MAJLIS PELANCARAN APLIKASI PENANG SMART PARKING (PSP) VERSI 2.0.3
TEKS UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN APLIKASI PENANG SMART PARKING (PSP) VERSI 2.0.3
3 APRIL 2021 (9.30 PAGI)
DEWAN BANDARAYA MBPP
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa
Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Yang Berbahagia Dato’ Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berbahagia Dato’ Ir. Addnan bin Mohd Razali
Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Yang Berbahagia Ir. Hajah Rosnani binti Haji Mahmod
Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Ahli-ahli Majlis, MBPP & MBSP
Ketua-ketua Jabatan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Bahagian Kerajaan Tempatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta jabatan dan agensi negeri yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pelancaran Aplikasi Penang Smart Parking (PSP) Versi 2.0.3 pada pagi yang berbahagia ini.
Selaras dengan inisiatif pintar yang terkandung dalam Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri telah melancarkan Sistem Tempat Letak Kereta Secara Pintar (Penang Smart Parking) pada 19 Ogos 2019 yang lalu bagi menggantikan sistem penggunaan kupon secara konvensional.
Menerusi Sistem PSP ini, ia bukan sahaja memudahkan penduduk tempatan malah turut menyenangkan para pengunjung dari luar Pulau Pinang kerana sistem ini telah dilengkapi dengan kombinasi teknologi sensor yang lengkap dengan sistem pandu arah carian petak parkir, bayaran tanpa tunai dengan transaksi mudah alih serta pemantauan dan analisis dalam talian secara menyeluruh.
Dengan kerjasama syarikat HeiTech Padu Berhad, sebanyak 12,000 tempat letak kereta telah digazetkan di kawasan MBPP manakala 24,000 petak letak kereta pula adalah di kawasan MBSP.
Hadirin yang dihormati sekalian,
STATUS TERKINI PENGGUNAAN PSP
Sehingga kini, PSP telah digunakan secara meluas oleh warga Pulau Pinang dengan jumlah muat turun setakat 29 Mac 2021 adalah sebanyak 579,484 kali dan aplikasi ini juga digunakan secara aktif oleh 232,473 pengguna.
Setakat 29 Mac 2021 juga, PSP telah merekodkan jumlah kutipan TLK yang amat memberangsangkan iaitu sebanyak RM16.4 juta bagi kedua-dua majlis dengan pecahan MBPP sebanyak RM12,056,693.25 dan MBSP sebanyak RM4,299,853.80.
Sukacita juga ingin saya maklumkan bahawa pemasangan 12,000 unit sensor di kawasan MBPP telah siap dilaksanakan pada 28 Februari 2021 yang lalu, manakala bagi kawasan MBSP pula, sebanyak 3,000 unit sensor telah siap dipasang dan baki 21,000 unit lagi akan dipasang secara berperingkat sehingga bulan September 2021.
Operasi menyelenggara sensor, papan tanda serta mengecat petak pudar juga turut dilaksanakan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh penyelenggaraan projek PSP.
NAIK TARAF APLIKASI PSP VERSI 2.0.3
Untuk makluman hadirin sekalian, naik taraf aplikasi PSP Versi 2.0.3 ini memuatkan ciri-ciri baharu iaitu fungsi navigasi ‘Cari Parkir’ yang akan memudahkan pengguna aplikasi untuk mencari TLK kosong di sekitar destinasi yang dituju.
Selain daripada bayaran secara atas talian, turut dibangunkan adalah pembayaran secara e-Kupon bagi membantu golongan yang tidak mempunyai telefon pintar. Setakat ini, sejumlah 422 ejen e-Kupon telah berdaftar dengan pecahan seramai 254 ejen di MBPP dan 168 ejen di MBSP.
Semoga dengan penaiktarafan dan penambahbaikan sistem pintar ini, ia dapat memberi manfaat, kemudahan dan mampu menyelesaikan perkara-perkara berbangkit dalam PSP.
Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) dan kedua-dua PBT Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta pihak syarikat HeiTech Padu Berhad (HTP) atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan konsep 4P - Public, Private, Professional Partnership.
Saya dengan ini merasmikan MAJLIS PELANCARAN APLIKASI PENANG SMART PARKING (PSP) VERSI 2.0.3.
Sekian, terima kasih.