KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERTARIKH 19 NOVEMBER 2021 DI KOMTAR, GEORGE TOWN
TAMBAHAN FASILITI SUNTIKAN DOS PENGGALAK, SISTEM KESIHATAN NEGERI TERKAWAL SENTIASA BERSIAP SIAGA
Sehingga 18 November 2021, sebanyak 73 fasiliti swasta (klinik dan hospital) serta sebuah ‘Health Care Organisation’ (HCO, dengan kapasiti melebihi 1,000 suntikan/sehari) beroperasi sebagai pusat pemberian suntikan dos penggalak (booster) di negeri ini.
Dalam usaha meningkatkan lagi kadar suntikan sedia ada, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kini dalam proses mengenal pasti beberapa lagi HCO membabitkan dewan-dewan yang bersesuaian. Umumnya, kesedaran berhubung penerimaan dos penggalak perlu ditingkatkan lagi memandangkan daripada jumlah janji temu yang diberikan menerusi aplikasi MySejahtera, hanya 60-70 peratus hadir mendapatkan suntikan.
Berhubung trend jangkitan COVID-19 di negeri Pulau Pinang, sejak pelaporan kes harian tertinggi sebanyak 2,474 pada 8 September 2021 (minggu epid 36), kini ia menunjukkan trend menurun. Bagi minggu epid 46, julat data harian adalah di antara 220 - 327 kes. Sehingga 18 November 2021, sebanyak 327 kes baru telah dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) JKNPP, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Pulau Pinang adalah sebanyak 149,707 kes.
Bagi pelaporan kluster pula, untuk minggu epid 46, terdapat pertambahan tiga kluster baru dari sektor perkilangan. Sehingga kini, terdapat sembilan (9) kluster aktif iaitu sektor perkilangan (3); tempat kerja (2); institusi pendidikan (1) dan kumpulan berisiko tinggi (3). Kerajaan Negeri dan JKNPP sentiasa mengambil langkah berwaspada serta pemantauan lanjut bagi menghalang rantaian perebakannya.
Daripada segi kemudahan fasiliti perubatan, sehingga 18 November 2021, jumlah penggunaan katil akut untuk pesakit COVID-19 adalah sebanyak 37 peratus di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Kepala Batas (34 peratus). Manakala penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 53 peratus dan semua kelengkapan sentiasa berada pada tahap siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), jumlah penggunaan katil di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC), Jawi adalah sebanyak 17 peratus manakala PKRC Kompleks Masyarakat Penyayang diletakkan pada keadaan bersiap sedia dan bakal diaktifkan apabila diperlukan.
Penularan jangkitan COVID-19 masih berlaku dalam komuniti. Justeru, umum adalah digalakkan untuk mengamalkan Kesihatan Awam Kendiri/TRIIS (Test, Report, Inform, Isolate, Seek) khususnya segera membuat ujian saringan sama ada secara kendiri atau di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami simptom-simptom jangkitan seperti selesema, demam, batuk dan lain-lain bagi kawalan penularan di peringkat awal.
Semua pihak khususnya mereka yang positif dan menerima arahan ‘Home Surveillance Order’ (HSO) menerusi aplikasi MySejahtera walaupun tanpa gelang ‘pink’ secara fizikal juga adalah ditegaskan supaya mengikut arahan dikeluarkan.
Patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Terus amalkan disiplin diri, disiplin masyarakat serta disiplin warganegara.
Penang Lawan COVID-19!