MAJLIS PENGHARGAAN KEPADA PETUGAS-PETUGAS SKUAD KHAS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP) PASCA BANJIR “GIGIH PERKASA”
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENGHARGAAN
KEPADA PETUGAS-PETUGAS SKUAD KHAS
MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)
PASCA BANJIR “GIGIH PERKASA”
27 JANUARI 2022 (KHAMIS)
BALLROOM, PARAS 5, THE TOP KOMTAR
(VIA ONLINE)
YB Dato' Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus,
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa
Yang Berbahagia Dato' Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Yang Berusaha Ir. Rajendran a/l P. Anthony
Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Ahli Majlis-Ahli Majlis MBPP
Ketua-ketua Jabatan
Kakitangan-kakitangan MBPP
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas undangan sempena Majlis Penghargaan Kepada Petugas-Petugas Skuad Khas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Pasca Banjir “Gigih Perkasa” pada petang yang berbahagia ini.
Walaupun saya tidak dapat hadir secara fizikal namun majlis ini amat dekat di hati dan saya gembira diberi kesempatan untuk turut serta meskipun hanya secara atas talian.
Kita sedia maklum bahawa kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri Selangor dan Pahang baru-baru ini adalah antara paling buruk dalam sejarah negara. Justeru, berbekalkan pengalaman berharga ketika berdepan situasi banjir besar pada November 2017 dan juga penglibatan dalam misi bantuan bencana banjir di Pantai Timur pada tahun 2014, Pulau Pinang melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terus mengambil langkah segera dengan menggerakan aset dan logistik ke negeri-negeri berkenaan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merupakan antara pasukan terawal yang menggerakan pasukan misi pasca banjir ke Selangor dan Pahang pada 19 Disember yang lepas sebagai membalas jasa atas bantuan yang dihulurkan ketika Pulau Pinang dilanda musibah sebelum ini.
MBPP telah menggerakkan seramai 90 orang kakitangan dan turut menghantar segala keperluan peralatan dan kenderaan bagi digunakan dalam kerja-kerja operasi pembersihan pasca banjir di sekitar Selangor dan Pahang.
Selain daripada itu, Pulau Pinang turut menghantar anggota perubatan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT), pasukan sukarelawan 'Save City Volunteers' dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi memenuhi keperluan dalam misi kemanusiaan khas Kerajaan Negeri untuk membantu mangsa banjir di negeri yang terlibat.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada wira-wira skuad misi banjir MBPP dan semua pihak yang terlibat yang telah menyelesaikan tugasan ini dengan jayanya. Meninggalkan anak-anak dan keluarga untuk berdepan satu tugasan yang cukup besar, pujian harus diberikan untuk segala komitmen dan kerja keras yang disumbangkan ini. Syukur kini keadaan telah kembali selamat dan beransur pulih.
Jasa tuan-tuan akan dikenang dan amat dihargai nilainya. Saya berharap momentum dan semangat kerjasama ini akan terus dikekalkan dan ditanam agar menjadi penyuntik semangat untuk terus maju ke hadapan.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat yang membawa nama baik Pulau Pinang dalam menyempurnakan misi kemanusiaan ini, terutama kepada YBhg. Datuk Bandar MBPP selaku Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan (MALA) yang telah mengambil langkah proaktif dalam menggerakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain untuk turut memulakan langkah sama menghantar bantuan segera ke negeri yang dilanda banjir.
Izinkan saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun:
Pergi mendaki Gunung Pulai
Mendaki gunung bukanlah senang
Khidmat tuan-tuan tidak ternilai
Segala jasa tetap dikenang
Sekian, terima kasih.