MAJLIS PERMULAAN KERJA PROJEK PEMBINAAN PUSAT PENDIDIKAN AL-ITQAN

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERMULAAN KERJA PROJEK PEMBINAAN

PUSAT PENDIDIKAN AL-ITQAN

24 APRIL 2021

TAPAK PUSAT PENDIDIKAN AL-ITQAN,

JALAN KAMPUNG MASJID, TELUK KUMBAR

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Dato’ Mohd Rashid bin Hasnon

Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat

YB Azrul Mahathir bin Aziz

ADUN Bayan Lepas

Yang Berbahagia Tuan Mohd Zakuan bin Haji Zakaria

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEIPP)

Yang Berbahagia Tuan Abdul Rashid bin Abdul Samad

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP)

Yang Berbahagia Datuk Ooi Kee Liang

Pengarah Kumpulan IDEAL Property

Yang Berbahagia Dato’ Shamsuriah binti Sulaiman

Waris Pemegang Wakaf Tanah Tapak Sekolah Rendah Al-Itqan

Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Abdul Aziz

Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Pusat Pendidikan Al-Itqan

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jemaah Pengurusan Sekolah atas komitmen yang telah diberikan dalam memastikan Majlis Permulaan Kerja Projek Pembinaan Pusat Pendidikan Al-Itqan (AL-ITQAN) dapat disempurnakan dengan jayanya.

Saya pasti pihak Jemaah Pengurusan Sekolah paling gembira dan lega dengan perkembangan semasa ini berikutan penangguhan projek ini sejak beberapa tahun yang lepas.

Justeru, melalui beberapa siri rundingan bersama Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkuasa yang lain, akhirnya kita telah berjaya mencapai satu titik penyelesaian dan membawa kepada kejayaan pada hari ini.

Sebagai sebuah kerajaan yang sememangnya mementingkan aspek pendidikan dalam melahirkan modal insan kelas yang pertama, isu ini sememangnya sentiasa dekat dan menjadi perhatian serta memperolehi pertimbangan yang sewajarnya dari Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan dalam memastikan segala bentuk kemudahan ini dapat disediakan bagi membolehkan akses pendidikan terutamanya dapat dicapai sama rata tanpa mengira bangsa dan agama, selaras dengan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sebagaimana yang semua sedia maklum, projek di atas tanah wakaf seluas 3 ekar ini akan dibangunkan oleh IDEAL Property dengan kos pembinaan sebanyak RM15 juta bagi memenuhi syarat pembangunan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Sebanyak 4 blok bangunan merangkumi 51 bilik darjah yang kondusif dan 4 buah makmal sains ini dijangka siap pada tahun 2023.

Saya juga dimaklumkan bahawa Pusat Pendidikan Al-Itqan yang dibina ini kelak bakal menyediakan bukan sekadar bilik darjah yang kondusif untuk pembelajaran semata-mata, tetapi turut akan menyediakan pusat untuk kemudahan komuniti setempat seperti dewan badminton, tapak sewaan untuk majlis dan pelbagai lagi.

Sebagai salah satu rangkaian terbesar pendidikan yang mengurus dan mengelola empat (4) buah institusi pendidikan swasta di Pulau Pinang sejak 23 tahun yang lepas dari peringkat taska hingga ke peringkat menengah, AL-ITQAN mempunyai peranan yang cukup besar dalam memastikan sistem pendidikan tidak hanya terhad dalam kelas semata-mata dengan pengajian aliran agama tetapi arus aliran perdana di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta nilai tambah seperti kemahiran interpersonal, kemahiran manusia dan pembangunan kendiri sentiasa dijadikan penerapan sepanjang proses pendidikan dan pembelajaran.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menyeru sekali lagi kepada  semua pihak yang terlibat agar memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut garis dan tempoh masa yang ditetapkan tanpa ada sebarang penangguhan lagi kerana kita semua sedia maklum dengan permintaan dan tuntutan masyarakat pada sekolah agama ini adalah sangat menggalakkan.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran majlis pada hari ini.  Diharapkan dengan siapnya bangunan tambahan ini bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada para pelajar, guru dan kakitangan AL-ITQAN, malah akan dapat membantu Jemaah Pengurusan Sekolah dalam merangka dan merancang strategi untuk meningkatkan prestasi pendidikan di samping memberi nilai tambah kepada masyarakat Islam di negeri ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang