MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI IBU 2021 ANJURAN WANITA LIGA MUSLIM PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI IBU 2021 ANJURAN WANITA LIGA MUSLIM PULAU PINANG
11 APRIL 2021
AUDITORIUM A, TINGKAT 5, KOMTAR
Yang Berbahagia Dato’ Haji Haja Najmudeen Kader
Presiden Liga Muslim Pulau Pinang
Yang Berbahagia Puan Julaiha Begum binti Md. Sultan
Ketua Wanita Liga Muslim Pulau Pinang
Yang Diraikan Wanita/Ibu Mithali
Rakan- rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas kesudian menjemput saya bagi memeriahkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu 2021 Anjuran Wanita Liga Muslim Pulau Pinang pada malam yang berbahagia ini.
Kehadiran ini amat bermakna dalam kita meraikan para ibu seluruh negara sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik dan membimbing anak-anak dan keluarga.
Dengan bertemakan “Ibuku Syurgaku”, ini merupakan tahun ke-7 Sambutan Hari Ibu anjuran Wanita Liga Muslim ini diadakan dan memandangkan Hari Ibu yang lazim disambut pada minggu kedua bulan Mei jatuh pada bulan puasa, jadi sambutan pada tahun ini diadakan lebih awal bagi menghormati Bulan Ramadan yang mulia.
Tahniah dan syabas kepada para ibu/wanita yang telah terpilih untuk menerima Anugerah Ibu Mithali dan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500, plak anugerah dan sijil penghargaan sebentar nanti. Turut akan menerima penghargaan adalah 2 orang entrepreneur yang telah terpilih untuk menerima plak anugerah dan sijil penghargaan atas kejayaan dalam bidang perniagaan masing-masing.
Semoga dengan pengiktirafan ini akan memberi motivasi dan suntikan semangat serta cetusan inspirasi kepada lebih banyak kejayaan pada masa-masa akan datang.
Kerajaan Negeri ingin memuji kesungguhan dan komitmen seluruh jentera dan jawatankuasa Liga Muslim Pulau Pinang yang tidak pernah gagal untuk untuk melaksanakan misi dan visi dalam menjaga kebajikan dan memperkasakan komuniti India Muslim di negeri ini, sejak penubuhannya 67 tahun yang lalu.
Sesungguhnya, penganjuran program sedemikian bukan sahaja menepati aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, malah turut menjadi platform untuk menyemarakkan lagi hubungan kekeluargaan sedia ada di samping membuka peluang kepada kita semua tentang pengorbanan dan kejayaan seorang ibu – individu hebat di sebalik kejayaan seorang suami/sebuah keluarga!
Tahniah dan syabas kepada semua.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan kasih kepada Wanita Liga Muslim sebagai tenaga penggerak dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), komitmen dan kerja berterusan ini adalah sangat diperlukan dalam mengekalkan momentum dan mempromosikan nilai sosial dan matlamat sivik dalam melahirkan masyarakat yang penuh dengan kasih dan sayang.
Sekian, terima kasih.