PENUTUPAN SESI DIALOG AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (EXCO) BERSAMA AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI (ADUN) PULAU PINANG 2021

UCAPAN PENUTUP OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA SESI DIALOG AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (EXCO) BERSAMA AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI (ADUN) PULAU PINANG 2021

30 MAC 2021

HOTEL ST. GILES WEMBLEY, PENANG

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Ketua Pembangkang Pulau Pinang,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, Barisan Ahli EXCO Kerajaan Negeri, tuan-tuan dan puan-puan yang telah menjayakan Sesi Dialog Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang 2021 selama dua (2) hari ini.

Sesungguhnya Sesi Libat Urus yang telah kita hadiri ini sedikit sebanyak telah memperlihat perkembangan serta pelaksanaan dasar, projek dan program di bawah portfolio YB Ahli EXCO sebagai usaha untuk meneruskan kesinambungan sistem semak dan imbang (check and balance) pentadbiran Kerajaan berikutan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dan penggantungan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga suatu masa yang diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Berpandukan kepada pandangan Jabatan Peguam Negara yang diberikan kepada YB Penasihat Undang-Undang Negeri, untuk membolehkan DUN bersidang semasa tempoh darurat, seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat jelas memperuntukkan bahawa DUN boleh dipanggil untuk bersidang walaupun Parlimen tidak bersidang, dengan melalui syor yang dikemukakan oleh Yang diPertua Negeri, atas nasihat MMK, kepada Yang diPertuan Agong.

Melalui proses perundingan antara Yang diPertua Negeri dan Yang diPertuan Agong, di mana syor itu tidak mengikat Yang diPertuan Agong, Yang diPertuan Agong bolehlah membuat apa-apa pertimbangan yang sewajarnya di bawah seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat tersebut.

Oleh kerana, kuasa-kuasa ini akan diguna pakai menurut Ordinan Darurat yang berhubungan dengan penularan wabak COVID-19, cadangan untuk penetapan tarikh memanggil sidang DUN tersebut sewajarnya dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya.

Untuk tujuan tersebut juga, kita akan menghantar surat rasmi kepada MKN bagi memohon kebenaran untuk membolehkan Sidang DUN dijalankan.

Baru-baru ini genap setahun Negara mengharungi cabaran mendepani wabak COVID-19. Di samping melaksanakan kempen pembudayaan norma baharu dalam kalangan masyarakat serta usaha-usaha lain untuk memperkasa ekonomi, Kerajaan Negeri turut bersedia dan telah menggerakkan keseluruhan jentera bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bertujuan untuk memastikan sebanyak mungkin penduduk menerima vaksin ini dengan lancar, selamat, teratur dan berkesan dalam usaha membendung serta menamatkan pandemik COVID-19.

Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Menurut kemaskini Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga 29 Mac 2021, jumlah pendaftaran vaksinasi di Aplikasi MySejahtera bagi Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 515,886 orang dengan kadar perkembangan pendaftaran 37.2 peratus. Di kesempatan ini, saya menyeru seluruh warga Pulau Pinang untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin kerana jumlah pendaftaran yang dicatatkan masih rendah berbanding populasi 1.8 juta penduduk di Negeri ini.

Sebagai makluman bersama, pendaftaran untuk vaksinasi boleh dilakukan melalui lima (5) kaedah utama iaitu; menerusi Aplikasi MySejahtera, menerusi laman sesawang: www.vaksincovid.gov.my, melalui talian hotline: 1800-888-828, pendaftaran di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta serta program bantuan (outreach) bagi kawasan luar bandar dan pedalaman. Diharap selepas usaha ini selesai, ekonomi terutamanya di Negeri kita akan kembali pulih dan kehidupan rakyat keseluruhannya akan menjadi lebih baik walaupun kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan wabak ini secara berulang.

Saya memahami kesukaran dan kesulitan yang dihadapi rakyat untuk membina semula dan meneruskan kehidupan. Saban hari Kerajaan optimis memastikan ikhtiar bantuan dapat disampaikan terus ke golongan sasaran. Bukan sahaja hanya tertumpu kepada golongan B40, golongan kelas menengah juga tidak dipinggirkan. Hal ini termasuk lapisan bujang, berkeluarga, para pelajar, mahasiswa dan seluruh petugas barisan hadapan.

Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Selain itu, saya juga ingin mengingatkan seluruh masyarakat supaya kekal mematuhi SOP tertentu yang ditetapkan demi menjaga diri kita dari dijangkiti COVID-19. Pesanan saya, jangan putus asa dan teruskan berjuang, saya yakin keadaan ini hanya sementara, kita mesti menang. Ucapan tahniah dan terima kasih kepada wira barisan hadapan di atas pengorbanan tanpa mengenal penat dan lelah saban hari mengorbankan masa dan keringat demi memastikan kesejahteraan masyarakat dalam usaha menghentikan penularan wabak ini.

Akhir sekali, dalam tempoh pasca pandemik COVID-19 ini, untuk Ahli-ahli Yang Berhormat, wakil rakyat yang telah diberi mandat, kita haruslah terus komited dan berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik dan terus mencari inisiatif bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang