MAJLIS PERASMIAN BAZAR RAMADAN 2021 KALI KE-17 ANJURAN LIGA MUSLIM PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BAZAR RAMADAN 2021 KALI KE-17 ANJURAN LIGA MUSLIM PULAU PINANG
13 APRIL 2021
Presiden Liga Muslim Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Shahul Hameed bin Syed Mohamed Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang
Presiden-Presiden Persatuan Gabungan dan Persatuan Muslim Pulau Pinang
Naib-Naib Presiden Liga Muslim Pulau Pinang
Setiausaha Kehormat merangkap Pengerusi Bersama Bazar Ramadan 2021
Yang Berbahagia Dato' Mejar Mohamed Abdul Latiff bin Abu Tahir
Pengerusi Bersama Bazar Ramadan 2021
Ketua Wanita, Liga Muslim Pulau Pinang
Ketua Pemuda, Liga Muslim Pulau Pinang
Ahli-ahli Jawatankuasa
Para Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Ramadan kepada semua.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Liga Muslim Pulau Pinang atas jemputan sempena Majlis Perasmian Bazar Ramadan Tahun 2021 pada petang yang berbahagia ini.
Sebagai penganjur utama, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang telah memberikan komitmen yang begitu tinggi dalam memastikan Bazar Ramadan pada tahun ini dapat diadakan dengan jayanya. Saya pasti para peniaga adalah kelompok yang paling gembira dengan peluang yang diberikan ini.
Tahun lepas akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penganjuran Bazar Ramadan secara fizikal di seluruh negeri dan negara dibatalkan sebagai usaha mengekang penularan virus ini.
Tahun ini kita bersyukur meskipun dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, Bazar Ramadan masih dapat dibuka, sekaligus dapat melepaskan kerinduan kita kepada kemeriahan Bazar Ramadan sebelum ini, malah turut memberikan sedikit harapan dan sinar kegembiraan kepada para peniaga untuk bangkit semula selepas terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik.
Ini merupakan penganjuran Bazar Ramadan tahun ke-17 dengan melibatkan penyertaan keseluruhan 25 gerai yang menjual pelbagai jenis makanan khususnya juadah berbuka puasa termasuk nasi kandar, nasi briyani, kuih-muih tradisional dan moden serta pelbagai aneka minuman yang menyegarkan.
Seperti yang kita semua sedia maklum, Bazar Ramadan di Little India, Lebuh Queen ini sangat unik dan mempunyai jenama dan tarikannya yang tersendiri. Sebagai antara kawasan tumpuan, penganjuran Bazar Ramadan ini adalah sangat dinanti-nantikan bukan sahaja kepada orang Islam, malah orang bukan Islam juga turut tidak sabar untuk mengambil peluang mengunjungi bazar-bazar Ramadan ini.
Walau bagaimana pun dalam kita bergembira, jangan kita lupa perang COVID-19 masih belum berakhir dan virus ini masih berada dalam komuniti kita. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama mengekang penularan wabak COVID-19.
Kerajaan Negeri amat berharap agar semua pihak sama ada penganjur, peniaga mahupun pembeli dapat memberikan kerjasama untuk mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memastikan kesihatan awam terus diberikan keutamaan.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Liga Muslim Pulau Pinang dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Bazar Ramadhan pada tahun ini.
Semoga usaha murni ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, demi kebaikan dan manfaat bersama.
Sekian, terima kasih.