MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA FAKIR MISKIN ANJURAN ADUN DATOK KERAMAT

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA FAKIR MISKIN ANJURAN ADUN DATOK KERAMAT

 

1 MEI 2021

 

 

Encik Izwannizam Bin Abdul Kader

Pengerusi Masjid Acheh Kebun Lama

Yb Jagdeep Sigh Deo

ADUN Datok Keramat

YB Daniel Gooi Zi Sen

ADUN Pengkalan Kota

Dr Roslan Ahmad

Pengerusi Parti Amanah Negeri Pulau Pinang

Tuan Haji Mohamed Yusoff bin Mohamed Noor

Ahli Majlis MBPP

Encik Ambran

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang

Rakan-rakan media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Salam Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Masjid Acheh Kebun Lama atas jemputan sempena Majlis Berbuka Puasa pada petang yang berbahagia ini.

Kita bersyukur pada tahun ini kita semua berkesempatan untuk berkumpul dalam majlis sebegini meskipun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu yang ketat bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Saya gembira dengan komitmen dan tanggungjawab yang dimainkan oleh anda semua sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa menjadikan kebajikan sosial masyarakat sebagai antara agenda utama dalam pertubuhan masing-masing.

Sesungguhnya, kekuatan dan idea di sebalik penubuhan sesebuah NGO ini adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan sosial rakyat secara keseluruhannya, di samping bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menjayakan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang digalakkan untuk kita melakukan amal kebaikan dan kerja-kerja kebajikan. Demi menyahut seruan ini, seramai 150 asnaf dari sekitar kawasan Kebun Lama telah terpilih untuk menerima bantuan hamper yang bernilai RM50 setiap seorang.

Semoga dengan bantuan ini dapat mengukir senyuman kegembiraan dan memberi sinar harapan terutama ketika menyambut Bulan Ramadan yang mulia dan persiapan Aidilfitri yang bakal menjelma.

Di Pulau Pinang, kita mempunyai pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dan lantang bersuara. Walaupun ada kalanya berbeza pendapat dan pendirian, tetapi kita sentiasa menghargai perbezaan ini dan memberi keutamaan dalam memastikan hak dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi agenda yang penting dalam pembangunan negeri, sekaligus merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Selain daripada menjadi suara pengimbang, ada juga yang memainkan peranan mereka sebagai penghubung masyarakat dan menjalankan tangggungjawab sosial tanpa mengira batas perkauman.

Dalam kita melaksanakan tanggungjawab yang satu ini dengan semangat bulan Ramadan yang mulia, perlu diingat kita semua masih belum bebas daripada belenggu wabak COVID-19. Justeru segala pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu ini perlulah sentiasa dipatuhi agar kita dapat bersama-sama memerangi COVID-19 dan kembali hidup seperti sedia kala.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada jawatankuasa pengelola yang telah menjayakan majlis pada hari ini. Semoga gerak kerja amal dan semangat kerjasama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang