MAJLIS PERASMIAN PROGRAM BAKTIMU DIHATI – PERSATUAN GURU-GURU DAN PENYELIA KAFA PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM BAKTIMU DIHATI –

PERSATUAN GURU-GURU DAN PENYELIA KAFA PULAU PINANG

18 OKTOBER 2020

PUSAT KEGIATAN GURU KAFA, PADANG MENORA

YB Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Dato’ Seri Dr Mujahid bin Yusuf

Ahli Parlimen Parit Buntar (Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Tuan Mohd Zakuan bin Haji Zakaria

Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP)

Tuan Haji Zulkifli bin Long

Mantan Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP)

Tuan Haji Rosli bin Othman

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP)

Tuan-tuan Pegawai Tadbir Agama Daerah

Guru Besar dan Penyelaras KAFA Pulau Pinang

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Guru-Guru & Penyelia KAFA Pulau Pinang atas penganjuran Program BaktiMu DiHati pada petang yang berbahagia ini. Saya gembira menerima jemputan untuk bersama dengan kelompok yang sungguh komited dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah terutamanya dalam memartabatkan Institusi Pendidikan Agama Islam di Pulau Pinang.

Majlis pada petang yang ulung kali diadakan ini adalah bagi meraikan individu yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), termasuklah meraikan lebih kurang 30 orang guru KAFA yang telah bersara wajib bagi tahun 2019 hingga 2020.

Saya masih ingat ketika Kerajaan Negeri mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008, pelbagai tuduhan dan persepsi negatif dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, namun pendirian dan ketetapan Kerajaan Negeri masih sama dan tidak pernah berubah iaitu untuk terus membantu rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. 

Seperti mana Institusi Pendidikan yang lain, Institusi Pendidikan Islam di negeri ini khususnya Kelas KAFA sentiasa mendapat perhatian penuh daripada Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah perbelanjaan bagi menyokong pelbagai usaha ke arah memperkasakan Pendidikan Islam, antaranya adalah seperti peruntukan Program Menggapai 8A Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), bantuan pembangunan kepada guru dan sekolah serta bonus tahunan kepada para guru.

Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 12 Oktober baru ini telah meluluskan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM300 kepada lebih kurang 1,587 Penyelia dan Guru KAFA di seluruh negeri, yang akan dibayar pada bulan Disember. Saya berharap agar sedikit bantuan ini dapat memberi senyuman kepada Penyelia dan Guru KAFA yang ada di hadapan saya pada petang ini. 

Melalui pembentangan Belanjawan 2021 juga, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan baharu beberapa buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas KAFA Masjid Kampung Sekolah Juru yang dijangka siap pada tahun ini. Kerajaan Negeri ingin mengulangi pendirian dan komitmen untuk terus memberi keutamaan dalam memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi.

Melihat kepada montaj yang ditayangkan sebentar tadi, saya berasa teruja menyaksikan prestasi dan pencapaian Kelas KAFA Pulau Pinang yang telah mencipta pelbagai kejayaan, antaranya menjadi negeri terbaik UPKK selama 3 tahun berturut-turut, memperolehi pengiktirafan Malaysia Book of Records dalam Pameran Peta Minda Ibadah Haji, menjadi pelopor pertama yang menggunakan aplikasi e-RPH bagi menggantikan penulisan buku rekod secara manual, penyertaan dalam International Islamic Academic Festival serta pelbagai lagi.

Saya turut kagum dengan pembentangan yang dilakukan oleh Bahagian Pendidikan, JHEAIPP berkaitan KAFA Penang Moving Towards 2030, antaranya adalah penerapan teknologi dalam Pendidikan seperti KAFA e-Book dan Sistem KAFA Virtue Learning Environment (VLE). Saya dimaklumkan bahawa wakil Malaysia Book of Record turut hadir pada petang ini untuk menyampaikan sijil pengiktirafan atas inisiatif yang dilaksanakan oleh Persatuan Guru-guru dan Penyelia KAFA Pulau Pinang dan Berjaya mengumpulkan lebih daripada 1,200 Buku Skrap 2020 dalam Pertandingan Buku Skrap Ibadahku sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada April sehingga Jun 2020. Tahniah dan syabas kepada semua.

Impaks dalam perancangan tersebut bukan sahaja menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang futuristik, tetapi turut melahirkan modal insan yang cemerlang dan terbilang dalam pelbagai aspek merangkumi jasmani, rohani dan teknologi.

Sebagai sebuah negeri kecil dan terhad dengan dapatan sumber aslinya, kebergantungan terhadap modal insan sangat diperlukan untuk mengisi segala peluang dan ruang yang tersedia. Pulau Pinang bangga menjadi perintis kepada pelaksanaan pelbagai program di peringkat nasional. Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha-usaha baik ini demi kebaikan bersama keseluruhan 206 buah kelas KAFA dengan hampir 44,880 orang pelajar ini.

Atas pelbagai kejayaan yang telah dikecapi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam memperkasanakan dan memartabatkan Pendidikan Islam di negeri ini. Sesungguhnya khidmat dan bakti yang telah dicurahkan sangat bermakna dalam menyumbang kepada kemajuan dari segi pembangunan, modal insan dan alam sekitar demi kesejahteraan semua.

Sekian, terima kasih.  

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang