MAJLIS PERASMIAN PERPUSTAKAAN DIGITAL BUTTERWORTH
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
PERPUSTAKAAN DIGITAL BUTTERWORTH
17 Oktober 2020
BUTTERWORTH DIGITAL LIBRARY
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
Dato’ Abdul Razak bin Jaafar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Lim Guan Eng
Ahli Parlimen Bagan
Yang Berbahagia Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berusaha Encik Hamdan bin Abdul Majeed
Pengarah Urusan Think City Sdn Bhd
Yang Berusaha Dato’ Seri Maimunah binti Sharif
Mantan YDP MBSP
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan Majlis Perasmian Perpustakaan Digital Butterworth pada pagi ini akhirnya dapat direalisasikan dengan jayanya, setelah ditangguhkan beberapa kali berikutan krisis pandemik COVID-19 yang melanda sejak Mac yang lalu.
Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, di bawah tema D3: Mengintegrasikan Perkhidmatan Perbandaran Dengan Teknologi Pintar, pembangunan Butterworth Digital Library memberikan signifikasi yang tersendiri dalam meletakkan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya model ke arah mengukuhkan mobiliti, penyambungan dan infrastruktur digital.
Pulau Pinang bangga apabila konsep dan model perpustakaan tanpa sebarang buku ini telah menarik minat dan menjadi inspirasi kepada negeri Kedah untuk melaksanakan projek yang sama di negeri tersebut. Ini membuktikan dasar ataupun program yang diperkenalkan kita mempunyai mutu dan kualitinya yang tersendiri, sehingga mampu menarik minat pelbagai negeri ataupun institusi untuk datang dan melihat sendiri kehebatan dan kecanggihan projek tersebut.
Atas sambutan yang begitu menggalakkan terhadap tiga (3) perpustakaan digital yang ada di bahagian pulau - Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 1 (PDL1), Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 2 (PDL2) dan Perpustakaan Digital Batu Maung dengan rekod 500,000 orang /setengah juta pelawat secara keseluruhan sejak penubuhan Perpustakaan Digital ini pada Oktober 2016 sehingga September 2020, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk berkongsi manfaat dan keterujaan tersebut dengan penduduk di Seberang Perai. Justeru, Dewan Ria telah dipilih sebagai lokasi terbaik untuk projek Butterworth Digital Library dengan kos berjumlah RM6.6 juta dengan tema “Library in the City”.
Pembinaan BDL telah bermula pada April 2019 dan telah siap sepenuhnya pada awal Januari 2020. Ia merupakan projek usahasama Public Private Partnership (PPP) di antara Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) sebagai pemilik projek, Think City sebagai rakan strategik dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebagai pemilik bangunan.
Dengan persekitaran yang besar dan luas, bangunan Dewan ini terbahagi kepada dua (2) bahagian iaitu bahagian dewan serbaguna yang berkeluasan 3,000 kaki persegi dan ruangan Perpustakaan Digital yang mempunyai tiga (3) tingkat dengan keluasan dianggarkan 17,000 kaki persegi. Perpustakaan ini menggunakan infrastruktur berteknologi tinggi dan sangat sesuai untuk semua lapisan usia. Fasiliti di sini juga adalah mesra orang kelainan upaya (OKU) dengan kemudahan khas dan lif.
Event hall ini juga boleh disewa khas oleh pengguna dan di bahagian luar dewan terdapat satu ruang kafe yang bakal mula beroperasi pada Disember 2020 setelah selesai proses pengubahsuaian reka bentuk dalaman. Di Tingkat 1, terdapat ruang bacaan terbuka & persendirian dan kids room iaitu ruangan khas untuk kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun di mana disediakan permainan yang menguji minda dan pelbagai aktiviti menarik yang bakal diadakan untuk kanak-kanak yang berlandaskan STEM. Di Tingkat 2 pula terdapat Flexible Workshop Space yang juga dibuka untuk sewaan.
Butterworth Digital Library (BDL) telah pun dibuka kepada orang awam sejak 15 Julai 2020 yang lalu, selaras dengan tarikh pembukaan sekolah yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Waktu operasi adalah dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari termasuk Sabtu, Ahad serta Cuti Umum. Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, pengambilan suhu, penggunaan hand sanitiser serta imbasan kod QR merupakan antara perkara wajib yang perlu dipatuhi sebelum memasuki premis ini. Mengikut rekod, bilangan pelawat yang telah mengunjungi BDL sejak 15 Julai 2020 yang lalu sehingga 30 September 2020 adalah seramai 14,000 orang.
Di kesempatan ini, Kerajaan Negeri juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih, masing-masing kepada Telekom Malaysia yang telah menyumbang dari segi penyediaan kemudahan jalur lebar yang pantas (50 Megabyte per second) dan pihak syarikat Midorie yang telah menyumbang Green Wall System sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu meningkatkan kualiti udara dalam kawasan perpustakaan ini.
Beberapa inisiatif dan kerjasama telah dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh Kerajaan Negeri sebagai usaha penambahbaikan dari segi perkhidmatan yang disediakan oleh semua Perpustakaan Digital; antaranya, kolaborasi bersama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk perkongsian koleksi Digital sebanyak 13.2 juta unit dan cadangan kolaborasi di antara British Council dan Butterworth Digital Library untuk menggunakan sebahagian ruang bagi kelas Bahasa Inggeris.
Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Think City dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan projek pembangunan Butterworth Digital Library ini dapat dilaksanakan sekaligus menjadikan Butterworth sebagai Centre Business District (CBD) Seberang Perai.
Sukacitanya saya dengan ini merasmikan Perpustakaan Digital Butterworth.
Sekian, terima kasih.