PROGRAM PENGEDARAN PELITUP MUKA KEPADA JABATAN-JABATAN DI UTC PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA PROGRAM PENGEDARAN PELITUP MUKA KEPADA JABATAN-JABATAN DI UTC PULAU PINANG

 

6 APRIL 2021

 

YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Encik Ong Kok Hua

Pengerusi Penang Gee Tuck Clans Association

Yang Berbahagia Ketua-ketua Jabatan & Agensi UTC, KOMTAR

Ahli-ahli Jawatankuasa Penang Gee Tuck Clans Association

Rakan-rakan Media


Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan sempena Program Pengedaran Pelitup Muka (Face Masks) kepada Jabatan & Agensi di UTC, KOMTAR pada petang yang berbahagia ini.

Sejak pandemik COVID-19 melanda, Kerajaan Negeri menerima pelbagai bentuk sumbangan termasuk pelitup muka dan cecair pembasmi kuman daripada pelbagai latar belakang badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan, yang kemudiannya diagihkan secara percuma kepada para petugas barisan hadapan dan rakyat di negeri ini.

Dan hari ini saya gembira untuk hadir bagi menyatakan sokongan kepada semua pihak yang sentiasa bersama Kerajaan Negeri dalam menjalankan inisiatif tanggungjawab korporat mereka, termasuklah Pertubuhan Keturunan Gee Tuck Pulau Pinang (Penang Gee Tuck Clans Association) yang akan memberikan sumbangan pelitup muka kepada para petugas barisan hadapan di kaunter jabatan dan agensi di UTC, KOMTAR.

Sebanyak 120 kotak pelitup muka 3 lapisan gred perubatan akan diagihkan kepada 12 agensi dan jabatan UTC, KOMTAR. Senarai adalah seperti berikut:

1) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

2) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)

3) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

4) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

5) Klinik Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia)

6) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

7) Jabatan Penerangan Malaysia (PMR)

8) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

9) Polis Diraja Malaysia (PDRM)

10) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (JPA Malaysia)

11) MED, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi

12) Jobs Malaysia

Sesungguhnya Kerajaan Negeri amat menghargai keprihatinan dan sumbangan ini memandangkan para petugas kaunter pelbagai jabatan & agensi di UTC, KOMTAR merupakan antara petugas barisan hadapan yang turut terdedah kepada bahaya virus dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada Penang Gee Tuck Clans Association serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program prihatin ini.

Semoga dengan keprihatinan dan sumbangan ini dapat menarik lebih ramai para penyumbang yang bermurah hati untukmenghulurkan segala bentuk bantuan dan kelengkapan dalam bersama-sama memerangi virus COVID-19 yang masih belum berakhir ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang