MAJLIS PERASMIAN TAPAK FOOD TRUCK BATU MAUNG & SERAHAN SUMBANGAN PUSH CARTS OLEH SHOPEEPAY MALAYSIA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN TAPAK FOOD TRUCK BATU MAUNG & SERAHAN SUMBANGAN

PUSH CARTS OLEH SHOPEEPAY MALAYSIA

KEPADA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

8 JANUARI 2022

TAPAK FOOD TRUCK BATU MAUNG FOODIES,

JAMBATAN KEDUA

Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Halim Hussain

Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan

Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung

Yang Berbahagia Encik Aziz Bin Bakar

Ketua Pegawai Eksekutif

Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang

Yang Berbahagia Encik Alain Yee

Ketua ShopeePay Malaysia

Yang Berhormat ADUN-ADUN

Yang Berusaha Tuan Mohd Hafiz Aswad Bin Nadzri

Pegawai Daerah Barat Daya Pulau Pinang

Yang Berusaha Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang, PDC & Shopee Malaysia

Semua dif-dif jemputan yang dikasihi

Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan di bawah Pejabat Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di bawah kepimpinan YB Dato’ Abdul Halim Hussain atas komitmen yang diberikan dalam memastikan Majlis Perasmian Tapak Food Truck Batu Maung & Serahan Sumbangan Push Carts oleh ShopeePay Malaysia kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari ini dapat diadakan dengan jayanya.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan terima kasih dan amat mengalu-alukan jalinan serta kolaborasi bersama ini di mana ShopeePay Malaysia telah sudi memilih Pulau Pinang bagi melaksanakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Dengan tema “ShopeeGivesBack”, ShopeePay Malaysia akan menyumbang sebanyak 20 push carts kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mana kesemua push carts ini akan disalurkan kepada para peniaga mikro yang terdiri daripada peniaga dan penjaja daripada golongan B40 yang merupakan antara kelompok yang paling terkesan semasa kita berdepan pandemik COVID-19.

Sehubungan dengan itu, sumbangan push carts yang dilengkapi dengan bumbung, rak dan ruang penyimpanan ini akan diuruskan dengan segera oleh pejabat Exco yang telah dipertanggungjawabkan supaya para peniaga mikro B40 yang layak ini dapat memulakan perniagaan dengan kadar yang segera.

Adalah diharapkan dengan pelbagai bentuk dan suntikan yang diperolehi ini, ia akan memberi sedikit kelegaan dan mengembalikan keyakinan para peniaga mikro untuk memulakan langkah dan strategik baru untuk terus berdaya maju dalam perniagaan yang diusahakan ini. Sememangnya Kerajaan Negeri amat memahami keluh-kesah dan sentiasa bersama anda.

Selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluaga Inspirasi Negara, fokus Kerajaan Negeri sudah semestinya untuk memulihkan semula setiap segmen sosio-ekonomi negeri kita. Usaha untuk memperkukuh daya tahan turut digerakkan bagi mengoptimumkan keupayaan fungsi ekonomi dan sistem kesihatan.

Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui PDC akan meneruskan pelaksanaan Skim Pinjaman Harapan (SPH) dengan peruntukan sejumlah RM1 juta pada tahun ini untuk menawarkan pinjaman kepada peniaga-peniaga kecil bagi menambah modal dan mengembangkan perniagaan mereka.

Selain itu, PDC sebagai agensi pelaksanaan telah dipertanggungjawabkan untuk meneruskan Skim PEKA PKS 3.0 yang telah disempurnakan pada bulan Disember yang lalu. Sebelum ini, Skim PEKA PKS 1.0 dan 2.0 telah dilancarkan di mana pinjaman yang berjumlah RM40 juta telah ditawarkan.

Inisiatif PEKA PKS 3.0 baru-baru ini telah menyalurkan pinjaman sejumlah RM5 juta kepada 409 usahawan mikro, kecil dan sederhana yang tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa sebelum ini untuk membantu mereka bangkit semula meneruskan perniagaan. Jumlah pinjaman adalah antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi tempoh 30 bulan dengan moratorium untuk 6 bulan pertama.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDC yang telah menyediakan tapak dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang telah mengeluarkan lesen penjaja kepada penganjur bagi menempatkan para peniaga dan penjaja food truck dengan lebih selesa dan kini, kawasan ini telah pun menjadi antara kawasan tumpuan orang ramai.

Akhir kata, saya mengucapkan tahniah atas usaha dan inisiatif MMK Pembangunan Usahawan, ShopeePay Malaysia, PDC dan MBPP serta semua yang terlibat atas usaha membantu penjaja dan peniaga kecil untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dan bangkit semula pasca COVID-19.

Dengan kata-kata ini, saya sukacitanya merasmikan Tapak Food Truck Batu Maung Foodies 2nd Bridge dan Serahan Sumbangan Push Carts oleh ShopeePay Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang