau Pinang bagi memupuk minat pelajar ke arah pendidikan sains dan mempromosikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan pendidikan STEM. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak 24 juta. Pelaksanaan awal bagi Program MakersLab telah bermula suku tahun ketiga 2020.
  1. Selain itu, Tech Dome Penang turut memperkenalkan satu platform web pembelajaran STEM secara dalam talian yang dipanggil iSTEP (Integrated STEM Education Platform) bagi memudahkan pencarian kandungan mata pelajaran STEM selaras dengan kurikulum sekolah. Semoga dengan usaha ini, iSTEP dapat menyatukan masyarakat untuk berkongsi dan membina daya kreatif dan inovatif melalui teknologi terkini dan lebih ramai masyarakat kreatif dan komuniti pencipta di Pulau Pinang dapat dihasilkan.

 

Memartabatkan Agama Islam Sebagai Agama Rasmi

  1. Kerajaan Negeri komited bagi memelihara dan memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi. Sehubungan itu, sejumlah 16 juta akan diperuntukkan bagi tujuan pembangunan, baik pulih, penyelenggaraan dan kelengkapan institusi keagamaan di Pulau Pinang. Bagi tahun 2021, beberapa masjid akan dibina baharu atau dinaik taraf. Antaranya adalah Masjid Habib Almas di Tanjong Tokong, Masjid Sungai Nibong Besar di Bayan Baru, Masjid Permatang Bogak di Kepala Batas, Masjid Bandar Tasek Mutiara di Simpang Ampat dan Masjid Taman Pelangi di Juru.
  1. Kerajaan Negeri turut memberi perhatian dalam pembangunan prasarana pendidikan agama di Pulau Pinang. Pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan baharu Sekolah Agama Rakyat Bertam Putra, Kepala Batas. Melalui kerjasama dengan pihak Kerajaan Persekutuan, Sekolah Agama Rakyat Saadah di Kuala Muda Penaga, Sekolah Agama Rakyat Saadatul Darain di Simpang Empat Permatang Buluh, Kepala Batas dan Kelas KAFA Masjid Kampung Sekolah Juru juga telah dibina dan dijangka siap pada tahun ini.
  1. Kerajaan Negeri juga prihatin dengan perkembangan pendidikan di Sekolah-Sekolah Islam yang merangkumi Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maahad Tahfiz, Tadika Islam serta pondok-pondok pengajian tradisional yang kini telah meningkat bilangannya kepada 372 buah di seluruh Pulau Pinang. Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian Bantuan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat Negeri Pulau Pinang pada tahun 2021.

PENGURUSAN PERBELANJAAN MENGURUS DAN PEMBANGUNAN TAHUN 2021

YB. Dato’ Yang di-Pertua,

 

  1. Belanjawan 2021 Negeri Pulau Pinang telah dirangka dengan penuh tanggungjawab agar intipati belanjawan memiliki keseimbangan antara elemen sosial dan ekonomi, serta mengambil kira kemampuan kewangan Negeri yang amat terhad. Selaras dengan itu, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 adalah untuk mendapat kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM875,511,229 (Ringgit Malaysia: Lapan Ratus Tujuh Puluh Lima Juta, Lima Ratus Sebelas Ribu, Dua Ratus Dua Puluh Sembilan) untuk dua puluh (20) jabatan bagi tahun 2021, seperti mana perincian di Risalah Bil. 4 Tahun 2020. Selain daripada itu, peruntukan sejumlah RM34,313,730 (Ringgit Malaysia: Tiga Puluh Empat Juta, Tiga Ratus Tiga Belas Ribu, Tujuh Ratus Tiga Puluh) diperlukan untuk Perbelanjaan Tanggungan tiga (3) jabatan mengikut undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan.  Oleh itu, jumlah keseluruhan Perbelanjaan Mengurus yang dianggarkan pada tahun 2021 ialah RM909,824,959 (Ringgit Malaysia: Sembilan Ratus Sembilan Juta, Lapan Ratus Dua Puluh Empat Ribu, Sembilan Ratus Lima Puluh Sembilan).
  1. Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM506,019,389 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Enam Juta, Sembilan Belas Ribu, Tiga Ratus Lapan Puluh Sembilan) iaitu jangkaan jumlah hasil yang sedikit kurang berbanding dengan tahun semasa 2020 yang berjumlah RM519,162,400 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Sembilan Belas Juta, Seratus Enam Puluh Dua Ribu, Empat Ratus). Penurunan hasil ini adalah kerana sumber hasil Kerajaan Negeri yang terhad serta tiada punca hasil baru untuk tahun 2021. Komposisi hasil tahun 2021 terdiri daripada hasil cukai RM162.97 juta atau 32.21%, hasil bukan cukai RM250.91 juta atau 49.58% dan terimaan bukan hasil sebanyak RM92.13 juta atau 18.21%.
  1. Cadangan bajet Pembangunan Negeri bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM294,106,207 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Sembilan Puluh Empat Juta, Satu Ratus Enam Ribu, Dua Ratus Tujuh) yang merupakan peningkatan sebanyak RM24.76 juta jika dibandingkan dengan jumlah Peruntukan Pembangunan sebanyak RM269,342,475 pada tahun 2020.
  1. Jangkaan hasil Negeri bagi tahun 2021 tidak menunjukkan peningkatan, namun Kerajaan Negeri masih perlu mengekalkan perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Negeri setara dengan tahun 2020, supaya jentera pentadbiran Kerajaan Negeri dapat berfungsi dengan efektif dan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dirancang dapat diteruskan untuk mencapai agenda ekonomi negeri dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
  1. Dengan mengambil kira jangkaan Hasil Negeri yang berjumlah RM506.02 juta dan Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM909.82 juta, maka menjadikan Belanjawan 2021 mengalami defisit sebanyak RM403.80 juta. Defisit ini adalah lebih tinggi berbanding dengan unjuran defisit 2020 yang berjumlah RM273.5 juta. Unjuran defisit berjumlah RM403.80 juta ini akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM1.07 bilion pada akhir tahun 2018.
  1. Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM909.82 juta bagi tahun 2021 adalah merangkumi perbelanjaan bagi Emolumen berjumlah RM188.22 juta, Perkhidmatan dan Bekalan berjumlah RM183.37 juta, Aset berjumlah RM3.37 juta, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap berjumlah RM532.05 dan Perbelanjaan-perbelanjaan Lain berjumlah RM2.82 juta. Perbelanjaan Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 58.48% daripada perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri. Jumlah ini termasuk caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri berjumlah RM200.00 juta, pemberian di bawah program bantuan sosial dan kesejahteraan rakyat yang dianggarkan berjumlah RM105.00 juta, bayaran kepada badan-badan berkanun, anak syarikat, persatuan dan agensi negeri berjumlah RM44.77 juta, bayaran pencen dan ganjaran berjumlah RM15.07 juta, tuntutan insuran dan pampasan sejumlah RM10.00 juta dan perbelanjaan bagi faedah, dividen dan kenaan bayaran hutang negeri berjumlah RM4.83 juta.
  1. Selain itu, peruntukan bagi Objek-objek am lain yang meningkat adalah untuk menampung perbelanjaan mengurus yang meningkat pada setiap tahun iaitu kenaikan gaji dan pelarasan emolumen, kos bekalan dan utiliti, kos sewaan, kos penyelenggaraan, pembaikan dan perkhidmatan lain-lain di jabatan kerajaan. Namun begitu, kenaikan perbelanjaan ini adalah pada tahap terkawal selaras dengan perbelanjaan berhemat yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri.
  1. Anggaran Belanjawan Pembangunan Tahun 2021 yang dimohon kelulusan bagi Sembilan (9) Jabatan Negeri adalah seperti tersenarai dalam Risalah Bilangan No.4 Tahun 2020. Peruntukan Pembangunan telah disediakan dengan memberi keutamaan kepada projek-projek people centric dan peningkatan kemudahan-kemudahan awam untuk rakyat, serta keupayaan dan jabatan pelaksana untuk melaksanakan projek mengikut jadual yang ditetapkan.
  1. Mengambil kira pendekatan ini, sebanyak tujuh (7) daripada sembilan (9) jabatan telah disediakan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi berbanding tahun semasa iaitu Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan sebanyak RM77.54 juta berbanding RM53.11 juta tahun ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam sebanyak RM18.61 juta berbanding RM11.09 juta tahun ini, Jabatan Pengairan dan Saliran sebanyak RM17.59 juta berbanding RM17.53 juta tahun ini, Jabatan Pertanian sebanyak RM6.75 juta berbanding RM4.94 juta tahun ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebanyak RM3.52 juta berbanding RM2.98 juta tahun ini, Jabatan Perhutanan RM2.22 juta berbanding RM2.06 juta, dan Jabatan Taman Botani sebanyak RM1.22 juta berbanding 1.15 juta pada tahun ini. Peningkatan yang ketara adalah pada Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan iaitu peningkatan sebanyak RM24.43 juta yang termasuk pembiayaan projek pembangunan sukan dan kawasan lapang berjumlah RM12.70 juta bagi Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang dan lain-lain projek pembangunan ekonomi.
  1. Peruntukan pembangunan di bawah Jabatan Kewangan Negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah menurun pada tahun 2021 berbanding tahun 2020. Peruntukan yang disediakan di bawah Jabatan Kewangan Negeri adalah berjumlah RM148.92 juta berbanding RM152.35 juta pada tahun 2020, manakala JKR diperuntukkan sebanyak RM17.73 juta bagi tahun 2021 berbanding RM24.13 juta pada tahun 2020. Penurunan peruntukan yang agak ketara bagi JKR adalah setelah mengambil kira peruntukan pemberian penyenggaraan jalan negeri dari Kerajaan Persekutuan iaitu peruntukan MARRIS yang kini boleh juga digunakan bagi menampung kerja-kerja menaik taraf jalan negeri. Oleh yang demikian, pengurangan peruntukan pembangunan JKR tidak akan menjejaskan kerja-kerja naik taraf jalan yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri.

PENGHARGAAN KEPADA BARISAN PENTADBIR DAN PENJAWAT AWAM

  1. Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Majlis Keselamatan Negara serta semua pasukan keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta semua anggota perkhidmatan Persekutuan atas pengorbanan mereka sebagai petugas barisan hadapan, khidmat dan sokongan mereka untuk mengekang penularan wabak COVID-19 serta membantu memastikan kestabilan, keamanan dan ketenteraman awam.
  1. Tidak lupa juga sekalung tahniah atas segala jasa dan pengorbanan barisan penjawat awam selaku tulang belakang Kerajaan Negeri kepada segala perancangan dan pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri. Penjawat awam merupakan jentera pelaksana kerajaan, tanpa mereka pincanglah urus tadbir negeri. Pencapaian-pencapaian gemilang yang telah kita kecapi sehingga kini tidak akan dapat diperolehi tanpa komitmen dan sokongan yang jitu daripada mereka.
  1. Dengan pengiktirafan tersebut, kini tibalah saat yang dinanti-nanti oleh semua penjawat awam. Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan padu yang diberikan oleh semua penjawat awam Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan akhir tahun bersamaan dengan ½ bulan gaji penjawat awam atau minimum RM1,000.00. Adalah diharapkan bayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan meningkatkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun-tahun akan datang. Bagi tujuan pembayaran ½ bulan gaji tersebut yang melibatkan keseluruhan 4,009 penjawat awam dan implikasi kewangan yang terlibat berjumlah 5 juta. Kesemua bayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan dibayar pada bulan Disember 2020.

 

  1. Di samping itu, pemberian sebanyak RM300.00 seorang juga akan disalurkan kepada 1,587 Penyelia dan Guru KAFA, 343 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 263 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 590 Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina manakala pemberian RM200.00 seorang akan dibayar pada Disember 2020 kepada seramai 320 Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TADIS Negeri Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM898,900.00.
  1. Pada kesempatan ini, saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas atas kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan sepanjang pemerintahan ini. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil peluang ini untuk memperkenalkan Pegawai Kewangan Negeri yang baharu, YB Dato’ Dr. Mohamad Farazi bin Johari yang menggantikan YBhg. Dato’ Sarul Bahiyah binti Haji Abu yang telah bertukar ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 14 September 2020. Semoga gandingan YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Pegawai Kewangan Negeri dan seluruh jentera pentadbiran negeri terus diperkukuhkan dalam menjayakan dasar-dasar Kerajaan dan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Negeri Pulau Pinang.

PENUTUP

  1. Mentari selepas hujan, walaupun bahangnya tidak terasa, sinarnya masih terang bersuluh. Mengambil pedoman daripada madah ini, Kerajaan Negeri akan terus mengekalkan Pulau Pinang sebagai mutiara yang tidak luntur kilauannya. Dalam usaha Kerajaan Negeri untuk merangka semula pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang, saya menyeru supaya semua lapisan masyarakat dapat berganding bahu serta memberi sokongan padu kepada barisan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri untuk memulihkan serta melonjakkan ketahanan ekonomi negeri ke arah pencapaian Visi Penang2030. Pulau Pinang pasti akan bangkit, meniti dimensi baharu yang lebih gemilang dan megah berdiri di pentas transformasi global berbekalkan tekad, komitmen dan sinergi yang kukuh.

Sekian, YB. Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang