MAJLIS PENYERAHAN KUNCI UNIT RUMAH PROJEK PERUMAHAN KAMPUNG KEPALA GAJAH, TAMAN SEJAHTERA RAKYAT
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN KUNCI UNIT RUMAH PROJEK PERUMAHAN KAMPUNG KEPALA GAJAH, TAMAN SEJAHTERA RAKYAT,
DAERAH SEBERANG PERAI SELATAN (SPS)
9 MEI 2021
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh Deo
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan sempena Majlis Penyerahan Kunci Unit Rumah Projek Perumahan Kampung Kepala Gajah, Taman Sejahtera Rakyat, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada petang yang berbahagia ini.
Sesungguhnya projek pembangunan ini mencatatkan peristiwa penting bukan sahaja kepada para pembeli yang dapat memiliki kediaman sendiri menjelang sambutan hari raya yang bakal tiba, tetapi turut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan pembangunan seimbang terutama di kawasan Seberang Perai.
Selain daripada mentransformasikan Kampung Kepala Gajah kepada pembangunan yang lebih moden dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur, Kerajaan Negeri percaya projek perumahan ini mampu menjadi ‘game changer’ dalam meningkatkan taraf sosial dan ekonomi penduduk tempatan.
Seperti yang dimaklumkan, cadangan pembangunan perumahan mampu milik Kampung Kepala Gajah ini telah dipersetujui untuk dilaksanakan melalui keputusan Pihak Berkuasa Negeri pada 4 Julai 2018 yang mana diputuskan supaya Perbadanan Ketua Menteri (CMI) menjadi pemilik tanah dan pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bertindak sebagai Pengurus Projek.
Melalui pihak PDC, pihak kontraktor DV Engineering Sd. Bhd. telah dilantik bagi melaksanakan pembinaan 41 unit rumah teres setingkat ini.
Kerja-kerja pembinaan RMM telah dimulakan pada 25 Oktober 2017 dan sepatutnya siap pada 21 April 2019. Namun, atas faktor keadaan tanah yang perlu dibaik pulih dan diikuti pula wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara, maka projek pembinaan tidak dapat disiapkan mengikut jadual. Dengan itu, kelulusan tempoh lanjutan masa (EOT) telah diberikan kepada pihak kontraktor beberapa kali.
Setelah menunggu hampir beberapa tahun, akhirnya projek RMM ini dapat jua disiapkan dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) diperolehi pada 30 Januari 2021 dan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) diperolehi pada 8 April 2021.
Unit RMM Kampung Kepala Gajah yang kini dikenali sebagai Taman Sejahtera Rakyat telah ditawarkan kepada pembeli potensi melalui surat tawaran yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan pada 8 Mac 2021. Manakala cabutan undi juga telah dibuat pada 2 Mei 2021.
Dengan siapnya projek RMM ini, adalah diharapkan agar permintaan perumahan khususnya unit RMM A (kos rendah) di kawasan ini telah dipenuhi, sekaligus merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Sekian, terima kasih.