MAJLIS PERASMIAN PAUN PERTUBUHAN PEMULIHARAAN ANJING TERBIAR (MERCY)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PAUN PERTUBUHAN PEMULIHARAAN ANJING TERBIAR (MERCY)
24 APRIL 2021 (SABTU)
PAUN PERTUBUHAN PEMULIHARAAN ANJING TERBIAR (MERCY) PERAI
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Pertubuhan Pemuliharaan Anjing Terbiar (MERCY) atas kolaborasi yang baik ini dalam memastikan Majlis Perasmian Paun Pertubuhan Pemuliharaan Anjing Terbiar pada petang ini dapat diadakan dengan jayanya.
Menurut statistik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), anggaran sebanyak 200 juta anjing liar wujud di seluruh dunia dan angka itu meningkat saban tahun terutama dalam negara membangun termasuklah Malaysia.
Justeru, bertitik tolak dari itu, Kerajaan Negeri pada 11 November 2020 telah meluluskan peruntukan bagi membina Pusat Jagaan Anjing Terbiar ini dengan kos pembinaan adalah sebanyak RM180,000.00. Kerja-kerja pembinaan telah pun siap sepenuhnya pada 31 Mac 2021 dan sebanyak 200 ekor anjing dijangka dapat dimuatkan dalam satu-satu masa.
Melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga, Pelan Tindakan Program Sifar Anjing Liar dan Terbiar telah diluluskan sejak tahun 2015 yang mana salah satu tindakan di bawah pelan tersebut adalah mewujudkan Animal Santuary dan Feeding Kennels.
Animal Sanctuary dan Feeding Kennel atau paun ini adalah sebagai usaha untuk mengendalikan kawalan populasi anjing liar dan terbiar. Ini secara langsung dapat mengurangkan pertambahan anjing liar di tempat awam dan mengurangkan risiko jangkitan penyakit bawaan anjing liar seperti rabbies atau penyakit anjing gila.
Paun Anjing ini menjadi langkah penyelesaian jangka pendek kerana saya dimaklumkan aduan berkaitan gangguan haiwan liar/ merayau merupakan kategori aduan tertinggi yang diterima oleh MBSP. Sehingga bulan Mac, sebanyak 547 ekor anjing liar telah ditangkap dan ditempatkan sementara di paun-paun anjing yang terdapat di Seberang Perai.
Saya percaya pelbagai lagi usaha dan langkah awal telah diambil oleh MBSP dalam menangani isu ini termasuk Program Pemandulan dengan kerjasama MBSP dengan Klinik Veterinary swasta, program Trap, Neuter & Release and Manage (TNR- M) dan pelbagai lagi program kesedaran.
Tahniah dan syabas kepada MBSP dan semua yang terlibat atas usaha dan kerjasama yang berterusan ini.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya menyeru kepada semua rakyat Pulau Pinang yang mempunyai haiwan peliharaan supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan supaya haiwan-haiwan ini dapat dijaga dan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
Sekiranya berkemampuan, boleh juga mengambil anjing-anjing yang ada di paun-paun yang terdapat di seluruh negeri Pulau Pinang melalui Pet Adoption Program, sekaligus membantu mengurangkan populasi anjing terbiar di negeri ini.
Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacita merasmikan Paun MERCY.
Sekian, terima kasih.