MAJLIS PERASMIAN SINAR RAMADAN 2021 DAN MAJLIS BERBUKA PUASA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SINAR RAMADAN 2021 DAN MAJLIS BERBUKA PUASA

14 APRIL 2021

HOTEL JEN PENANG

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

 

YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Hussain

Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan merangkap Pengerusi Penang Halal International Sdn Bhd

YB Dr. Hajah Norlela Binti Ariffin

Exco Argroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

YB Dato’ Dr. Mohamad Farazi Bin Johari

Pegawai Kewangan Negeri

Cik Xing Min

Wakil Konsul Jeneral China

YB Teh Lai Heng

ADUN Komtar

Puan Aida Lim Abdullah

Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Halal International Sdn. Bhd.

Ketua-ketua Jabatan

Para Peserta Kempen Sinar Ramadan 2021

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Abdul Halim dan seluruh kakitangan Penang Halal International Sdn. Bhd. (PHI) atas penganjuran Majlis Perasmian Sinar Ramadan 2021 dan Majlis Berbuka Puasa pada petang yang berbahagia ini.

Sesungguhnya saya gembira untuk hadir pada hari ini bagi memberi galakan dan sokongan atas inisiatif yang digerakkan oleh Penang Halal International Sdn. Bhd. dengan kerjasama Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan dalam usaha untuk membantu para usahawan yang terjejas dalam meneruskan perniagaan masing-masing.

Seperti yang dimaklumkan, kempen Sinar Ramadan 2021 ini akan berlangsung dari 13 April 2021 hingga 31 Mei 2021 yang mana Penang Halal International Sdn. Bhd. (PHI) selaku anak syarikat entiti milik Kerajaan Negeri akan menjadi medium atau perantara untuk mempromosikan perniagaan masing-masing dengan menggunakan logo dan tema yang sama. Setakat ini, penyertaan adalah sangat menggalakkan daripada beberapa kompleks membeli-belah serta bazar dan bufet Ramadan di negeri ini.

Selain menggerakkan misi untuk meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial membantu para peniaga ini, objektif utama penganjuran kempen Sinar Ramadan 2021 adalah bertujuan untuk  mempromosikan sistem e-dagang bagi mempelbagaikan lagi kaedah pembelian dalam kalangan pengguna sekali gus dapat meningkatkan hasil jualan para usahawan sepanjang tempoh kempen ini berlangsung. Malah, pengguna juga boleh menggunakan platfrom Shopee atau Foodpanda untuk membuat pembelian bagi mengelakkan kesesakan di bazar Ramadan. Selain itu, bagi mengurangkan kontak fizikal antara pembeli dan usahawan, Maybank Islamic turut menyediakan aplikasi MAE QRpay iaitu membuat bayaran secara dalam talian.

Hadirin sekalian,

Sesungguhnya, pendekatan ini adalah sesuai dengan trend semasa yang menyaksikan kemajuan besar dalam e-dagang apabila perbelanjaan dalam talian (online) melonjak tinggi.

Di sebalik musibah pandemik COVID-19, sesi positif harus dilihat secara keseluruhannya. Pandemik COVID-19 telah mempercepatkan langkah dalam mewujudkan platform dalam talian. Kekangan operasi perniagaan fizikal akibat penularan COVID-19 telah menjadi titik permulaan kepada para peniaga dan usahawan untuk berinovasi dan melangkah ke arah platform e-dagang.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, pembelian barangan atau perkhidmatan melalui platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan Grab menunjukkan peningkatan yang tinggi iaitu masing-masing adalah 45 peratus pada tahun 2020 dan 35.2 peratus pada tahun 2019.

Manakala pembelian melalui telefon, Whatsapp dan Facebook juga turut meningkat pada tahun 2020 iaitu 54.4 peratus berbanding tahun 2019 iaitu 22.5 peratus. Ini membuktikan bahawa platform e-dagang digunakan secara maksima oleh pengguna pada tahun lepas akibat wabak COVID-19 ini untuk urusan jual beli. Oleh itu, para usahawan perlu bijak menggunakan sebaik mungkin platform e-dagang ini untuk menjual produk mereka bagi meningkatkan hasil jualan.

Saudara dan saudari sekalian,

Kalau kita semua masih ingat tahun lalu ketika bulan Ramadan suasana sambutan sangat suram. Bulan Ramadan yang lazimnya meriah terutama dengan penganjuran bazar dan bufet Ramadan buat pertama kalinya tidak dapat dianjurkan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Justeru, dengan kelonggaran yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan yang telah membenarkan bazar Ramadan beroperasi tahun ini, diharapkan dengan pelancaran secara rasmi kempen Sinar Ramadan 2021 pada hari ini, dapat menarik lebih ramai para usahawan dan peniaga untuk turut serta sekaligus membantu untuk bangkit dan merancakkan semula sektor ekonomi pasca COVID-19 ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kempen Sinar Ramadan 2021.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang