SESI LIBAT URUS ANTARA  AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (EXCO) BERSAMA AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI (ADUN) PULAU PINANG 2021

 

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG

MERANGKAP EXCO PEMBANGUNAN TANAH & EKONOMI DAN KOMUNIKASI PADA SESI LIBAT URUS ANTARA

 AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (EXCO) BERSAMA AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI (ADUN) PULAU PINANG 2021

 

30 MAC 2021

HOTEL ST. GILES WEMBLEY, PENANG

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ketua Pembangkang Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam Sesi Libat Urus selama dua (2) hari ini.

Di bawah portfolio Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi, saya akan memberikan kemaskini berkaitan perkembangan dan perancangan semasa di bawah portfolio ini.

 

PEMBANGUNAN TANAH

Melihat kepada keadaan semasa dan berdasarkan kepada pindaan-pindaan yang telah dilakukan terhadap Kanun Tanah Negara (KTN) melalui Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2016 [Akta A1516] berhubung Kaedah-Kaedah Tanah Negeri Pulau Pinang 2005 atau lebih dikenali sebagai Penang Land Rules 2005 (PLR 2005), terdapat keperluan agar PLR ini dipinda atau digubal PLR yang baharu.

Pelaksanaan PLR 2021 ini adalah bagi mengemaskini pentadbiran tanah sedia ada di Pulau Pinang dan sebagai refleksi kepada perubahan semasa berdasarkan KTN dan pembangunan yang berlaku di Pulau Pinang.

Sehubungan dengan itu, satu draf PLR 2021 telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 6 Januari 2021 sebagai kesinambungan daripada PLR 2005 yang sedang berkuatkuasa pada masa ini. Penyediaan draf PLR 2021 ini adalah bagi menggantikan pemakaian PLR 2005 pada masa ini.

PLR 2021 mengandungi tiga (3) komponen atau bahagian utama yang membentuk keseluruhan PLR ini iaitu bahagian kaedah-kaedah, Schedule I yang mengandungi borang-borang dan Schedule II yang mengandungi fi dan bayaran permohonan.

Sebanyak 38 kaedah telah dikenalpasti berbanding hanya 24 kaedah sahaja dalam PLR 2005. Manakala Schedule I mengandungi sebanyak 37 borang berbanding 33 borang dalam PLR 2005. Schedule II turut mengandungi beberapa bayaran baru, namun kebanyakannya masih mengekalkan kadar bayaran sepertimana PLR 2005, malah dalam beberapa peruntukan terdapat kadar bayaran yang direndahkan.

Walau bagaimanapun, pada masa ini PLR 2021 masih belum diwartakan dan akan diwartakan dalam tempoh terdekat setelah penyelesaian beberapa urusan editorial dan perkeranian. Penguatkuasaan pula adalah pada satu tarikh yang akan dimaklumkan dalam warta kelak setelah sesi libat urus dengan semua pihak yang bertanggungjawab.

Berkaitan tempoh pajakan tanah-tanah industri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri berpendapat adalah perlu untuk satu mekanisme atau garis panduan/polisi baru yang lebih tulus diwujudkan sebagai faktor kawalan untuk menambahbaik sektor perindustrian ke tahap yang lebih tinggi.

Buat masa ini, semua permohonan yang diluluskan akan dilanjutkan kepada 60 tahun. Tiada sebarang garis panduan atau kawalan (kecuali aktiviti syarikat) terhadap semua permohonan lanjutan menyebabkan para pelabur tidak mempunyai maklumat yang jelas berhubung perkara ini.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah meminta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku agensi bertanggungjawab untuk merancang, mengawal dan memantau pembangunan kilang di kawasan perindustrian untuk mengkaji kaedah penetapan premium yang lebih telus dengan kadar insentif (diskaun) yang boleh diberikan ke atas tanah-tanah industri dengan pajakan selama 60 tahun dan akan tamat pajakan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi.

Meskipun masih di peringkat perbincangan, Kerajaan Negeri berharap akan ada satu resolusi dan formulasi baharu yang akan dimuktamadkan bagi menyelesaikan perkara-perkara berbangkit berkaitan permohonan lanjutan tempoh pajakan ini.

EKONOMI

 

Dalam mendepani pasca COVID-19, kita bukan sahaja berhadapan dengan krisis kesihatan awam yang masih belum mampu diputuskan rantaiannya, tetapi turut berhadapan dengan krisis ekonomi yang lebih mencabar.

Sebagai sebuah negeri yang pesat membangunan dengan kapasiti penduduk yang berdensiti tinggi, Kerajaan Negeri komited untuk memenuhi setiap keperluan rakyat bagi menjamin kelangsungan hidup terutamanya bagi golongan yang terkesan secara langsung.

Atas sebab itulah, melalui kelima-lima Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM174.52 juta, sumbangan wang ringgit diberikan keutamaan kepada golongan terkesan, ke pasaran dan ke industri tersasar. 

Antara inisiatif yang dibelanjakan adalah pemberian geran pensijilan halal kepada usahawan mikro, Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM1,000 secara one-off kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Bantuan Khas Kewangan (BKK) secara one-off kepada pengusaha kegiatan sukan dan aktiviti kecergasan, Bantuan Khas Kewangan (BKK) secara one-off kepada pengendali perkhidmatan spa bergerak serta lain-lain inisiatif yang diharap dapat membantu memperkukuh ekonomi Negeri Pulau Pinang dengan mengupayakan golongan pekerja untuk berdiri semula, meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan Negeri melalui produktiviti.

Jawatankuasa Kerja Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) juga diberi tanggungjawab untuk merangka strategi-strategi jangka masa pendek dan sederhana bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing dan tempatan serta menentukan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan demi kesejahteraan rakyat terutamanya yang memberi penekanan terhadap impak untuk mengurangkan kesan pandemik COVID-19. Dan seterusnya, mampu mendapatkan semula momentum bagi pemulihan dan kestabilan ekonomi dalam kadar segera.

Hal ini juga dilihat bersesuaian dengan penyusunan dan penjenamaan semula portfolio Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dianggap sebagai keperluan yang selari dengan penumpuan dan penekanan Kerajaan Negeri terhadap pemulihan serta peningkatan ekonomi pasca COVID-19.

Tindakan ini turut membuktikan bahawa Kerajaan Negeri memahami keperluan bagi meningkatkan kemampuan Negeri untuk bertindak sesuai dengan keadaan normal baharu khususnya dalam sektor ekonomi dan Revolusi Industri 4.0.

Dalam mengharungi tempoh pemulihan yang amat mencabar ini, penglibatan rakyat Negeri Pulau Pinang dalam merealisasikan Visi Penang2030 adalah amat kritikal kerana ianya bukan sahaja hanya boleh dijayakan oleh Kerajaan Negeri sebaliknya memerlukan penglibatan semua warga Negeri secara menyeluruh.

Bukan sahaja memberi penekanan terhadap pembangunan institusi kekeluargaan, turut dititikberatkan adalah aspek hijau dan pintar sebagai hala tuju dalam pentadbiran Kerajaan Negeri menjelang tahun 2030. Selari dengan fasa pasca pandemik COVID-19 ini, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan membuat penyesuaian dan penambahbaikan secara khusus pada setiap inisiatif strategik dan sasaran sedia ada supaya lebih relevan dan bersasar.

Antara usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan mesej atau matlamat dalam Visi Penang2030 sampai ke akar umbi adalah dengan memberi pendedahan dan publisiti secara meluas di seluruh Negeri Pulau Pinang.

Pembangunan Sistem Dashboard antaranya bertujuan untuk memantau pelaksanaan projek-projek di bawah Kerajaan Negeri supaya selari dan tidak tersasar dari garisan Visi Penang2030. Kerajaan Negeri juga dalam usaha untuk membuka capaian ini kepada umum supaya rakyat boleh mengakses terus dan memantau pelaksanaan projek melalui portal yang disediakan sekaligus membuktikan komitmen kita untuk memastikan visi ini berjaya direalisasikan.

Di samping itu, Pulau Pinang terus menjadi destinasi pilihan pelabur sekaligus menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri masih berkeupayaan menyokong keperluan industri dalam jangka masa panjang. Walaupun masih dalam ketidaktentuan ekonomi global, Pulau Pinang berjaya meraih sebanyak RM14.1 bilion pelaburan dari sektor pembuatan yang diluluskan pada tahun 2020, kedua tertinggi dalam sejarah dengan 75% disumbangkan oleh FDI.

Kerajaan Negeri bersyukur kita masih mampu mencapai prestasi pelaburan yang memberangsangkan meskipun berdepan cabaran yang cukup getir sepanjang tahun 2020. Sesungguhnya pencapaian pelaburan ini mencerminkan keyakinan kepada para pelabur untuk terus menjadikan sebagai destinasi pelaburan yang mampan.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi Negeri Pulau Pinang telah bermula pada 28 Februari yang lalu dan saya adalah individu pertama diberikan suntikan dos vaksin COVID-19. Justeru, program ini bakal dilaksanakan dalam tempoh satu (1) tahun merangkumi tiga (3) fasa yang menyasarkan 70 peratus penerima suntikan iaitu 1.3 juta rakyat Negeri Pulau Pinang bagi membolehkan imuniti kelompok dibentuk. Sebanyak 15 fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dikenalpasti membabitkan tiga (3) dewan bagi setiap daerah di Negeri ini. Saya menyeru kepada seluruh rakyat Pulau Pinang untuk memberikan sokongan penuh terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini.

Selain itu, pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’ amat penting, keseluruhan jentera Kerajaan termasuk rakyat perlu memainkan peranan terutamanya dari aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), melaksanakan arahan PKP serta menyesuaikan diri dengan kawalan yang ditetapkan. Pada hakikatnya, ia adalah suatu usaha ke arah keseimbangan kehidupan iaitu keselamatan nyawa dan kelangsungan ekonomi rakyat.

KOMUNIKASI

Bagi MMK Komunikasi, pandemik COVID-19 turut memberi cabaran dan pengalaman baru dalam usaha menyalurkan sebaik serta selengkap mungkin maklumat yang diperlukan oleh masyarakat umum. Berlandaskan keperluan berkaitan, kita telah melancarkan kempen komunikasi Penang Lawan COVID-19 memfokuskan bukan hanya dengan turun padang secara bersemuka dan pemasangan papan-papan iklan berpandukan mesej komuniti di seluruh negeri ini, malah turut menekankan penggunaan platform-platform media sosial seperti penerbitan video, sidang media yang bersiaran langsung, info grafik dan lain-lain.

Usaha berkaitan masih berterusan sehingga kini dan turut diketengahkan adalah liputan meluas berhubung penganjuran program-program oleh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak dalam usaha bersepadu secara bersama ke arah memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negeri ini yang diterbitkan di laman sosial serta naskah penerbitan Buletin Mutiara.

Realitinya, walaupun banyak program tidak dapat diadakan secara fizikal, MMK Komunikasi dalam tempoh masa ini banyak mempelopori teknologi pendigitalan bagi memantapkan usaha penyaluran maklumat terkini secara lebih berkesan demi keperluan serta makluman seluruh rakyat negeri ini. Kerjasama daripada semua pihak tanpa mengira latar belakang lazimnya telah banyak melancarkan gerak kerja dalam kita bersama-sama memenangi pertempuran ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru kepada semua pihak sama ada barisan Yang Berhormat ADUN, pegawai-pegawai kerajaan dan masyarakat untuk bersama-sama menjayakan setiap program Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian COVID-19 agar kita dapat kembali semula kepada kehidupan asal kita sebelum ini dan memfokuskan segala usaha untuk memulihkan ekonomi.

Sentiasalah mematuhi SOP yang ditetapkan kerana setiap individu memiliki peranan masing-masing. Saya dan barisan EXCO Kerajaan Negeri akan terus komited dan bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat dalam menempuhi cabaran pandemik COVID-19 ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang