MAJLIS PERASMIAN PUSAT KOMUNITI PARLIMEN BUKIT GELUGOR DAN KADUN AIR ITAM
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
PADA MAJLIS PERASMIAN PUSAT KOMUNITI
PARLIMEN BUKIT GELUGOR DAN KADUN AIR ITAM
02.04.2021
____________________________________________________
YB Ramkarpal Singh
Ahli Parlimen Bukit Gelugor
YB Joseph Ng Soon Siang
ADUN Air Itam
Ahli Majlis- Ahli Majlis MBPP
YB Lim Hui Ying
Senator
Mr Ronald Koh
Ketua Eksekutif Hospital Adventist
Ms Jenny Ooi
Pengurus Kebajikan Hospital Adventist
ASP Encik Fazly Abdullah
Ketua Balai Polis Air Itam
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas kolaborasi semua dalam memastikan Majlis Perasmian Pusat Komuniti Parlimen Bukit Gelugor dan Kadun Air Itam pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.
Pada minggu yang lalu, saya telah merasmikan Pejabat Operasi CDERT di Farlim, dan hari ini saya hadir ke sini bagi menyatakan sokongan atas penubuhan satu lagi Pusat Komuniti di kawasan ini.
Sememangnya, usaha untuk membangunkan sebuah Pusat Komuniti sebegini pastinya memerlukan usaha, dedikasi dan komitmen jitu dan menyeluruh, justeru setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat.
Para Hadirin Sekalian,
Pusat Komuniti mempunyai peranannya yang tersendiri dalam memangkin kebudayaan baru sebagai nilai tambah kepada sistem sedia ada. Ia bukan sekadar mengenai penganjuran program semata, tetapi intipatinya harus dilihat secara menyeluruh agar Pusat Komuniti ini benar-benar boleh mentakrif dan menginterprestasi konteks demi manfaat komuniti sejagat.
Melalui pegawai-pegawai yang berwibawa yang telah dilantik bagi menjadi ’integrator’ atau penyambung budaya kepada komuniti, diharap objektif utama penubuhan Pusat Komuniti ini dapat dicapai sekaligus menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara komuniti.
Saya amat berbangga dengan sumbangan wakil-wakil kadun dan berharap lebih banyak Pusat Komuniti dapat didirikan di Pulau Pinang, sekaligus memperkayakan kehidupan komuniti setempat dan menggalakkan pertumbuhan lestari di kalangan rakyat Pulau Pinang.
Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung, yang telah berusaha keras menggembleng tenaga untuk menjayakan pusat komuniti ini.
Semoga program pertama di Pusat Komuniti ini iaitu pemberian Vaksin Influenza secara percuma dengan kerjasama Hospital Adventist akan berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada semua.
Sekian terima kasih.