MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-10 PERBADANAN BUKIT BENDERA PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-10

PERBADANAN BUKIT BENDERA PULAU PINANG

9 JANUARI 2021

STESEN BAWAH BUKIT BENDERA

YB Lim Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan & ADUN Air Putih

 

Yang Berusaha Dato’ Cheok Lay Leng

Pengurus Besar, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) atas penganjuran Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-10 Perbadanan Bukit Bendera yang diadakan dalam keadaan sederhana tetapi cukup bermakna pada petang yang berbahagia ini.

Pada hari ini, kita meraikan sebuah organisasi penting dan hebat yang telah dibentuk melalui gabungan pelbagai latar belakang dan kepakaran dengan objektif utama sudah tentulah untuk memacu Pusat Peranginan Bukit Bendera sebagai destinasi eko-pelancongan terunggul di Malaysia dan bertaraf antarabangsa.

Jasa dan keringat yang telah dicurahkan oleh para perintis termasuk dengan 16 orang kakitangan yang masih berdiri teguh sehingga ke hari, mengharungi jatuh bangun dalam membangunkan dan memulihara Bukit Bendera adalah sesuatu yang amat membanggakan.

Hampir satu dekad, PBBPP telah melalui fasa-fasa perubahan yang secara mendadak dari segi pembinaan semula, pertukaran kepimpinan, perubahan iklim, ditambah pula dengan pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang tidak menentu sepanjang tahun 2020.

Namun, di bawah kepimpinan Dato’ Cheok Lay Leng bersama pasukan yang hebat, PBBPP mampu mengharungi cabaran lalu bangkit dengan lebih kuat dan kukuh bagi memulakan perjalanan tahun 2021.

Bukit Bendera adalah anugerah untuk Negeri Pulau Pinang. Dari peninggalan sejarah yang mengagumkan dengan panorama indah dari atas puncak sehinggalah lapisan komuniti yang berbilang bangsa, Bukit Bukit mempunyai keunikan dan nilai yang tinggi. Sebagai penjaga Bukit Bendera, sudah semestinya PBBPP mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam memastikan pemuliharaan ekosistem terjamin serta melestarikan peninggalan bangunan warisan yang menggambarkan keunikan bukit ini.

Keseimbangan antara kemajuan, pemeliharaan dan pemuliharaan Bukit Bendera sering dititikberatkan kerana kita bukan sahaja mahu menarik lebih ramai pelancong tetapi dalam masa yang sama sebenarnya mahu mendidik dan mengajar tentang betapa pentingnya menghargai tanpa menjejaskan ekosistem khazanah alam ini.

Dana berjumlah RM13 juta telah dilaburkan sepanjang tahun lalu bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan dan peningkatan fasiliti Bukit Bendera. Dan pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM14.11 juta dalam Bajet Tahun 2021 kepada PBBPP bagi meneruskan kerja-kerja pembangunan Bukit Bendera – antaranya menaiktaraf bangunan astaka, projek pemuliharaan bangunan warisan milik kerajaan serta projek penstabilan cerun.

Hadirin yang dikasihi,

Kerajaan Negeri gembira melihat potensi dan perkembangan positif yang telah ditunjukkan oleh PBBPP dalam merealisasikan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Keutamaan dan pendekatan PBBPP sudah tentu dalam menjadikan Bukit Bendera sebagai destinasi yang mesra untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur.

Fasiliti akan terus dipertingkatkan pada fasa pembangunan yang akan datang. Rancangan untuk mengubah banglo Edgecliffe untuk dijadikan galeri pelawat dengan tujuan pendidikan juga sedang dijalankan. Infrastruktur rangkaian yang luas meliputi kawasan Bukit Bendera juga telah disiapkan sebagai langkah pendigitalan Bukit Bendera.

Dari sudut kehijauan, saya gembira melihat PBBPP telah mengambil inisiatif dan hampir mendapat pengiktirafan sebagai Rizab Biosfera UNESCO.  Dosier permohonan telah berjaya dihantar dengan kerjasama dan sokongan kuat dari Universiti Sains Malaysia (USM), The Habitat dan agensi negeri yang terlibat dalam usaha ini.

Pewartaan ini akan memperhebatkan pendidikan dalam melestarikan pembangunan dan pemuliharaan melalui kerja-kerja penyelidikan, yang mensasarkan Pulau Pinang sebagai pusat penyelidikan dan eko-pelancongan global, pada masa yang sama mewujudkan potensi limpahan ekonomi pada negeri.

Ketidaktentuan pandemik wabak COVID-19 masih membelenggu dan sudah pasti menyukarkan beberapa pelaksanaan dan perancangan yang telah dijadualkan. Namun Kerajaan Negeri yakin dan percaya PBBPP mampu mengatasi kesukaran ini dengan jayanya. Kerajaan Negeri ingin mengingatkan agar PBBPP untuk terus mengambil langkah keselamatan dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih rapi dan teliti.

Walaupun Kerajaan Persekutuan telah membatalkan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bernilai RM100 juta, namun Kerajaan Negeri komited untuk melihat keperluan dan kesinambungan projek ini sebagai alternatif kepada perkhidmatan funikular sedia ada bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta pengagihan pengunjung yang ramai ketika musim cuti yang kemuncak, pada masa yang sama menjana perkembangan bagi sektor pelancongan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat setempat.

Para hadirin yang dihormati,

Sebelum mengakhiri ucapan, suka untuk saya ingatkan bahawa sebarang bentuk pembangunan Bukit Bendera, ia perlu dilaksanakan dengan penuh teliti. Rangka kerja harus disediakan dengan rapi agar dapat memberi kawalan yang lebih baik untuk pembangunan Bukit Bendera yang lebih menyeluruh.

Kerajaan Negeri percaya bahawa perancangan ini dapat dicapai dengan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Penggantian 2020 yang telah dipamerkan selama hampir dua bulan untuk memberi ruang kepada orang ramai dalam mengkaji dan memberikan maklum balas mereka.

Kita menghargai maklum balas dan penyertaan orang awam dalam membantu mencapai pembangunan yang seimbang melalui perancangan ruang yang berkesan. Oleh demikian, draf RKK dipamerkan selama dua bulan ini untuk memberi peluang untuk mendengar dan menggabungkan cadangan anda dalam rancangan-rancangan ini. Mohon supaya anda dapat luangkan sedikit masa untuk melihat draf yang akan memberi manfaat kepada kita semua.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua. Semoga kejayaan pembangunan hari ini menjadi titik permulaan untuk mengorak lebih banyak kejayaan pada masa-masa akan datang. Selamat Maju Jaya kepada PBBPP!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang