SESI LIBAT URUS ANTARA AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (EXCO) BERSAMA AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI (ADUN) PULAU PINANG

UCAPAN ALUAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA SESI LIBAT URUS ANTARA AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (EXCO) BERSAMA AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI (ADUN) PULAU PINANG

 

29 MAC 2021

HOTEL ST GILES WEMBLEY, PENANG

__________________________________________________

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Ketua Pembangkang Pulau Pinang,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

1.     Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang 2021 pada pagi yang berbahagia ini.

2.     Berikutan penggantungan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berlangsung pada April ini susulan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri berpendapat adalah perlu untuk diadakan Sesi Libat Urus ini bagi memastikan prinsip semak dan imbang (check and balance) dapat dilaksanakan dalam tampuk pentadbiran sedia ada.

3.     Seperti mana amalan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, YB ADUN bukan sahaja bertindak sebagai pengantara dalam penyampaian suara rakyat, malah setiap YB ADUN bertanggungjawab untuk mengkritik atau menegur tindakan institusi kerajaan bagi memastikan jabatan atau agensi negeri melaksanakan fungsinya berdasarkan dasar yang telah ditetapkan.

4.     Sesi Libat Urus ini akan berlangsung selama dua (2) hari di mana setiap YB Ahli EXCO akan mengemaskini perkembangan dan pelaksanaan dasar, projek dan program di bawah portfolio masing-masing, dan selepas itu akan berlangsung Sesi Soal Jawab bagi membolehkan YB ADUN untuk mengemukakan perkara-perkara berbangkit yang berkaitan (sekiranya ada) dan diakhiri dengan Sesi Rumusan oleh YB Ahli EXCO tersebut.

5.     Melalui sistem dialogpenang2021.penang.gov.my di bawah seliaan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN) yang dibangunkan untuk Sesi Libat Urus ini, sebanyak 129 soalan dari YB ADUN telah diterima oleh pihak urusetia iaitu Bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk penyelarasan dan penyediaan jawapan oleh YB Ahli EXCO berkenaan.

6.     Perancangan awal adalah untuk mengadakan sesi ini secara atas talian serta fizikal (hybrid) di mana kehadiran YB EXCO adalah secara fizikal manakala YB ADUN akan hadir ke sesi ini melalui atas talian (video conferencing) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), namun ditukar bersesuaian dengan kelonggaran yang diberikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dibenarkan.

7.     Dalam menghadapi pasca pandemik COVID-19, rakyat Pulau Pinang sudah tentu menaruh harapan yang tinggi, justeru wakil rakyat sama ada daripada parti pemerintah mahupun pembangkang mempunyai peranan masing-masing untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

8.     Sebagai wakil rakyat, setiap daripada kita perlu responsif kepada keperluan rakyat. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membuat rakyat berasa mereka diwakili oleh wakil yang dapat membantu menyelesaikan segala permasalahan yang berbangkit.

8.     Di pihak Kerajaan Negeri, fokus utama kini adalah untuk memenangi tiga (3) krisis utama iaitu krisis kesihatan awam, krisis ekonomi dan krisis politik. Ketiga-tiga krisis ini telah memberi ancaman dan meninggalkan impak yang cukup besar kepada semua, tanpa ada yang terkecuali.

9.     Dalam usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri terutama pertumbuhan ekonomi yang terjejas teruk, sokongan padu ini adalah sangat penting bagi memulihkan serta melonjakkan ketahanan ekonomi negeri ke arah pencapaian Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Pulau Pinang pasti akan bangkit, meniti dimensi baharu yang lebih gemilang dan megah berdiri di pentas transformasi global berbekalkan tekad, komitmen dan sinergi yang kukuh.

10.   Sebelum mengakhiri ucapan pembukaan ini, saya menyeru agar semua YB ADUN dapat mengggunakan plaform ini sebaik-baiknya, tanpa prejudis terhadap satu sama lain sekaligus menjadikan ia sebagai medium atau wadah untuk penyebaran dan perkongsian idea-idea yang bernas dan bermanfaat demi rakyat dan negeri yang tercinta.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang