PROGRAM WANITA HEBAT SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW PADA PROGRAM WANITA HEBAT SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA
28 MAC 2021; 4.30 PETANG;
PUSAT HARMONI, JALAN SCOTLAND
________________________________________
(Salutasi)
Selamat petang kepada para hadirin sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dari 18 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang telah bersama-sama menganjurkan program ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada wanita kita – WANITA HEBAT – di Pulau Pinang.
Saya tertarik dengan beberapa angka statistik di laman web Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan artikel khusus mengenai sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang mana hampir 60 peratus wanita di seluruh dunia bekerja dalam situasi ekonomi tidak seimbang dengan pendapatan serta simpanan yang tidak mencukupi serta berisiko lebih tinggi terperangkap dalam kemiskinan.
Artikel yang diterbitkan pada 9 Mac 2021 tersebut turut menyatakan bahawa pendapatan wanita adalah lebih rendah iaitu sebanyak 23 peratus berbanding golongan lelaki, dan wanita hanya menduduki 24 peratus daripada kerusi parlimen di seluruh dunia. Sebagai tambahan, angka yang paling mengejutkan adalah satu (1) daripada tiga (3) wanita mengalami kekerasan fizikal atau seksual.
Justeru, hadirin sekalian, sebagai pendekatan awal bagi membanteras kes-kes sebegini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan pelbagai dasar yang progresif dan inklusif antaranya, Dasar Keluarga Selamat yang diwujudkan pada Oktober tahun lepas. Pendekatan tersebut menyediakan khidmat sokongan ke arah usaha membanteras kes-kes keganasan rumah tangga yang lazimnya menunjukkan peningkatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Turut dilaksanakan adalah Kempen Penang Goes Orange (PGO) yang dilancarkan pada tahun 2019 merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk melindungi golongan wanita daripada menjadi mangsa penderaan seksual. Malah, JPWK yang ditubuhkan di semua 40 KADUN Pulau Pinang turut menyediakan platform kepada golongan wanita untuk menonjolkan bakat dalam kepelbagaian bidang termasuk pada peringkat pembuat dasar.
Terkini adalah inisiatif ‘Top-Up Only Women Only Additional Seats’ (TWOAS) yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada bulan Oktober 2020 bagi memperjuangkan perwakilan 30 peratus wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Saudara dan saudari sekalian,
Pandemik COVID-19 juga telah memberi kita satu pengajaran yang amat berharga. Sebagaimana pencapaian dicapai oleh WANITA-WANITA HEBAT yang berada di sini pada hari ini, golongan wanita juga telah banyak memberi sumbangan dalam melawan wabak berkenaan. Sebilangan besar mereka merupakan pekerja dalam sektor kesihatan, pengasuh, innovator dan penganjur komuniti yang bersemangat dalam usaha melawan pertempuran tersebut.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda semua, WANITA HEBAT yang diiktiraf, dalam upacara yang sederhana namun penuh bermakna pada hari ini. Pengorbanan serta sumbangan anda untuk mempengaruhi kehidupan orang lain dalam komuniti anda telah mencapai keputusan di luar jangkaan.
Semoga dengan pengiktirafan ini, ia dapat dijadikan sebagai panduan kepada keseluruhan pimpinan JPWK dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh dedikasi dan berhemat.
Di sini, saya menyeru sokongan padu daripada kepimpinan sedia ada daripada pelbagai peringkat untuk bersama-sama mencipta sejarah, demi kesejahteraan semua lapisan rakyat Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.