MAJLIS PELANCARAN PELAN INDUK PELANCONGAN PULAU PINANG

UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PELAN INDUK PELANCONGAN PULAU PINANG

3 MEI 2021

HOTEL ST GILES

YB. Yeoh Soon Hin

EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE)

YB. Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain

EXCO Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan

YB. Dr. Hajah Norlela binti Ariffin

EXCO Argoteknologi & Keselamatan Makanan,

Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

YB- YB ADUN dan Parlimen

Dato’ Yew Tung Seang

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Jonathan Freddy

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Pulau Pinang

Wakil-wakil Jabatan, Agensi Kerajaan dan Industri Pelancongan

Rakan-rakan Media


Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan sempena Majlis Pelancaran Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (PIPPP) pada petang yang berbahagia ini.

Pandemik COVID-19 yang melanda telah meninggalkan suatu bentuk ketidakpastian yang cukup mendalam kepada kita semua. Situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini memaksa dunia berada dalam keadaan ‘terkunci’ dengan banyak perkara dilakukan dengan keadaan normal baharu.

Sebagaimana pemacu industri yang lain, industi pelancongan antara sektor yang terjejas teruk akibat situasi getir ini. Pihak World Tourism Organization (UNWTO) telah menggangarkan negara-negara di kawasan Asia-Pasifik secara puratanya kehilangan 84 peratus dari segi kedatangan pelancong dan Malaysia sendiri melaporkan penurunan 83.4 peratus dari segi ketibaan pelancong antarabangsa pada tahun 2020.

Di Pulau Pinang, industri pelancongan merupakan antara sektor penting dan menjadi penyumbang sebanyak 49 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar. Justeru, adalah perlu untuk kita merangka suatu gerak kerja yang baharu bagi mentransformasikan industri ini secara pantas dan mapan sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa.

Bersesuaian dengan situasi ini, pelancaran PIPPP ini dilihat sangat tepat pada masanya, sekaligus menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang menghasilkan satu pelan induk ataupun ‘Blue Print’ yang akan memacu pembangunan pelancongan negeri ini, secara lebih tersusun dan sistematik.

Pelan Induk ini bukan sahaja mengandungi konsep dan teras-teras spesifik yang boleh digunakan sebagai panduan, tetapi ia turut mengandungi inisiatif-inisiatif terperinci yang praktikal yang boleh dilaksanakan mengikut keutamaan dan keperluan.

Sesungguhnya, pelan ini adalah suatu rancangan yang proaktif dan optimistik yang mampu memulihkan sektor pelancongan di negeri ini.  

Pelan Induk ini diselaraskan dengan rangka masa Visi Penang2030 dan saya turut berharap sektor-sektor ekonomi lain turut mempunyai pelan sepertimana pelan ini. Saya berharap agar segala program, projek dan inisiatif yang telah dikenal pasti dan dirancang dalam Pelan ini akan diterima pakai dengan sebaiknya oleh semua pemegang taruh, khususnya jabatan dan agensi kerajaan, bagi memastikan semua rancangan kita dapat dilaksanakan dengan jayanya.  

Saya juga yakin dengan inisiatif-inisiatif yang unik, Pelan ini akan juga dijadikan rujukan utama pihak Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelaburan dari luar negara untuk melabur dalam sektor pelancongan.  Malah, saya juga yakin bahawa PIPPP akan memacu pertumbuhan sektor pelancongan secara lebih lestari pada masa akan datang.

Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menangani kesan COVID-19 ke atas pemain-pemain industri.  Pelbagai insentif dan bantuan telah disalurkan kepada penggiat sektor pelancongan yang terkesan. Salah satu daripada inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang ialah peruntukan sebanyak RM10 juta bagi Skim Peka 2.0 yang juga dikenali sebagai Penang Business Continuity Zero Interest Loan. Lebih daripada 100 permohonan telah diterima untuk membantu penggiat-penggiat industri yang terjejas akibat daripada pandemik ini.

Kita terpaksa menerima hakikat bahawa sektor pelancongan akan berubah selari dengan normal-normal baru yang kita sedang adaptasi. Saya yakin, semua pemegang taruh pelancongan ini sama ada daripada pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan juga para pelancong akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan di semua tarikan pelancongan di negeri ini, dan akan mendokong prinsip “Pelancongan Bertanggungjawab” yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada YB Yeoh Soon Hin, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, serta jawatankuasa beliau, dan juga pihak konsultan, yang telah berjaya menghasilkan dokumen yang penting ini.  

Akhir kata, marilah kita sama-sama berganding bahu dan bertanggungjawab untuk terus menjadikan negeri ini sebagai teladan, bagi memberi inspirasi kepada seluruh negara dan memposisikan Pulau Pinang sebagai negeri yang mesra pelancong, dengan nilai hospitaliti dan kualiti produk yang tinggi serta mempunyai “value for money” yang tinggi, dan akan terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri.

Terus amalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal penggunaan pencuci tangan dan patuh SOP. Dengan ini, sama-sama kita boleh mendatarkan lengkungan graf kes positif COVID-19 di negeri dan negara kita.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang