MAJLIS BERBUKA PUASA MASJID ALIMSHAH WALEY, LEBUH CHULIA
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA MASJID ALIMSHAH WALEY, LEBUH CHULIA, GEORGE TOWN
8 MEI 2021
____________________________________________________
Yang Berusaha Tuan Haji Idris bin Salam
Pengerusi Masjid Alimshah Waley
Yang Dihormati Ustaz Mohammad Fadzil bin Alias
Imam Masjid Alimshah Waley
Tuan Haji Hussien
Pengerusi Persatuan Penduduk
Barisan Jawatankuasa Masjid
Para Jemputan
Tuan- tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Masjid Alimshah Waley atas jemputan sempena Majlis Berbuka Puasa pada petang yang berbahagia ini.
Meskipun terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu yang ketat bagi membendung penularan wabak COVID-19, saya gembira melihat pematuhan yang sungguh baik yang telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Masjid sepanjang mengendalikan program.
Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli kariah (penduduk) Masjid Alimshah Waley yang sentiasa aktif dan memainkan peranan yang cukup besar dalam mewujudkan semangat muhibah dan toleransi antara satu sama lain. Sesungguhnya jalinan kerjasama ini telah menyumbang kepada kekuatan dalam komuniti ini sendiri terutama dalam pembentukan modal sosial masyarakat.
Kewujudan komuniti masjid ini di tengah-tengah kota warisan dunia ini turut menyumbang keunikan Pulau Pinang terutamanya dalam industri pelancongan yang juga merupakan nadi utama penyumbang kepada pendapatan negeri. Keharmonian kaum bukan sahaja penting dalam memajukan negara malah saya yakin ianya juga antara inti pati ajaran agama Islam.
Golongan yang kurang berkemampuan diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya daripada pengurusan Masjid Jamek Alimshah Waley. Melalui inisiatif program Zakat, saya dimaklumkan bahawa seramai 10 buah keluarga kurang mampu dan ibu tunggal telah terpilih untuk menerima bantuan bernilai RM300 setiap seorang dan 6 orang fakir miskin akan menerima bantuan bernilai RM150 setiap seorang.
Semoga dengan sedikit bantuan ini dapat melegakan dan menceriakan golongan ini dalam menjalani ibadat puasa dan membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal kunjung tiba tidak berapa lama lagi.
Akhir sekali, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Masjid dan seluruh penduduk Kariah Masjid Alimshah Waley yang menjayakan majlis pada petang ini.
Sekian, terima kasih.