MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) TAHUN 2020

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC)

TAHUN 2020

 

26 MAC 2021 (JUMAAT)

DEWAN KENANGA, MENARA BANDARAYA, MBSP

____________________________________________________

 

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa

 

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

 

Yang Diraikan Para Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2020

 

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atas jemputan ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada pagi yang berbahagia ini.

Syabas dan tahniah kepada 272 orang kakitangan MBSP yang diraikan dalam 3 majlis yang dijalankan secara serentak pada pagi ini iaitu di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP, Depo Pembersihan Padang Chempedak, SPU dan Depo Pembersihan Jawi, SPS.

Sesungguhnya Kerajaan Negeri amat bangga dengan prestasi cemerlang dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh anda semua, bukan sahaja dalam mencapai visi MBSP malah turut membantu menjayakan aspirasi Kerajaan Negeri dalam Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Tahun 2020 yang pada awalnya dinantikan dengan penuh keterujaan, telah berakhir dengan perkara di luar dugaan kita semua. Pandemik COVID-19 yang telah melanda dunia telah mengancam dan meninggalkan krisis kesihatan dan ekonomi yang cukup besar.

Setahun sudah berlalu dan saya pasti semua kakitangan MBSP kini telah berjaya mengadaptasi persekitaran kerja dengan normal baharu. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga kerja MBSP di bawah kepimpinan Datuk Bandar MBSP yang begitu komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Anda semua adalah Wira Barisan Hadapan Pulau Pinang!

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Bagi menghargai sumbangan Wira Barisan Hadapan ini, Kerajaan Negeri juga dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang pada tahun 2020 telah meluluskan bantuan RM300 (one-off) kepada kakitangan barisan hadapan yang terlibat dalam menangani wabak COVID-19. Untuk tujuan tersebut, seramai 3,086 Wira Barisan Hadapan MBSP telah dikenalpasti menerima bantuan RM300 (one-off) melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM925,800.00.

Setiap hala tuju dan perancangan yang dilaksanakan oleh MBSP sentiasa bergerak seiring dengan Visi Penang2030. Kerajaan Negeri dapat melihat sisi kreatif dan inovatif MBSP terutama dalam mendepani cabaran COVID-19.

Seperti yang kita semua sedia maklum, MBSP telah mengintegrasi Perkhidmatan Perbandaran melalui teknologi pintar seperti menaiktaraf myMBSP Apps kepada Cyber Counter dan melaksanakan inisiatif tanpa tunai melalui kerjasama dengan pihak Boost.

Melalui Cyber Counter, perkhidmatan MBSP masih dapat disampaikan kepada penduduk setempat meskipun masih berada dalam tempoh PKP dan polisi Bekerja Dari Rumah (BDR).

Malah, Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang telah diumumkan sejak PKP dikuatkuasa telah disampaikan kepada golongan peniaga yang terkesan melalui sistem yang dibangunkan oleh MBSP. Ini lah bukti di mana MBSP masih produktif walaupun pelbagai kekangan di hadapi pada masa kini.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada hari ini. Semoga kejayaan tuan-tuan/puan-puan ini tidak berhenti setakat ini, tetapi dapat menjadi contoh dan pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang