MAJLIS IFTAR RAMADAN DAN PENYAMPAIAN BANTUAN HARI RAYA AIDILFITRI 2021

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS IFTAR RAMADAN DAN PENYAMPAIAN BANTUAN HARI RAYA AIDILFITRI 2021

17 APR 2021

DEWAN BANGUNAN UMA, JALAN TRANSFER

YB Teh Lai Heng

ADUN Komtar

Yang Berbahagia Dato’ Haji Haja Najmudeen Kader

Presiden Liga Muslim Pulau Pinang

Encik Mohamed Azmin bin Seeni Mohamed

Penaung Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil

Encik Mohamed Asri bin Seeni Mohamed

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil

Encik Noor Mohamed bin SPK Mohd Abdullah

Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil

Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil atas kesudian menjemput saya bagi bersama-sama dalam Majlis Iftar Ramadan dan Penyampaian Bantuan Hari Raya Aidilfitri 2021 pada petang yang berbahagia ini.

Kita bersyukur pada tahun ini kita semua berkesempatan untuk berkumpul dalam majlis sebegini meskipun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu yang ketat bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Saya gembira dengan komitmen dan tanggungjawab yang dimainkan oleh anda semua sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa menjadikan kebajikan sosial masyarakat sebagai antara agenda utama dalam pertubuhan masing-masing.

Sesungguhnya, kekuatan dan idea di sebalik penubuhan sesebuah NGO ini adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan sosial rakyat secara keseluruhannya, di samping bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menjayakan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Meskipun Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil ini masih baru dan hanya ditubuhkan pada tahun 2017, namun ia sedikit pun tidak menjadi penghalang kepada jawatankuasa ini untuk terus bergerak aktif dalam mendekati rakyat dengan penganjuran pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.

Sepanjang tahun 2020 sehingga kini, hampir 500 orang daripada masyarakat setempat telah menerima bantuan kewangan dan barang keperluan asas, selain daripada pelbagai aktiviti dan program kebajikan yang dilaksanakan oleh ahli-ahli PKWLT yang tidak jemu menyumbang wang ringgit dan tenaga dalam membantu masyarakat setempat.

Tahniah dan syabas saya ucapkan.

Pada hari ini, saya difahamkan seramai lebih kurang 200 penerima asnaf telah dipilih dan diraikan dalam majlis yang ringkas tapi cukup bermakna ini. Semoga dengan bantuan ini dapat mengukir senyuman kegembiraan dan memberi sinar harapan terutama ketika menyambut Bulan Ramadan yang mulia dan persiapan Aidilfitri yang bakal menjelma.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada jawatankuasa pengelola yang telah menjayakan majlis pada hari ini. Semoga gerak kerja amal dan semangat kerjasama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang