MAJLIS TAHLIL & BERBUKA PUASA ANJURAN  YOUNG MUSLIM SPORTS CLUB (YMSC)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS TAHLIL & BERBUKA PUASA
ANJURAN  YOUNG MUSLIM SPORTS CLUB (YMSC)

18 APRIL 2021
BANGUNAN PERSATUAN

MUSLIM JEWELLERS & MONEY CHANGER

Tuan Haji Munower Sadiq bin Haji M.K.E. Kader Sultan
Presiden YMSC

Presiden-Presiden Persatuan

Rakan-rakan media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Salam Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Young Muslim & Sports Club (YMSC) atas jemputan sempena Majlis Tahlil & Berbuka Puasa pada petang yang berbahagia ini.

Mengambil kira semangat bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan sangat dinantikan, Kerajaan Negeri memuji inisiatif yang diambil oleh YMSC yang turut tidak melepaskan peluang untuk menganjurkan program sedemikian sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat badan ini untuk membantu mereka yang memerlukan.

Meskipun suasana sambutan sudah berbeza berikutan penularan wabak COVID-19 dengan pelaksanaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan amalan normal baharu yang perlu dilalui, namun kebajikan sosial dan masyarakat tetap menjadi keutamaan.

YMSC telah bergerak secara aktif dengan menganjurkan pelbagai program bersifat keagamaan, sosial, sukan dan pendidikan termasuk penyampaian sumbangan Ehya’ Ramadan dari rumah ke rumah kepada hampir 300 buah rumah sejak tahun 2002, penganjuran program motivasi kepada pelajar yang menghadapi peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM, kelas KAFA untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta pelbagai program sukan dan karnival.

Tahniah dan syabas kepada anda semua.

Sesungguhnya dalam merealisasikan Visi Penang2030, penglibatan dan penyertaan aktif daripada anda semua yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat sememangnya sangat diharapkan demi memenuhi keperluan sosial masyarakat. Kita amat bersyukur kerana berpeluang untuk bersama-sama merasai nikmat kehidupan yang aman dan tenteram dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.

Kita mungkin berbeza pendapat namun perbezaan yang kita kecapi ini tidak sewajarnya menjadi sebagai satu titik tolak kepada perpecahan dan rasa tidak percaya kepada satu sama lain, sebaliknya diangkat sebagai satu usaha untuk lebih mengukuhkan perpaduan dan juga sebagai pelengkap antara satu sama lain.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada YMSC atas penganjuran program Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa dan diharapkan agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang