MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI YANG KEEMPAT BELAS

UCAPAN PENGGULUNGAN

OLEH YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA

DEWAN UNDANGAN NEGERI YANG KEEMPAT BELAS

PADA 19 OKTOBER 2020 (ISNIN)

   

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

 

PENGENALAN

  1. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2021 Negeri Pulau Pinang.
  1. Meskipun dengan ketetapan masa yang terhad, disiplin dan komitmen yang telah diberikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam membahas dan mengupas pelbagai perkara berbangkit membuktikan betapa komitednya Ahli-ahli Yang Berhormat dalam melunaskan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat. Saya dan barisan EXCO akan memastikan semua isu dan perkara yang dibangkitkan diambil perhatian yang serius dan sewajarnya.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PERUNTUKAN MENGURUS DAN PEMBANGUNAN TAHUN 2021 (PEMBIAYAAN DEFISIT NEGERI DENGAN SIMPANAN TERKUMPUL KERAJAAN NEGERI)

  1. Kerajaan Negeri telah menyediakan Belanjawan 2021 dengan penuh tanggungjawab dan rasional untuk memastikan pengurusan kewangan negeri adalah terus kukuh dan mantap. Peruntukan mengurus yang dibajetkan untuk tahun 2021 berjumlah 82 juta ini telah mengambil kira setiap aspek penting untuk memastikan pengurusan pentadbiran negeri yang efisien, menyediakan platform yang kondusif untuk menjana aktiviti ekonomi dan pembangunan negeri dan seterusnya memberi penekanan agar program kebajikan serta bantuan sosial dapat diteruskan pada tahun 2021, lebih-lebih lagi dalam tempoh pasca COVID-19 ini.
  1. Dengan mengambilkira semua komitmen Kerajaan Negeri pada tahun 2021 dan anggaran hasil yang terhad berjumlah 02 juta, maka pembentangan bajet defisit Tahun 2021 berjumlah RM403.80 juta tidak dapat dielakkan. Sehubungan itu, lanjutan daripada soalan YB ADUN Bukit Tambun dan YB ADUN Seberang Jaya, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk mengurangkan defisit Kerajaan Negeri dengan mencari alternatif hasil baru bagi menjana pendapatan, mengurangkan tunggakan negeri dan mengamalkan perbelanjaan secara berhemah selaras dengan dasar Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).
  1. Di sini, saya juga ingin menjelaskan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan defisit Belanjawan 2021 adalah disebabkan oleh jumlah pemberian dan kenaan bayaran tetap sebanyak RM532 juta. Ianya kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 58.48% daripada perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri. Jumlah ini termasuk caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri berjumlah RM200 juta, pemberian di bawah program bantuan sosial dan kesejahteraan rakyat yang dianggarkan berjumlah RM105.00 juta, bayaran kepada badan-badan berkanun, anak syarikat, persatuan dan agensi negeri berjumlah RM44.77 juta dan lain-lain perbelanjaan.
  1. Jika diamati, sekiranya jumlah yang besar ini tidak diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, maka kita mampu membentangkan Belanjawan Lebihan (Surplus). Di sini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuktikan komitmen untuk melindungi kebajikan rakyat untuk berhadapan dengan keadaan ekonomi yang mencabar. Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai pilihan untuk membentangkan belanjawan surplus pada tahun 2021 tetapi Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk berbuat demikian dengan mengkompromi janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat Pulau Pinang. Untuk makluman ahli dewan sekalian, belanjawan defisit memang dibentangkan setiap tahun namun Kerajaan Negeri berupaya untuk mendapatkan lebihan kecuali pada tahun 2018.

 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

USAHA MENINGKATKAN HASIL KERAJAAN NEGERI

  1. Kerajaan Negeri sememangnya mempunyai pilihan untuk meningkatkan hasil negeri melalui beberapa kaedah. Untuk makluman semua, kali terakhir kadar cukai tanah di Pulau Pinang disemak adalah pada tahun 1994. Berdasarkan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara 1965, Pihak Berkuasa Negeri boleh menaikkan kadar cukai tanah bagi tempoh setiap sepuluh (10) tahun tertakluk kepada kelulusan Majlis Tanah Negara. Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang (PTGPP) telah membuat kajian berkenaan kenaikan kadar cukai tanah dan sekiranya diluluskan, kutipan cukai tanah dianggarkan akan meningkat sebanyak dua (2) kali ganda.
  1. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk meningkatkan hasil negeri dengan mengalihkan beban kewangan negeri kepada rakyat, terutama sekali dalam tempoh penularan wabak COVID-19 ini. Kerajaan Negeri sangat prihatin dan berhati-hati agar mana-mana langkah peningkatan hasil yang diambil tidak menyusahkan rakyat. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga terus komited untuk menyediakan bajet yang komprehensif untuk memastikan fungsi jentera kerajaan kekal efisien, kebajikan rakyat terus terjaga dan pelaksanaan pembangunan Kerajaan Negeri dapat diteruskan untuk mencapai Visi Penang2030.
  1. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri sedang giat mengkaji peluang-peluang pelaburan yang ada untuk meningkatkan hasil daripada pelaburan seperti Simpanan Tetap dan pelaburan dalam pasaran ekuiti. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2019 daripada keuntungan pembiayaan dan perolehan pelaburan adalah berjumlah RM87.98 juta iaitu 13.3 peratus daripada hasil Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri juga sedang mencari peluang-peluang pelaburan yang dapat memberi pulangan yang menarik, konsisten dan mempunyai risiko yang minima.
  1. Usaha-usaha berterusan yang diambil oleh Kerajaan Negeri ini diharap dapat mengurangkan defisit yang diunjurkan pada tahun 2021. Namun tidak dinafikan sekiranya hasil negeri tidak mencukupi, maka defisit tersebut akan terpaksa dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri terpaksa akur dengan kesan krisis pandemik COVID-19 yang akan menyebabkan hasil yang diramalkan mungkin tidak dapat dikutip sepenuhnya. Antara kutipan hasil yang terjejas ialah hasil daripada industri hiburan dan pelancongan. Sebelum krisis, kutipan duti hiburan adalah antara penyumbang yang tinggi bagi hasil cukai tidak langsung iaitu dengan purata kutipan berjumlah RM16 juta setahun (berdasarkan kutipan tiga (3) tahun kebelakangan ini). Walau bagaimanapun, berikutan pandemik COVID-19 ini, Kerajaan Negeri hanya dapat mengutip sejumlah RM4.76 juta setakat September 2020.
  1. Menyedari kebimbangan berhubung bajet defisit yang dibentangkan setiap tahun akan membawa kepada pengurangan Simpanan Terkumpul Negeri atau rizab sedia ada, Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa langkah segera untuk meningkatkan hasil negeri seperti mewujudkan hasil baru melalui pengurusan tanah. Antara beberapa strategi yang dirancang adalah seperti berikut:

 

Strategi 1: Pelupusan Tanah Secara Tender

Pada masa ini, pelupusan tanah kerajaan adalah dibuat secara terus kepada pemohon tertentu dengan dikenakan bayaran premium mengikut harga pasaran semasa berpandukan nilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). Selain kaedah ini, turut boleh dipertimbangkan adalah melalui pelupusan tanah secara tender. Melalui kaedah ini, tanah kerajaan akan dilupuskan kepada pembida tertinggi tertakluk kepada syarat tanah bagi memaksimumkan dan menjana hasil pulangan yang lebih tinggi kepada Kerajaan Negeri.

 

Strategi 2: Pemberimilikan Tanah Industri kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)

Pada masa ini, terdapat tanah kerajaan yang terjadi hasil daripada aktiviti pengambilan tanah bagi tujuan industri. Tanah kerajaan ini tidak dilupuskan sehingga pelabur yang sesuai dan berminat mengemukakan permohonan pemberimilikan. Dalam keadaan ini, tanah tersebut adalah dorman dan Kerajaan Negeri tidak mendapat sebarang hasil daripada tanah ini. Mekanisme yang boleh dipertimbangkan adalah tanah kerajaan bagi tujuan industri ini dilupuskan kepada PDC. Melalui kaedah ini, Kerajaan Negeri akan mendapat pulangan melalui cukai tanah secara konsisten daripada bank tanah ini.

Strategi 3: Pengkelasan Semula Tanah daripada Tanah Desa kepada Tanah Bandar

 

Pembangunan pesat yang berlaku telah mengubah beberapa kawasan desa menjadi maju dan berkembang menjadi bandar. Aktiviti pengkelasan semula tanah desa kepada tanah bandar adalah perlu dan tidak dapat dielakkan bagi kawasan-kawasan yang telah menjadi bandar dan  aktiviti ini tidak melibatkan kawasan kampung. Ia meliputi peluasan sempadan bandar sedia ada seperti bandar Bukit Mertajam dan pewujudan bandar baru seperti bandar Bayan Baru. Jika aktiviti pengkelasan ini tidak dilaksanakan, ia merupakan sesuatu yang tidak adil kepada penduduk-penduduk di kawasan bandar yang telah diwartakan. Contoh yang paling ketara adalah bandar Bayan Baru dan Bayan Lepas. Bayan Lepas merupakan tanah bandar manakala Bayan Baru merupakan tanah desa sedangkan jika dilihat pembangunan yang berlaku, pembangunan di Bayan Baru melebihi pembangunan di Bayan Lepas. Kekhuatiran umum yang wajar diketepikan adalah kenaikan kadar cukai tanah. Dengan pengkelasan ini, pembayar cukai tanah desa akan membayar mengikut kadar cukai tanah bagi tanah bandar yang mana kadar cukai ini tidak berubah dan telah digunakan sejak 26 tahun yang lepas iaitu semenjak tahun 1994 walaupun semakan cukai tanah dibuat setiap 10 tahun.

 

Strategi 4: Tukar Ganti Hak Milik Interim Register (IR) Bagi Hakmilik Tidak Terang

Pada masa ini, terdapat puluhan ribu hak milik tanah yang belum ditukar kepada hak milik tanah berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965. Daripada ribuan hak milik ini, sebahagiannya merupakan hak milik tidak terang iaitu tidak dapat dipastikan pemilikan tanah. Anggaran jangka masa untuk menyiapkan sepenuhnya proses tukar ganti hak milik IR ini adalah dijangka di antara 3 hingga 5 tahun mengikut kerumitan isu hakmilik IR tersebut. Apabila proses tukar ganti hak milik IR bermula, berkemungkinan Kerajaan Negeri akan mendapat manfaat dalam bentuk pengembalian tanah kepada pihak kerajaan melibatkan hakmilik tidak terang yang mana tanah ini boleh dibuat pelupusan.

 

PERUNTUKAN TAMBAHAN DARIPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN

  1. Kerajaan Negeri ingin merakamkan rasa penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana menyalurkan peruntukan berjumlah RM15,197,400.00 kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan menangani COVID-19 di Negeri Pulau Pinang. Peruntukan sebanyak RM10 juta digunakan untuk membiayai bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil serta bantuan pembekalan seperti pelitup muka serta hand sanitizer kepada rakyat yang terjejas akibat penularan COVID-19. Sejumlah RM5 juta diterima bagi pelaksanaan projek berskala kecil di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dan sejumlah RM197,400.00 lagi bagi bayaran bantuan kepada penarik beca di Negeri Pulau Pinang.
  1. Selain daripada bantuan COVID-19 ini, saban tahun Kerajaan Negeri juga turut menerima beberapa pemberian daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Pemberian Mengikut Bilangan Kepala, Pemberian Pelancongan, Pemberikan MARRIS dan lain-lain. Peruntukan yang diterima setakat September 2020 berjumlah RM241.56 juta.
  1. Kerajaan Negeri menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pemberian ini. Walau bagaimanapun, pemberian ini tidak setimpal jika dibandingkan dengan sumbangan Negeri Pulau Pinang sebanyak RM94.7 bilion atau 6.7% daripada KDNK negara pada tahun 2019. Pencapaian ini meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri keempat tertinggi yang menyumbang kepada KDNK negara. Kerajaan Persekutuan wajar dan harus menilai semula pemberian ini agar setimpal dengan sumbangan Negeri Pulau Pinang. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri ingin memohon sekurang-kurangnya RM1 bilion dapat disalurkan setiap tahun kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan atas prestasi yang cemerlang ini. Pemberian ini semestinya akan membantu Kerajaan Negeri dalam mengurangkan defisit belanjawan.

 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

PENYALURAN PERUNTUKAN KEPADA SEMUA ADUN TERMASUK PEMBANGKANG

  1. Dakwaan segelintir Yang Berhormat Pembangkang (YB ADUN Teluk Bahang) bahawa peruntukan Kerajaan Negeri tidak disediakan untuk mereka memberi perkhidmatan kepada rakyat adalah tidak benar. Untuk makluman ahli dewan, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan khas berjumlah RM30,000.00 kepada semua ADUN termasuk ADUN Pembangkang di bawah Pakej Bantuan Khas (Penang Lawan COVID-19) bagi tujuan memudahkan pemberian bantuan segera kepada masyarakat setempat berikutan penularan wabak COVID-19. Peruntukan berjumlah RM1.2 juta telah disediakan dan diagihkan secara saksama kepada semua 40 ADUN Pulau Pinang tanpa mengira parti politik. Ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menggembleng tenaga untuk menghadapi krisis yang dialami dan memastikan rakyat mendapat bantuan dengan segera serta lancar tanpa menghiraukan latar belakang politik.
  1. Selain itu, merujuk kepada empat (4) orang ADUN yang telah menyertai Perikatan Nasional (PN), Kerajaan Negeri pada awal tahun telah menyediakan peruntukan pembangunan P16 berjumlah RM400,000.00 setiap seorang bagi Ahli MMK dan RM300,000.00 seorang untuk ADUN. Mengikut rekod, YB ADUN Seberang Jaya telah membelanjakan sebanyak 55% daripada peruntukan tersebut, YB ADUN Sungai Acheh sebanyak 95%, YB ADUN Bertam sebanyak 94% dan YB ADUN Teluk Bahang sebanyak 38% setakat pertengahan tahun ini. Walaupun peruntukan beberapa ADUN ini telah hampir habis dibelanjakan, namun bagi memastikan kebajikan penduduk di KADUN terlibat tidak terjejas, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM150,000.00 kepada ADUN Angkat untuk diuruskan. Selain itu, Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000.00 kepada keempat-empat ADUN Pembangkang ini untuk perbelanjaan separuh tahun kedua 2020. Oleh yang demikian, ingin ditegaskan Kerajaan Negeri masih menyalurkan peruntukan kepada ADUN Pembangkang walaupun berlainan parti politik untuk memastikan kebajikan rakyat di KADUN berkaitan sentiasa dijaga dan terpelihara.
  1. Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli MMK dan YB Speaker kerana telah sudi menyumbang satu (1) bulan gaji secara one-off kepada Tabung COVID-19. Ini termasuk ADUN (ADUN Pembangkang) yang telah sepakat dan bersatu hati menyalurkan sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan mereka untuk tujuan yang sama.

 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

KAEDAH PEMBIAYAAN GREEN FINANCING MELALUI GREEN SUKUK

  1. YB ADUN Machang Bubuk mencadangkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan kaedah pembiayaan Green Financing melalui Green Sukuk bagi membiayai projek-projek hijau dan lestari yang akan dilaksanakan. Kerajaan Negeri amat menghargai segala cadangan yang dikemukakan bagi tujuan pembiayaan projek-projek yang akan dilaksanakan kelak. Dalam hal ini, cadangan ini perlu dikaji kesesuaiannya terlebih dahulu. Buat masa ini, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk mencari pembiayaan baru untuk menampung perbelanjaan negeri.

EKONOMI

  1. Apapun situasi kewangan negeri pada masa hadapan, Kerajaan Negeri komited untuk tetap melaksanakan projek-projek pembangunan berskala kecil, sederhana dan besar yang boleh memacu pemulihan ekonomi negeri ini. Justeru itu, Jawatankuasa Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) telah ditubuhkan. Menjawab soalan berbangkit oleh YB ADUN Bukit Tengah berkenaan perincian program dan strategi bagi jawatankuasa ini, ingin dimaklumkan bahawa matlamat dan objektif utama penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi mengenal pasti isu dan cabaran yang menghalang pertumbuhan ekonomi dan mencadangkan langkah pemulihan yang sesuai untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta menentukan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan demi kesejahteraan rakyat selepas penularan wabak COVID 19.
  1. Untuk makluman YB, di bawah jawatankuasa ini, enam (6) Jawatankuasa Kumpulan Kerja turut ditubuhkan bagi membantu PSERCC yang mana masing-masing diterajui oleh seorang pengerusi dan keahlian oleh wakil kerajaan dan industri yang berkaitan. Enam (6) Jawatankuasa Kumpulan Kerja tersebut terdiri daripada pelbagai sektor iaitu:
  1. Industri/SMI/SME/Peruncitan;
  2. Pasaran Tenaga Kerja;
  3. Perumahan;
  4. Infrastruktur dan Pengangkutan;
  5. Pelancongan; dan
  6. Industri Makanan.
  1. Pada masa ini, semua Jawatankuasa Kumpulan Kerja telah mengenal pasti dan akan melaksanakan tindakan-tindakan jangka masa pendek dan sederhana untuk memulihkan ekonomi Pulau Pinang mengikut sektor masing-masing dengan mengambil kira kesan dan impak penularan COVID-19.
  1. Di bawah Jawatankuasa Kumpulan Kerja Sektor Industri/SMI/ SME/ Peruncitan, antara strategi yang telah dirangka adalah termasuk:
  1. Cadangan mempercepatkan kemudahan bantuan khas atau Special Relief Fund (SRF) dan tuntutan balik GST bagi syarikat-syarikat berkaitan kepada golongan usahawan dan pengusaha PKS;
  1. Cadangan pemberian insentif subsidi upah kepada pekerja asing, cadangan pelanjutan moratorium untuk tempoh enam (6) bulan berikutnya dengan perluasan skop-skop berkaitan kepada pemain industri;
  1. Cadangan untuk mempertimbangkan kelulusan kemasukan perniagaan atau Professional Visit Pass (PVP) dalam tempoh dua (2) minggu;
  1. Cadangan untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing bagi sektor pembuatan; dan
  1. Cadangan untuk mempertimbangkan pengecualian penutupan sektor pembuatan di kilang-kilang di Pulau Pinang sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.
  1. Kesemua permohonan bagi cadangan-cadangan seperti di atas akan dimajukan kepada Kementerian dan Jabatan berkaitan. Selain itu, Jawatankuasa Kumpulan Kerja Industri/SMI/SME/Peruncitan juga telah mencadangkan supaya:
  1. Mewujudkan kempen ‘Penang Sales’ secara platform digital melalui Digital Penang dalam membantu usahawan PKS dalam meningkatkan penjualan dan permintaan produk;
  1. Menetapkan kuota khusus untuk syarikat tempatan dalam aktiviti perolehan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan; dan
  1. Cadangan untuk melanjutkan Skim PEKA.
  1. Di bawah Jawatankuasa Kumpulan Kerja Sektor Pasaran Tenaga Kerja, strategi telah dirangka termasuk cadangan memperkasakan peranan Pusat CAT bagi memadankan tenaga kerja dengan pekerjaan yang ditawarkan serta peranan syarikat dengan mendaftarkan pekerja yang bakal kehilangan kerja melalui sistem yang disediakan oleh Pusat CAT dan Jabatan Tenaga Kerja serta melaksanakan program peningkatan kemahiran pekerja dan keperluan menjalankan kajian bagi meneliti dan menangani persaingan antara pekerja yang kehilangan kerja dan graduan lepasan universiti.
  1. Jawatankuasa Kumpulan Kerja Sektor Perumahan memperkenalkan dua (2) inisiatif iaitu Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign) dan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah Peringkat Pulau Pinang 2020 untuk menangani kesan langsung pandemik COVID-19 ke atas sektor pembinaan khususnya perumahan mampu milik.
  1. Jawatankuasa Kumpulan Kerja Sektor Infrastruktur dan Pengangkutan pula mencadangkan projek-projek pembangunan yang perlu dilaksanakan termasuk Projek PSR dan PTMP, projek rancangan tebatan banjir (RTB), projek-projek pembangunan di bawah Perbadanan Bekalan Air (PBA), PDC, JKR, TNB dan projek perkhidmatan fiber di bawah Bahagian Kerajaan Tempatan, PSUKPP.

 

  1. Jawatankuasa Kumpulan Kerja Sektor Pelancongan pula telah mencadangkan strategi-strategi pemulihan berkaitan yang akan dilaksanakan melalui tiga (3) fasa iaitu Fasa Pertama: Pengurangan Impak, Fasa Kedua: Pengurusan Krisis dan Fasa Ketiga: Pemulihan Ekonomi. Fasa Pertama melibatkan pemberian bantuan wang tunai dan insentif berkaitan seperti pengecualian sewa pajakan dan penangguhan sementara bagi kutipan fi hotel kepada golongan yang bergiat dalam sektor pelancongan yang terkesan dan terjejas teruk dengan penularan wabak COVID-19. Fasa Kedua adalah kepada usaha-usaha membangunkan strategi tindak balas krisis untuk mengurangkan kesan dan mempercepat pemulihan ekonomi seperti menjenamakan destinasi (destination branding) untuk memulakan semula industri pelancongan dan memanfaatkan sepenuhnya potensi media sosial untuk mempromosikan kesan positif pelancongan. Manakala Fasa Ketiga meliputi usaha yang dirancang untuk membangunkan ketahanan (resilience) dalam industri pelancongan dan usaha kolaboratif untuk memastikan kesiapsiagaan menghadapi krisis, melaksanakan “Responsible Tourism” untuk mewujudkan aspek solidariti, keberanian dan kepercayaan dalam industri pelancongan serta mewajibkan semua pihak berkepentingan dan pelancong untuk melaksanakan tanggungjawab dan mengambil tindakan untuk menjadikan pelancongan lebih lestari serta mengukuhkan perkongsian awam dan swasta untuk pemulihan pelancongan melalui peremajaan (rejunevation) warisan.
  1. Jawatankuasa Kumpulan Kerja Sektor Industri Makanan memberi tumpuan khusus kepada sekuriti makanan supaya tidak hanya bertumpu mengenai pengeluaran makanan serta cadangan pembangunan Dasar Industri Makanan dan Pertanian yang lebih komprehensif serta Spatial Planning.
  1. Berhubung cadangan untuk memperluaskan keanggotaan PSERCC kepada wakil backbenchers dan wakil pembangkang sepertimana yang diutarakan oleh YB ADUN Seberang Jaya, setakat ini keanggotaan PSERCC terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri dan pemain-pemain industri yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran untuk membantu Kerajaan Negeri dalam menangani kelembapan ekonomi pasca COVID-19. Walau bagaimanapun, kesemua YB termasuk wakil backbenchers dan wakil pembangkang dialu-alukan untuk memberikan pandangan serta cadangan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa MMK dan mesyuarat-mesyuarat lain berkaitan ataupun menyalurkan cadangan tersebut melalui pelbagai medium dan kaedah yang bersesuaian untuk diteliti dan dipertimbangkan.
  2. Berkaitan perkara yang dibangkitkan oleh YB ADUN Sungai Dua berkenaan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) yang dilihat tidak menyumbangkan bantuan semasa krisis COVID-19, Kerajaan Negeri ingin menyatakan bahawa penyertaan ini adalah tidak benar. Antara sumbangan yang telah diberikan oleh Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) adalah seperti berikut:
  1. George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) –melalui Projek George Town UNESCO World Heritage Site: Bracing The New Normal With Cultural Heritage dengan kos sebanyak RM1 juta, sektor perniagaan tempatan telah dibantu melalui promosi pemasaran digital, pembaikan bangunan warisan dan insentif video warisan;
  1. Penang Global Tourism Sdn Bhd (PGT) - melaksanakan Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan kepada golongan berkaitan pelancongan dengan jumlah bantuan RM3,053,169.26;
  1. PGC Strategies Sdn. Bhd. (Penang Green Council) - menyediakan 60,000 bekas makanan, 120,000 keping pelekat bekas makanan (safety seal) dengan kos RM14,388.00 (tajaan pihak swasta) untuk mengurangkan penggunaan bekas makanan plastik sekali guna akibat peningkatan perkhidmatan penghantaran makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);
  1. Penang Science Cluster (PSC) - mengadakan pelbagai program dan bantuan kepada individu termasuk pelajar dan guru dengan menyediakan Laptop Loan, pertandingan Virtual Open Design Challenge, Scratch Coding Competition dan Scratch Online Challenge, pelbagai jenis bengkel, program mentor, video views of e-Tinker Weekend, career talk session serta 13,000 keping pelindung muka telah didermakan kepada petugas barisan hadapan;
  1. Penang Convention & Exhibition Bureau (PICEB) -mengadakan pelbagai program promosi, pengiklanan, persidangan dan webinars kepada Malaysian Association of Hotels (MAH) dan Malaysian Travel, Business Events Products and Services dan pihak lain dengan melibatkan kos sebanyak RM254,400.00;
  1. PWDC Sdn. Bhd. – telah membantu wanita yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dengan melaksanakan Projek Kuih Raya kepada pembuat kuih wanita dengan kos sebanyak RM62,540.00;
  1. Penang Tech Centre Bhd. - menyediakan COVID-19 Protection Kid berjumlah RM45,000.00 (sumbangan pihak swasta) kepada rumah anak yatim, kanak-kanak dan rumah spastik. dan sekolah rendah semasa tempoh PKP; dan
  1. Penang Youth Development Corporation (PYDC) -membantu 120 mahasiswa/mahasiswi dalam bentuk sumbangan makanan dan minuman kepada pelajar-pelajar anak Pulau Pinang yang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah Kelab Patriot Chapter Pulau Pinang.

 

  1. YB ADUN Bayan Lepas telah mencadangkan supaya peruntukan tambahan khususnya bagi pelaksanaan program, urusan pejabat dan pembangunan infrastruktur diberikan kepada Pegawai Penyelaras KADUN Sungai Dua, Permatang Berangan dan Penaga. Sebagai makluman, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM1,500.00 sebulan bagi perbelanjaan mengurus Pusat Khidmat Pegawai Penyelaras Khas KADUN Permatang Berangan, Penaga dan Sungai Dua. Kerajaan Negeri berpandangan bahawa peruntukan ini adalah memadai buat masa ini. Namun begitu, semakan akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan kelancaran perkhidmatan di pusat khidmat yang berkaitan.
  1. Berhubung dengan permohonan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), selepas Sesi Libat Urus Penyediaan RMKe-12, 2021-2025 oleh YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2 Ogos 2019 yang lalu, Pentadbiran ini telah mengenal pasti cadangan 179 projek yang melibatkan keseluruhan permohonan peruntukan berjumlah RM28,025,688,723.00 untuk dimohon di bawah RMKe-12. Cadangan projek tersebut telah dikemukakan kepada semua kementerian berkaitan pada 28 Februari 2020. Selain itu, saya sendiri telah menyusuli perkara ini dengan YB Menteri Kewangan pada 8 Ogos 2020 agar Kerajaan Persekutuan dapat meneliti dan mempertimbangkan permohonan projek RMKe-12 bagi tempoh 2021-2025 oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kepentingan bersama.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

PENANG SOUTH RECLAMATION (PSR) DAN PENANG TRANSPORT MASTER PLAN (PTMP) & PENANG HILL CABLE CAR

  1. Dengan usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri untuk membangunkan rangkaian pengangkutan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan dapat mencapai pertumbuhan inklusif dan mengimbangi jurang sosio- ekonomi antara dua (2) daerah di utara dan selatan pulau - supaya generasi akan datang Pulau Pinang, anak-anak kita dan cucu-cicit kita dapat menikmati prospek kemajuan yang lebih cerah untuk memperbaiki kehidupan mereka.
  1. Oleh itu, kami percaya bahawa masa depan Pulau Pinang bergantung kepada projek-projek mega iaitu PTMP dan PSR. Projek-projek ini akan menjadi produk transformasi yang penting untuk pertumbuhan yang sangat kompetitif dan memperkenalkan Pulau Pinang ke peringkat antarabangsa sebagai Negeri Pintar dalam dekad yang akan datang. Malah projek-projek ini juga akan menjadikan Pulau Pinang setanding dengan Lembah Klang terutamanya dalam sektor pengangkutan.
  1. Manakala, projek PSR akan memberi peluang kepada negeri Pulau Pinang untuk terus berkembang dan membina reputasinya sebagai pusat kecemerlangan untuk menarik bakat-bakat terbaik, di mana revolusi digital selaras dengan IR 4.0, pelaburan dalam bidang baharu meningkat dan merealisasikan impian untuk keluarga hidup di dalam persekitaran yang bersih dan hijau, selamat serta memiliki peluang pendidikan dan pekerjaan. Projek-projek ini akan membolehkan Pulau Pinang mencapai ekonomi yang berdaya tahan dan memberangsangkan terutamanya keadaan negeri, negara serta global yang telah mengalami krisis ekonomi akibat pandemik wabak COVID-19.
  1. Sehubungan dengan ini, Kerajaan Negeri kini sedang menyusuli tindakan untuk menerbitkan bon bagi pembiayaan Projek Light Rail Transit (LRT). Bagi tujuan ini, saya telah mengemukakan surat kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhiyiddin Bin Haji Mohd. Yassin berkenaan surat persetujuan kepada Kerajaan Negeri untuk cadangan penerbitan bon dengan jaminan Kerajaan Persekutuan yang telah dipersetujui oleh mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1 Oktober 2019 dan masih menunggu maklum balas berhubung perkara ini.
  1. Kerajaan Negeri berpendapat bahawa oleh kerana persetujuan awal telah diberi oleh YAB Perdana Menteri pada ketika itu, maka persetujuan tersebut sepatutnya terus terpakai dan tidak sepatutnya terikat dengan politik kepartian. Ini adalah kerana, projek ini adalah untuk kesejahteraan dan pembangunan bukan sahaja kepada Pulau Pinang tetapi juga kepada negara di mana projek ini boleh menyumbang kepada perkembangan dan pemulihan ekonomi terutamanya yang berkaitan dengan COVID-19.
  1. Malah lanjutan daripada saranan dan nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu selaku Kerajaan Persekutuan melalui surat bertarikh 1 Oktober 2019, sebuah Special Purpose Vehicle (SPV) iaitu Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) telah ditubuhkan pada 9 Julai 2020 bagi menguruskan projek PTMP dan PSR serta penerbitan bon atau SUKUK.
  1. Kerajaan Negeri juga pernah memohon peruntukan untuk pembinaan Bayan Lepas LRT melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) kepada pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 27 Februari 2020. Namun, pihak MOT melalui surat bertarikh 17 Jun 2020 telah menolak permohonan tersebut dan Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif semula dengan mengemukakan rayuan bagi permohonan tersebut pada 20 Julai 2020 yang juga masih menunggu maklum balas daripada pihak MOT.
  1. Berkenaan peruntukan sejumlah RM100 juta bagi projek Penang Hill Cable Car sebelum yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2020 pada bulan Oktober 2019 yang lalu. Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan (MOF) melalui surat bertarikh 3 April 2020 telah menyatakan bahawa permohonan tersebut tidak dapat dipertimbangkan daripada pihak Kementerian dan tidak dapat diteruskan.
  1. Justeru, saya juga telah mengemukakan rayuan pada 10 Jun 2020 kepada pihak MOF bagi meneliti dan mempertimbangkan semula permohonan peruntukan bagi cadangan pelaksanaan Projek Penang Hill Cable Car dan tiada maklum balas yang diterima sehingga kini. Bukit Bendera sentiasa dihasratkan sebagai destinasi pelancongan serantau bernilai tinggi, justeru pelaksanaan projek cable car ini perlu diteruskan sebagai salah satu tarikan pelancongan ikonik tambahan di Pulau Pinang.
  1. Kerajaan Negeri kini amat berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mengeluarkan surat jaminan Kerajaan Persekutuan atau meluluskan peruntukan melalui RMKe-12 bagi pembiayaan projek PTMP, khasnya bagi pelaksanaan projek LRT dan Projek Penang Hill Cable Car. Adalah ditegaskan di sini, tanggungjawab pembinaan infrastruktur seperti PTMP ini dan sistem pengangkutan awam adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Malah Kerajaan Negeri yakin bahawa berdasarkan sumbangan KDNK Kerajaan Negeri kepada Gross Domestic Product (GDP) Kerajaan Persekutuan, Pulau Pinang layak mendapat peruntukan dari Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembangunan LRT.
  1. Projek-projek utama infrastruktur ini amat penting untuk Pulau Pinang terus menerajui negeri dan negara dalam meraih lebih banyak pelaburan FDI daripada sektor E&E terutamanya untuk bersaing dengan negara jiran seperti Vietnam dan Thailand. Usaha ini akan meningkatkan GDP Malaysia di samping menjadikan Malaysia sebagai kuasa utama (powerhouse) untuk sektor E&E. Bagi tujuan pencapaian ini peruntukan pembangunan projek LRT Pulau Pinang yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan infrastruktur ini perlu diutamakan.
  1. Tambahan pula dengan peruntukan pembangunan LRT berjumlah RM10 bilion adalah dijangkakan Pulau Pinang dapat mengekalkan bajet lebihan bagi Projek PSR iaitu di sekitar RM30 bilion bagi tempoh 25 tahun akan datang. Lebihan fiskal ini akan membolehkan Kerajaan Negeri untuk memberi keutamaan kepada pembangunan projek-projek sosial termasuk pengangkutan awam yang lain untuk rakyat, pembinaan dan pembangunan jalan raya sedia ada serta penyelenggaraan dan pembinaan rumah mampu milik dan lain-lain lagi.
  1. Oleh itu hasil daripada pelaburan infrastruktur ini, Pulau Pinang akan menjadi sebuah pusat global utama dalam bidang E&E termasuk penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IOT), Artificial Intelligence (AI), Industrial Revolution0 (IR 4.0) dan yang berkaitan. Tambahan pula dengan dibantu aktiviti ekonomi Pulau Pinang sedia ada serta sektor pelancongan dan pelancongan perubatan termasuk pembangunan sektor perkhidmatan akan membolehkan Pulau Pinang memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan GDP Malaysia secara keseluruhannya.
  1. Kejayaan pembangunan ekonomi ini juga akan menjadi pemangkin untuk mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi bagi pekerjaan kolar biru dan putih terutamanya di kawasan Koridor Pembangunan Utara khasnya rakyat Kedah, Utara Perak dan juga Perlis. Ia juga akan menghalang bakat-bakat kelahiran Malaysia yang mempunyai kelayakan dan kemahiran yang tinggi dari berhijrah ke Singapura (brain drain) apabila mereka kembali bagi mengisi pekerjaan bernilai tinggi di Koridor Utara (Northern Corridor). Tarikan ini juga boleh menyebabkan pendapatan pencukaian dari pembangunan ekonomi akan disumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan pada masa depan.
  1. Demi kepentingan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri yakin satu persefahaman boleh dicapai bersama pihak Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah pengangkutan awam dan kesesakan jalan raya di Pulau Pinang demi kebaikan rakyat serta kelestarian ekonomi negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

MEMPERCEPATKAN PROGRAM PENYAMPAIAN DAN REFORMASI INSTITUSI DI BAWAH VISI PENANG2030 (ACCELERATE PROGRAMME DELIVERY AND INSTITUTIONAL REFORM)

  1. Semasa kita membincangkan kebimbangan yang timbul dari krisis dihadapi dalam ekonomi, kesihatan awam dan politik persekutuan, kita di Pulau Pinang akan terus mengawasi dan tidak lupa merancang kesejahteraan masa depan Pulau Pinang. Cabaran yang dilalui pada beberapa tahun kebelakangan ini, memberi kita petunjuk yang baik tentang bagaimana untuk memberi keutamaan terhadap matlamat kita yang pelbagai. Setakat ini, sebagai tindak balas jangka masa sederhana, usaha Kerajaan Negeri dapat dicerminkan dalam rombakan portfolio MMK yang dilakukan pada bulan lalu, di mana Kerajaan Negeri telah membuat inovasi utama berikut:
  1. Portfolio Pembangunan Tanah & Ekonomi diletakkan di bawah tanggungjawab Ketua Menteri. Ini berikutan, hal ehwal ekonomi, sama ada untuk jangka pendek, sederhana atau jangka panjang, adalah merupakan keutamaan. Justeru, ianya diletakkan di bawah Ketua Menteri di peringkat yang lebih makro;
  1. Portfolio Pembangunan Sosial juga telah diwujudkan untuk meningkatkan sinergi dalam usaha kita membangunkan Pulau Pinang ke arah menjadi masyarakat yang inklusif, progresif dan penyayang. Berhubung dengan masalah gender, saya percaya kita sekarang telah sampai ke titik kritikal di mana kita harus lebih agresif dalam mencapai matlamat kita untuk mengarus-utamakan kesetaraan gender sebagai prinsip pemerintahan dan pengurusan. Portfolio ini diletakkan di bawah YB Chong Eng;
  1. Portfolio Ekonomi Kreatif telah diwujudkan sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang diluahkan oleh masyarakat umum sekiranya fokus berlebihan diberikan ke atas sektor pelancongan utama sehingga mengenepikan industri yang berkait rapat dengan budaya dan kesenian. Inisiatif ini juga bertujuan untuk membantu para penggiat seni yang unik di Pulau Pinang serta usahawan muda yang inovatif untuk bertahan dalam krisis ekonomi yang di hadapi pada masa ini. Pendekatan yang diperlukan untuk menghidupkan kembali pelancongan dan pendekatan yang diperlukan untuk menghidupkan ekonomi kreatif adalah sangat berbeza. Oleh itu, langkah ini dianggap perlu; dan
  1. Portfolio Agrotech & Sekuriti Makanan diwujudkan untuk menyoroti perlunya Pulau Pinang merangkul teknologi dalam mengembangkan sektor pertanian dan akuakultur kita. Kerajaan Negeri membayangkan sektor ini menjadi enjin pertumbuhan untuk Pulau Pinang dalam masa terdekat.
  1. Walaupun kita telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk meringankan penderitaan rakyat secara langsung, kita tidak boleh melupakan tujuan jangka panjang kita. Untuk Visi Penang2030, saya percaya bahawa tujuan "Mempercepat Penyampaian Program dan Reformasi Institusi" harus diutamakan.
  1. Selain dari rombakan portfolio MMK, saya juga merasionalisasikan Sekretariat EXCO (MMK) dan mengarusutamakan matlamat Penang2030 ke dalam bidang tugas mereka. Untuk meningkatkan pembuatan dasar-dasar berlandaskan bukti (evidence-based policy making) serta meningkatkan keupayaan Kerajaan untuk memantau pelaksanaan polisi, Penang Institute (PI) telah ditugaskan untuk mengadakan perbincangan dengan lebih mendalam dengan barisan Ahli MMK. Saya menjangkakan lebih banyak dasar dapat diselaraskan dengan perspektif yang lebih mendatar akan terhasil dari inovasi ini.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

COVID-19

  1. Bagi menjawab soalan daripada YB ADUN Pengkalan Kota mengenai hala tuju dan tindakan Kerajaan Negeri bagi memastikan pelaksanaan SOP pendamik COVID-19 dipatuhi. Pada masa ini, aspek pemantauan dan  penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lain-lain agensi yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia di bawah Akta 342. Tindakan kompaun dan penutupan premis kepada pemilik premis dan individu yang ingkar telah dilaksanakan dan akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa selaras dengan peningkatan kes-kes jangkitan COVID-19 di negara ini. Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) COVID-19 yang diurusetiakan oleh MKN Negeri Pulau Pinang sehingga kini telah melaksanakan sebanyak 14 kali mesyuarat berkaitan bagi mendapatkan taklimat mengenai aspek penguatkuasaan SOP PKP dalam kalangan agensi-agensi yang diberikan kuasa seperti pihak PDRM, JKNPP dan PBT. Arahan telah dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui platform mesyuarat ini kepada semua agensi yang terlibat untuk terus melaksanakan dan mengambil tindakan tegas dalam menguatkuasakan SOP PKPP di  lapangan. Pada masa sama, Kerajaan Negeri terus bekerjasama erat dengan semua pihak khususnya agensi kesihatan serta keselamatan bagi bersama-sama memutuskan rantaian pandemik COVID-19. Selain mesyuarat JKKN yang dipengerusikan oleh saya sendiri, mesyuarat jawatankuasa kerja yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri turut mengambil kepelbagaian pendekatan dalam memastikan pematuhan SOP bukan hanya di institusi-institusi kerajaan serta anak-anak syarikat berkaitan dengan Kerajaan Negeri malah juga premis-premis, lokasi-lokasi pelancongan, pusat-pusat membeli-belah dan lain-lain. Penguatkuasaan diteruskan dan pemantauan terus dijalankan dari semasa ke semasa tanpa kompromi demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh. 
  2. Sehingga 18 Oktober 2020, Negeri Pulau Pinang telah melaporkan sejumlah 399 kes daripada Kluster Penjara Reman dan 72 kes daripada Kluster Penjara Seberang Perai (Jawi). Sebagai langkah menghadapi peningkatan kes positif COVID-19 di dalam fasiliti tahanan iaitu penjara, langkah pencegahan dan kawalan telah dibuat. Ini termasuklah:
  1. Tahanan baharu dan tahanan lama mestilah diasingkan bagi mengelak kemungkinan mereka saling mennjangkiti COVID-19. Oleh yang demikian, Penjara perlu menyediakan kawasan atau tempat transit bagi tahanan kemasukan baharu ke Penjara;
  1. Tahanan baharu ini perlu ditempatkan di tempat transit untuk tempoh sekurang-kurangnya 14 hari dan disaring sebelum dimasukkan ke sel tahanan selanjutnya, setelah disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19;
  1. Bagi tahanan positif COVID-19 mereka diasingkan dan Penjara perlu menyediakan pusat rawatan risiko rendah untuk pesakit yang tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital;
  1. Bagi anggota penjara, mereka perlu mengamalkan dan mematuhi SOP dan garispanduan yang telah dikeluarkan oleh KKM seperti memakai pelitup muka pada setiap masa, kerap cuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal; dan
  1. Pelawat juga telah tidak diterima dan dihadkan kecuali bagi kes-kes tertentu

 

  1. Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, semasa tempoh penularan pandemik COVID-19 ini, Kerajaan Persekutuan adalah satu-satunya agensi penguat kuasa atau pihak berkuasa yang boleh menguat kuasa undang-undang ini dan bukannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Selain itu, di bawah Perlembagaan termaktub Kerajaan Negeri perlu mematuhi undang-undang persekutuan dan tidak boleh melakukan sesuatu yang mungkin menjejaskan atau bercanggah dengan perintah tertentu persekutuan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menghormati peruntukan undang-undang yang memberi punca kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan PKP/PKPB bagi zon merah yang mempunyai bilangan kes COVID-19 yang tinggi.

 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

PEMBANGUNAN TANAH

  1. Berhubung dengan permohonan YB ADUN Pantai Jerejak supaya tanah-tanah rejah PDC diberi kelonggaran kepada penduduk setempat untuk berniaga, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan permohonan sewaan tanah secara sementara sekiranya usaha panggilan tender bagi tanah tersebut tidak mendapat sambutan. Sebagai makluman, penawaran sewaan sementara bagi tanah reja di Bayan Baru telah dibuat selama 6 bulan. Namun yang demikian, tiada sebarang permohonan diterima daripada orang awam.
  1. Berhubung permohonan YB ADUN Bukit Tengah supaya Kerajaan Negeri tidak memperbaharui permit kuari di Bukit Juru. Hasil semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Seberang Perai Tengah mendapati bahawa permit pengeluaran bahan batuan (Permit 4C) bagi kawasan kuari di Bukit Juru yang masih aktif (PT 659, Mukim 12, SPT) akan tamat pada 31.12.2020. Proses bagi memperbaharui permit 4C ini perlu melalui beberapa peringkat. Pertama sekali, pihak kuari perlu membuat permohonan pembaharuan permit 4C di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT). Kemudian pihak PDT akan memproses permohonan tersebut dengan memohon ulasan daripada jabatan-jabatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD). Kertas pertimbangan kemudiannya akan dihantar ke Pejabat Tanah dan Galian untuk diangkat bagi pertimbangan Jawatankuasa Pengeluaran Bahan Batuan Negeri bersama syor Pentadbir Tanah. Permohonan ini seterusnya akan diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri (MJKTN) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK). Pihak Berkuasa Negeri (PBN) boleh mempertimbangkan untuk menolak permohonan bagi memperbaharui permit 4C kuari di Bukit Juru di mesyuarat MMK sekiranya mendapati tiada kesesuaian untuk aktiviti kuari di kawasan tersebut dengan mengambil kira ulasan daripada jabatan-jabatan teknikal berkaitan serta syor Pentadbir Tanah, Jawatankuasa Bahan Batuan dan MJKTN.
  1. Seterusnya, YB ADUN Sungai Dua telah membangkitkan mengenai penjanaan hasil Kerajaan Negeri melalui cukai tanah/ penggunaan tanah yang optimum akan membebankan rakyat. Pembayaran sewa (cukai tanah) yang dikenakan kepada pemilik tanah adalah sebagai balasan kepada Kerajaan Negeri ke atas tanah yang diberimilik untuk selama-lamanya atau untuk satu (1) tempoh beberapa tahun selaras dengan peruntukan Sekyen 76 Kanun Tanah Negara 1965. Penyemakan sewa hendaklah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri setiap sepuluh (10) tahun dari tarikh semakan terakhir dibuat. Walau bagaimanapun, semakan sewa terakhir di Negeri Pulau Pinang dibuat pada tahun 1994 dan rakyat negeri ini telah membayar sewa dengan kadar yang sama selama 26 tahun walaupun nilai hartanah yang dimilikinya bertambah setiap tahun. Oleh itu, pembayaran sewa ini tidak membebankan rakyat negeri ini disebabkan sewa yang dikenakan adalah sama bagi jangka masa panjang.

 

  1. Mengenai cadangan YB ADUN Batu Uban supaya Kerajaan Negeri berikan tempoh pajakan lebih panjang bagi memudahkan remaja untuk terlibat dengan pertanian. Berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 76, Kanun Tanah Negara 1965, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) boleh melupuskan tanah kerajaan secara pemberimilikan bagi tempoh selama 30 tahun, 60 tahun dan 99 tahun. Secara kebiasaannya, PBN tiada halangan untuk membenarkan pegangan tanah pertanian sehingga tempoh maksimum 99 tahun. Namun, tempoh pemberimilikan turut mempengaruhi bayaran premium bagi tanah yang diberimilik. Lebih lama tempoh pemberimilikan bermaksud lebih tinggi nilai premium yang dikenakan.
  1. Merujuk kepada soalan YB ADUN Air Putih, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah RM300,000.00 bagi pelaksanaan program-program berkaitan agama bukan Islam di negeri ini seperti yang dinyatakan dalam ucapan Belanjawan 2021. Selain itu, sejumlah RM5 juta lagi disediakan untuk tujuan pemberian kepada rumah ibadat dan persatuan berkaitan hal ehwal agama bukan Islam. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri tidak meminggirkan mana-mana agama dalam penyediaan belanjawan Negeri ini. Selain daripada peruntukan pemberian dan program ini, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan sebanyak RM9.2 juta bagi menyediakan segala infrastruktur asas untuk membangunkan tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di tapak RIBI Ampang Jajar. Pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah dilantik sebagai agensi pelaksana untuk pembangunan ini. Sejumlah 9.4 ekar tanah telah disediakan bagi membolehkan penempatan 31 plot RIBI dan 2 plot utiliti. Ini menunjukkan kesungguhan pihak Kerajaan Negeri dalam membantu penempatan RIBI.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

PDC

  1. YB ADUN Bukit Tambun ada bertanyakan sama ada PDC akan membekalkan tanah industri yang mencukupi untuk menggalakkan pelaburan di negeri ini. Sebagai makluman, PDC sebagai agensi utama Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk menerajui pertumbuhan sosio-ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan. Setakat bulan Oktober 2020, bekalan tanah industri adalah lebih kurang 481 ekar iaitu Taman Perindustrian Batu Kawan (sebanyak 258 ekar), Penang Science Park (sebanyak 26 ekar) dan Penang Science Park North (sebanyak 197 ekar). Selain itu, kawasan di BKIP2 yang berkeluasan 1,156 ekar telah dikenal pasti sebagai tapak perindustrian PDC yang baru bagi menarik pelabur tempatan dan asing. PDC juga bercadang untuk membina jambatan baru merentasi Sungai Tengah yang akan menghubungkan Batu Kawan ke Byram, sebagai menjawab pertanyaan daripada YB ADUN Jawi.

 

  1. YB ADUN Air Putih juga telah bertanyakan mengenai kedudukan pinjaman RM1.5 bilion daripada CIMB untuk membuka tanah perindustrian baru. Untuk makluman, kemudahan pinjaman PDC dengan CIMB Bank Bhd (CIMB) berjumlah RM1.5 bilion adalah terdiri daripada kemudahan pinjaman Kredit Tidar (Revolving Credit - RC) dan kemudahan pinjaman berjangka (Term Loan - TL) masing-masing berjumlah RM0.5 bilion dan RM1.0 bilion. Sehingga 13 Oktober 2020, jumlah keseluruhan pengeluaran pinjaman PDC bagi kedua-dua pinjaman RC dan TL adalah berjumlah RM551 juta. Daripada jumlah ini, pengeluaran pinjaman sejumlah RM537 juta adalah untuk tujuan membuka tanah perindustrian baru iaitu RM501 juta untuk tujuan pengambilan tanah terutamanya di Timur Batu Kawan dan Changkat Byram dan RM36 juta untuk tujuan kerja-kerja infrastruktur di Batu Kawan, Bukit Minyak Industrial Park dan Penang Science Park North.  Manakala baki pengeluaran berjumlah RM14 juta adalah untuk pembiayaan modal kerja. Jumlah yang telah dijelaskan PDC kepada CIMB sehingga 13 Oktober 2020 adalah berjumlah RM38 juta menjadikan baki pinjaman sekarang adalah RM513 juta. Baki kemudahan pinjaman yang boleh digunakan adalah berjumlah RM949 juta.

 

  1. Untuk makluman, Kerajaan Negeri pada mulanya telah menyediakan pinjaman kepada PDC berjumlah RM679 juta untuk digunakan bagi tujuan pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur sementara pihak PDC mendapatkan pembiayaan dari sumber lain. Setelah berjaya mendapat pembiayaan tersebut, pihak PDC telah berjaya membayar balik pinjaman Kerajaan Negeri berjumlah RM277.71 juta daripada RM380.35 juta pinjaman yang dikeluarkan. Bayaran balik pinjaman ini juga telah membantu Kerajaan Negeri dalam meningkatkan semula rizab terkumpul negeri.

 

  1. Untuk menjawab pertanyaan YB ADUN Jawi sama ada PDC merancang untuk membina kilang-kilang bersaiz medium untuk disewakan kepada pengusaha kilang yang kurang berkemampuan untuk membeli, khususnya bagi pengilang perabot. Antara usaha-usaha yang telah diambil oleh PDC dalam membantu pengusaha kilang yang kurang berkemampuan untuk membeli premis sendiri adalah seperti berikut:

 

  1. Membina sebuah bangunan 4 tingkat di Fasa 4, Taman Perindustrian Bayan Lepas yang dikenali sebagai Penang SME Centre yang bertujuan sebagai pusat inkubasi dan menyediakan ruang kilang kepada pengusaha-pengusaha IKS yang tidak mampu memiliki premis sendiri. Subsidi sewa yang diberikan dapat mengurangkan beban kos perniagaan dan meningkatkan daya saing IKS;
  1. Membangunkan projek SME Village di atas tanah seluas 150 ekar di Taman Perindustrian Batu Kawan dengan menyediakan unit-unit kilang siap bina dan plot-plot tanah berkeluasan kecil bagi menampung permintaan daripada pengusaha IKS. Skim sewa beli juga telah diperkenalkan di bawah Fasa 4A (yang merangkumi 20 unit kilang berkembar 2 tingkat) untuk membantu pengusaha IKS tempatan yang kurang berkemampuan dan mengalami kesusahan untuk mendapatkan pembiayaan kewangan daripada bank;
  1. Skim penyewaan juga disediakan untuk unit-unit kilang kecil dan sederhana yang sediada di Taman Perindustrian Bayan Lepas, Bukit Minyak dan Bukit Tengah.

 

  1. Berhubung dengan cadangan YB ADUN Jawi untuk menamakan Batu Kawan Industri Park 2 (BKIP 2) sebagai Taman Industri Byram atau Byram Industry Park. Sejak 10 tahun yang lalu, Taman Perindustrian Batu Kawan telah menjadi jenama antarabangsa dan lokasi pilihan utama kepada pelabur asing. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran syarikat terkemuka seperti Lam Research, Dexcom, Smith & Nephew, Jabil, Micron, Hotayi, Boston Scientific dan lain-lain lagi. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri perlu mengambil peluang ini untuk terus memasarkan kawasan perindustrian yang dirancang di Byram sebagai BKIP2 iaitu sebagai extension kepada kawasan BKIP yang sedia ada. Ini sekaligus dapat merancakkan pembangunan industri dan menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan syarikat tempatan dan antarabangsa walaupun bersaing rapat dengan negeri-negeri yang lain seperti Selangor, Johor dan Kedah.

 

  1. Bagi soalan YB ADUN Bukit Tambun sama ada PDC memiliki perancangan ke atas kompleks pasar dan penjaja di Batu Kawan. PDC telah pun mengenalpasti satu tapak seluas 7 ekar di Bandar Cassia, Batu Kawan bagi tujuan pembinaan sebuah Kompleks Pasar dan Penjaja. Kini, PDC dalam proses untuk mengemukakan Pelan Kebenaran Merancang kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang dijangka pada suku tahun pertama 2021.

 

  1. Bagi isu UTC KOMTAR yang dibangkitkan oleh YB ADUN KOMTAR, PDC telah menyediakan segala kemudahan infrastruktur ICT semasa menubuhkan UTC KOMTAR. Semua agensi yang ditempatkan dalam UTC KOMTAR perlu memastikan sistem berjalan dengan lancar agar urusan rakyat dipermudahkan. Selain itu, disarankan juga agensi yang banyak berurusan dengan rakyat seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menempatkan satu pejabat di UTC KOMTAR. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri bersedia mempertimbangkan pengenaan kadar sewaan yang bersesuaian dan berpatutan bagi menarik penyewa-penyewa bagi unit kosong milik PDC di KOMTAR. Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk memastikan capaian jaringan internet di KOMTAR adalah baik untuk kemudahan orang ramai dan pengunjung di KOMTAR. Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan beberapa cadangan yang bersesuaian bagi tujuan pembangunan semula KOMTAR Walk.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

UNDANG-UNDANG ANTI LOMPAT PARTI

 

  1. Apabila Dewan ini meminda Perlembagaan Negeri dengan memasukkan Perkara 14A menerusi Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 pada tanggal 1 November 2012, ia merupakan suatu langkah yang bersejarah di mana Dewan ini menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menangani budaya "yang tidak sihat dan tidak beretika" melompat parti politik untuk keuntungan peribadi, bagi menggalakkan integriti, akauntabiliti dan yang paling utama sekali, untuk mengembalikan kepada rakyat kuasa untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri.
  1. Berlandaskan insiden-insiden lampau pada tahun-tahun 1966, 1994, 2009 serta kejatuhan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada bulan Februari tahun ini, kita semua telah menyaksikan betapa sedihnya mandat rakyat dirampas demi kerakusan kepentingan politik pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Di Pulau Pinang sendiri, tindakan beberapa individu yang enggan mengosongkan kerusi mereka di Dewan ini walaupun mereka telah dengan senang mengenepikan mandat rakyat yang memilih mereka sebagai sebahagian daripada perwakilan Pakatan Harapan, adalah situasi yang mengingatkan kita kembali mengapa Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, khususnya Perkara 14A harus ditegakkan.
  1. Walaupun Perkara 14A Perlembagaan Negeri dengan jelas memperuntukkan keadaan-keadaan di mana seorang Ahli Dewan Undangan Negeri ini hendaklah mengosongkan kerusinya, keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membentangkan usul tersebut dalam sesi persidangan Dewan kali ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri berlandaskan prinsip demokrasi untuk membolehkan ahli-ahli DUN berbahas sebelum apa-apa keputusan dicapai. Andai kata keputusan majoriti dapat dicapai untuk kerusi-kerusi tersebut diisytiharkan sebagai kosong, Perkara 14A(4) Perlembagaan Negeri seterusnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Dewan hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya akan kekosongan-kekosongan tersebut untuk membolehkan pilihanraya kecil untuk kawasan-kawasan berkenaan dijalankan.
  1. Namun demikian, keadaan negara yang kini dilanda gelombang ketiga pandemik COVID-19 adalah suatu realiti yang juga perlu dipertimbangkan dengan serius oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dengan jumlah kenaikan kes-kes yang mendadak di seluruh negara sejurus selepas tamatnya Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, Kerajaan Negeri akur bahawa keadaan yang sama boleh berlaku sekali lagi sekiranya pilihan raya kecil dilangsungkan di Pulau Pinang dalam waktu yang terdekat untuk kawasan-kawasan yang berkenaan.
  1. Harus ditekankan di sini bahawa hak rakyat untuk mengundi harus dihormati. Namun, dalam kita menangani krisis COVID-19 yang juga memerlukan kerjasama daripada semua pihak, Kerajaan Negeri bertekad bahawa kesihatan umum dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang tidak boleh dipergadaikan semata-mata untuk kepentingan politik mahupun kepentingan individu. Oleh yang demikian, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah memutuskan pada 7 Oktober 2020 untuk menangguhkan pembentangan usul pengosongan kerusi ke persidangan Dewan yang seterusnya, atau ke suatu waktu yang lebih selamat dan mengizinkan.

PBAPP

 

  1. Berhubung dengan pelantikan Pengarah Bukan Eksekutif PBAPP, YBhg. Dato’ Sr. Kuvenaraju a/l Pachappen berperanan untuk memperkukuhkan pentadbiran PBAPP termasuk mengkaji semula polisi dan prosedur operasi sedia ada, memperkukuhkan struktur kawalan dalaman dengan memastikan sistem semak dan imbang (check and balance), perancangan penggantian iaitu mengenalpasti pengganti yang sesuai untuk jawatan-jawatan penting dan tugas-tugas penyeliaan jabatan. Peranan beliau ini merupakan pelengkap kepada tugas-tugas Ketua Pengawai Eksekutif dan dalam masa yang sama boleh memberi ruang dan masa yang lebih kepada Ketua Pengawai Eksekutif untuk memfokuskan tugasnya ke atas hal operasi penyaluran bekalan air kepada rakyat yang amatlah mustahak dengan pelbagai cabaran seperti pencarian sumber air baru, kekurangan jumlah air sedia ada, pencemaran sungai sumber air, pelaksanaan projek-projek paip air dan bermacam-macam lagi.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

PENUTUP

  1. Di kesempatan ini juga, izinkan saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua barisan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, jentera Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, sektor swasta dan seluruh rakyat negeri ini yang selama ini bersama-sama mendokong aspirasi Kerajaan Negeri dan membolehkan kejayaan demi kejayaan dikecapi bersama.
  1. Akhir sekali, saya juga ingin menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini agar sentiasa bersatu-padu, berganding bahu dan hormat-menghormati di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Sesungguhnya, keharmonian yang dikecapi oleh rakyat ketika ini sangat mahal harganya dan wajib dipertahankan sampai bila-bila.

 

Sekian, Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang