MAJLIS PERASMIAN PECAH TANAH STESEN ATAS BUKIT BENDERA PULAU PINANG (FASA 4)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PECAH TANAH STESEN ATAS BUKIT BENDERA PULAU PINANG (FASA 4)
20 MAC 2021
YB Tuan Lim Guan Eng
Yang Berhormat Mantan Ketua Menteri
Merangkap Ahili Undangan Negeri Air Putih
Yang Berbahagia Dato’ Cheok Lay Leng
Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang
Yang Berhormat Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Ahli- ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
AR. Yew Tung Seang
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Ketua- ketua Jabatan
Ahli-Ahli Lembaga Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang,
Ahli-Ahli KPI Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang,
Ahli-Ahli Perjawatan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang,
Dif-dif Kehormat,
Rakan-rakan media,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Selamat Sejahtera.
Saya berbesar hati menerima undangan daripada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) untuk bersama-sama dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Stesen Atas Bukit Bendera (Fasa 4) pada pagi yang berbahagia ini.
Seperti yang dimaklumkan oleh Dato Cheok Lay Leng, Pengurus Besar PBBPP sebentar tadi, fokus utama bagi pelaksanaan projek adalah untuk membesarkan ruang menunggu di Stesen Atas ini kepada 1,422 meter per segi (2 tingkat) yang mana mampu menampung seramai 700 orang dalam satu masa, berbanding hanya 250 orang (800 meter per segi) sahaja sebelum ini.
Projek Fasa 4 merupakan satu inisiatif terbaru dan juga salah satu kerja penambahbaikan di kawasan puncak Bukit Bendera yang melibatkan projek skala besar dengan kos berjumlah RM9.3 juta.
Pada tahun 2020, bagi menaiktaraf kemudahan dan infrastruktur di Bukit Bendera, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13 juta dan pada tahun ini sebanyak RM14.1 juta telah diperuntukkan.
Walau pun sedikit lewat daripada jadual, tetapi PBBPP sebagai agensi yang bertanggungjawab memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam memastikan Bukit Bendera terus unggul sebagai salah satu bukit peranginan pilihan di Malaysia.
Dalam berdepan pasca pandemik COVID-19 dengan pengenalan Program Imunisasi COVID-19, Kerajaan Negeri berharap kita semua dapat melihat satu perkembangan yang positif dalam fasa pemulihan ekonomi termasuklah kepada sektor pelancongan.
Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030, penglibatan umum dan pihak berkepentingan (stakeholders) memainkan peranan yang penting dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri ‘hijau dan pintar’ yang memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan kekeluargaan.
Oleh demikian, saya berasa berbesar hati kerana bukan sahaja PBBPP, malah arkitek dan perunding juga sangat komited untuk menjayakan visi ini termasuklah dalam memastikan penerapan teknologi hijau dan reka bentuk lestari serta berinovatif dalam pembinaan struktur bangunan dan pengurusan tapak, selari dengan garis panduan yang ditetapkan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) 2016 dan RKK (Penggantian) 2020 untuk mengekalkan nilai estetika dan tarikan semula jadi di kawasan puncak Bukit Bendera.
Kerajaan Negeri juga telah mengariskan bahawa projek ini perlu mencapai pengiktirafan emas bagi ‘Green Building Index’ (GBI). Dan berharap agar PBBPP dapat mencapai sasaran tersebut.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Pelaksanaan projek Fasa 4 ini tidak sempurna sekiranya tidak dilengkapi dengan teknologi dan perisian yang akan memudahkan pengunjung untuk menggunakan fasiliti yang disediakan. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penghargaan kepada pihak PBBPP dalam usaha mereka yang berterusan untuk menjadikan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan yang pintar dan mesra alam.
PBBPP telah merancang dan melaksanakan sistem pengurusan ‘smart queue’ yang turut dikenali sebagai JustQ 2.0 yang dapat memberikan pengalaman menaiki funikular yang lebih selesa dan sistematik untuk semua pengunjung dengan perancangan jadual yang lebih sistematik. Sebagai contoh, pengunjung dapat mengakses maklumat mengenai jadual dan masa menaiki funikular dengan mengimbas kod QR JustQ yang disediakan di sekitar kawasan puncak Bukit Bendera.
Kawasan menunggu dan kemudahan di sekitar Kawasan Bukit Bendera akan diperluaskan malah tempat makan dan minum di kawasan Stesen Atas akan dijadikan sebagai kawasan untuk pengunjung berehat, menjamu selera dan menikmati pemandangan yang menakjubkan di puncak sebelum pengunjung turun ke bawah dengan menaiki funikular.
Pengunjung yang ingin menikmati keindahan Bukit Bendera bersama golongan berusia atau golongan kelainan upaya (OKU) kini dapat menggunakan akses yang lebih baik dan mesra pengguna ke tempat-tempat yang menarik melalui lif dan eskalator yang disediakan.
Akhir kata, semoga proses naik taraf ini berjalan dengan lancar dan berharap kita semua dapat berjumpa kembali selepas 18 bulan untuk melihat transformasi baru di Stesen Atas Bukit Bendera ini.
Sekian, terima kasih.