MAJLIS PERASMIAN TAMAN TRAFIK, TAMAN DAHLIA

TEKS UCAPAN YAB CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

MERANGKAP PENGERUSI LEMBAGA

PERBADANAN STADIUM

DAN KAWASAN LAPANG PULAU PINANG,

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

TAMAN TRAFIK, TAMAN DAHLIA

PADA 13 FEBRUARI 2022, JAM 5.00 PETANG

 

 

Yang Berhormat-Yang Berhormat

Ahli Parlimen dan ADUN;

Ahli Lembaga Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang;

Yang Berusaha Dato Lee Thian Chai

Managing Director, RK South Asia

Ketua-Ketua Jabatan;

Rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian;

Salam Sejahtera dan Selamat Petang.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) kerana telah berjaya menyiapkan projek Taman Trafik, Taman Dahlia ini.

Projek Taman Trafik ini merupakan satu lagi projek taman yang dilaksanakan oleh pihak PSDKLPP. Semasa cadangan awal untuk mewujudkan Taman Trafik ini dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang Bil 2 Tahun 2020, semua ahli mesyuarat telah bersetuju dengan sebulat suara untuk mewujudkan Taman Trafik yang pertama di kawasan Seberang Perai ini. Kini, Taman Trafik ini telahpun disiapbina mengikut jadual pembinaannya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kos pembinaan Taman Trafik ialah sebanyak RM83,350.00 dan ianya dilaksanakan melalui proses sebutharga terbuka. Komponen Taman Trafik, Taman Dahlia ini termasuk:

  1. Laluan Penjalan Kaki
  2. Papan Tanda Jalanraya
  3. ‘Speed Bump’
  4. ‘Roundabout’
  5. Pokok-pokok teduhan dan renek

Untuk menyemai kesedaran keselamatan jalanraya di kalangan kanak-kanak sejak kecil lagi, papan tanda isyarat jalanraya juga telah dipasang oleh RK South Asia dalam Taman Trafik ini. Lebih-lebih lagi, RK South Asia juga menaja dua puluh (20) unit basikal untuk kanak-kanak yang ingin mengayuh basikal di taman ini.

Dengan itu, saya yakin Taman Trafik, Taman Dahlia ini akan menjadi sebuah Taman Poket yang berkonsepkan trafik ini dapat memanfaatkan kanak-kanak supaya lebih memahami syarat-syarat keselamatan Jalan Raya di negeri Malaysia. Ia juga selaras dengan matlamat Penang2030 iaitu “A Family-Focused Green and Smart State that Inspires the Nation”.

Untuk makluman hadirin yang dihormati sekalian, selain daripada Taman Areca dan Taman Trafik Taman Dahlia ini, Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang juga dalam usaha untuk meyempurnakan satu lagi Taman di daerah Seberang Perai Tengah iaitu Taman Rimba WoodHAVEN. Saya difahamkan Taman Rimba WoodHAVEN ini akan mengabungkan ciri-ciri suasana sebuah rimba bandar yang sesuai untuk perkhemahan dan program rekreasi berkeluarga.

Justeru itu, saya yakin bahawa Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang akan terus membangunkan atau menaiktaraf lebih banyak kawasan lapang di Pulau Pinang dengan konsep taman yang dinamik demi mencapai matlamat mewujudkan suasana kehidupan yang lebih ceria dan aktif dalam kalangan rakyat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada petang ini, saya sekali lagi ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau PInang kerana telah dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyiapkan Taman Trafik Taman Dahlia. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan Majlis Perasmian Taman Trafik Taman Dahlia pada pagi ini.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Taman Trafik Taman Dahlia.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang