SESI LIBAT URUS PELAKSANAAN UMUR KELAYAKAN PENGUNDI 18 TAHUN DAN PENDAFTARAN PEMILIH SECARA AUTOMATIK

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA SESI LIBAT URUS PELAKSANAAN UMUR KELAYAKAN PENGUNDI 18 TAHUN DAN PENDAFTARAN

PEMILIH SECARA AUTOMATIK

12 FEBRUARI 2022 (SABTU)

DEWAN SRI PINANG

Yang Berhormat Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Dr. Azmi Sharom

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

Yang Berusaha Puan Norzawatil Amali binti Alias

Timbalan Setiausaha (Strategik) Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

 

Yang Berusaha Dr. Siti Nazariah binti Abdul Zalim

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang

 

Para Jemputan

 

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran semua ke Sesi Libat Urus Pelaksanaan Umur Kelayakan Pengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik pada pagi yang berbahagia ini.

Sepertimana yang semua sedia maklum, Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri yang Ke-14 pada 1 September 2021 yang lalu telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan 2021) menurunkan had umur warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun dengan undian sebulat suara. Pindaan ini telah dikuatkuasakan pada 9 Disember 2021.

Sehubungan itu, Pulau Pinang amat berbesar hati apabila dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin mengadakan Sesi Libat Urus ini untuk memberi penjelasan berkaitan pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang telah mula berkuat kuasa pada 15                             Disember 2021.

Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama  yang merangkumi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas            adalah seramai 5.7 juta orang telah pun diwartakan pada 14 Januari 2022. Pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik ini telah membawa kepada peningkatan jumlah pemilih berdaftar daripada 15.3 juta orang pemilih sebelum ini kepada 21.0 juta orang pada 31 Disember 2021 dan jumlah pemilih berdaftar ini dijangka akan meningkat setiap bulan.

Daripada 5.7 juta pemilih baharu yang telah didaftarkan ini, 256,734 orang adalah terdiri daripada warga Pulau Pinang. Jumlah pemilih berdaftar di Pulau Pinang telah meningkat daripada 966,878 orang sebelum ini kepada 1.22 juta orang.

Pertambahan jumlah pemilih ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada pertambahan jumlah pemilih di setiap DUN. Saya percaya semua YB berbesar hati menerima pertambahan jumlah pemilih kerana ia telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019 yang lalu. Semua Ahli Parlimen yang terdiri daripada pelbagai parti telah bersatu hati untuk menurunkan umur pengundi dan calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik.

Para hadirin sekalian,

Saya pasti sebahagian kita tertanya-tanya bagaimana pendaftaran pemilih secara automatik ini dilaksanakan dan  bagaimana prosedur pendaftaran pemilih secara automatik berbeza dengan prosedur yang dilaksanakan sebelum  ini. Oleh itu, pada hari ini kita akan dimaklumkan mengenai prosedur dan peraturan baharu berhubung urusan pendaftaran pemilih yang akan diterangkan sebentar lagi.

Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan SPR terutamanya kepada YBrs. Dr. Azmi Sharom, Timbalan Pengerusi SPR kerana dapat bersama memberikan penjelasan dalam program libat urus ini. Semoga taklimat yang akan disampaikan sebentar nanti memberi manfaat kepada kita semua.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sedaya upaya memberikan kerjasama bagi memastikan demokrasi negara ini dapat terus disuburkan dengan penglibatan semua pihak dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri ini terus terpelihara.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang