MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG

29 MAC 2022 | SELASA

GRAND BALLROOM THE TOP, KOMTAR

 

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang

 

YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat

Yang Berbahagia Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri

Warga Penjawat Awam Negeri Pulau Pinang

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak jawatankuasa penyelaras majlis yang telah memastikan Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bil. 2/2022 pada pagi ini berjalan dengan baik dan lancar.

Kerajaan Negeri telah membuat ketetapan untuk mengadakan majlis sebegini dengan lebih kerap bagi membolehkan platform ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk kita berinteraksi dan mengemaskini segala pencapaian dan keperluan yang perlu diambil bagi memenuhi tuntutan semasa dan menjadikan perkhidmatan awam sebagai sebuah organisasi yang terus kekal unggul dan relevan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

PERALIHAN KE FASA ENDEMIK COVID-19

Sebaik mana pun dasar dan pelan yang digubal oleh pucuk kepimpinan negeri, ia tidak akan bermakna sekiranya pelaksanaannya tidak cekap dan berkesan. Justeru, apa juga jawatan dan pangkat yang dipegang baik dalam jabatan/agensi Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan, peranan dan penglibatan anda semua adalah sangat diperlukan dalam menjayakan aspirasi bersama ini.

Dalam pada kita menuju ke fasa endemik COVID-19 yang akan bermula pada 1 April 2022 ini, saya berharap agar kita semua telah bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi peralihan ini. Sebagai penjawat awam, kita adalah benteng utama dalam membantu mencegah penularan jangkitan COVID-19.

Oleh itu, kita perlu memastikan agar kita sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik untuk hadir bekerja memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat negeri Pulau Pinang.

Jika diimbas kembali, sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19, pelbagai pendekatan dan inisiatif berimpak tinggi telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan penularan jangkitan wabak ini berada dalam keadaan yang terkawal.

Kerjasama dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pertahanan Awam dan NADMA adalah amat memberangsangkan dalam sama-sama berganding bahu melalui misi dan kempen Penang Lawan COVID-19. Semoga kerjasama ini dapat dimantapkan dan diperkasakan untuk meneruskan legasi kecemerlangan pencapaian negeri Pulau Pinang.

Antara inisiatif yang telah diwujudkan adalah di mana negeri Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin di bawah Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN); mewujudkan COVID-19 Emergency Careline dan Penang COVID-19 Unified Command Centre (PUCC), pengagihan pelbagai bentuk bantuan sama ada kewangan, peralatan pembelajaran mahupun keperluan asas kepada individu dan sektor yang paling terkesan, memperkenalkan Sistem Akreditasi COVID-19 serta menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma dan membiayai tambang feri untuk semua rakyat Malaysia di Pulau Pinang.

Oleh itu, saya berharap agar usaha-usaha ini dapat terus kekal dan dapat juga ditambahbaik dari semasa ke semasa dalam membantu rakyat negeri Pulau Pinang bangkit untuk kembali meneruskan kehidupan yang normal malah lebih baik dalam fasa endemik kelak di mana hampir kesemua sektor-sektor akan kembali beroperasi secara sepenuhnya seperti sedia kala.

Hadirin yang dihormati sekalian,

PENJAWAT AWAM TONGGAK UTAMA KERAJAAN NEGERI

Anda semua adalah agen reformasi barisan paling hadapan yang menentukan kejayaan setiap dasar Kerajaan Negeri untuk kepentingan rakyatnya. Umpama tiang yang menjadi tonggak utama sebuah rumah, penjawat awam haruslah sentiasa produktif dan berintegriti dalam menghasilkan produktiviti yang tinggi agar rumah kita terus teguh dan kukuh untuk rakyat terus berlindung di dalamnya. Oleh itu, penjawat awam harus sentiasa menunjukkan contoh yang baik dan meninggalkan segala tingkah laku buruk yang boleh menjejaskan imej pentadbiran.

Mendepani zaman komunikasi digital tanpa sempadan ini, cabaran besar menanti kita semua di saat banyak maklumat dan berita terkini hanya boleh diperolehi di hujung jari. Begitu juga penggunaan media sosial yang sangat tinggi di kalangan masyarakat. Hampir setiap hari ada sahaja perkara-perkara yang tular dan dikongsi di media sosial sama ada yang tulen mahupun juga yang buruk.

Sebagai penjawat awam, kita haruslah bijak dalam penggunaan media sosial dan perlu lebih berhati-hati. Terutamanya petugas barisan hadapan atau yang terlibat dengan perkhidmatan secara terus kepada rakyat seperti di kaunter-kaunter utama, kita seharusnya perlu memberi khidmat yang terbaik dalam membantu dan memudahkan urusan rakyat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

PUPUK INTEGRITI DAN JAUHI RASUAH

Kerajaan Negeri amat memandang serius dan peka terhadap isu-isu tadbir urus dan integriti terutamanya melibatkan risiko rasuah dan pengukuhan integriti perkhidmatan awam negeri selaras dengan hasrat Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 iaitu untuk ‘Menjadikan Malaysia Sebuah Negara Yang Dikenali Kerana Integritinya, Bukan Kerana Rasuahnya’.

Justeru, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 31 Julai 2021 juga turut mengambil pendekatan sama dengan telah meluluskan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2021-2024. OACP yang dibangunkan bagi tempoh empat (4) tahun akan datang ini amat signifikan dalam mencerminkan harapan rakyat untuk membentuk sebuah negeri yang bebas rasuah dengan warganya membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Kerajaan Negeri tidak berkompromi dalam soal yang berkaitan dengan isu yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan yang mendorong kepada aktiviti rasuah. Kita mempunyai akta yang kukuh untuk melindungi mereka yang melaporkan rasuah atau salah laku ini. Tidak wujud istilah “tidak mahu menabur pasir dalam periuk nasi orang”. Penjawat awam hendaklah berani melaporkan rasuah, salah guna kuasa atau jenayah yang berlaku tidak kira siapa dan kedudukan mereka dalam perkhidmatan awam.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, aspek kawalan dalaman organisasi perlu dipertingkat dengan mengurangkan risiko rasuah dalam penyampaian perkhidmatan dan memastikan matlamat penyampaian perkhidmatan tersebut tercapai, mengoptimumkan kos dan wang awam serta memberi manfaat bukan sahaja kepada penerima sasaran tetapi juga masyarakat umum.

Secara umumnya, iklim etika dan integriti yang tinggi dalam keseluruhan organisasi kerajaan serta amalan integriti terbaik oleh penjawat awam dan juga pemimpin tertinggi kerajaan akan mengurangkan risiko rasuah dalam pentadbiran awam keseluruhannya.

Kita sebagai jentera pentadbiran harus dengan ikhlas menyatakan bahawa pelaksanaan ini adalah penting bagi membantu Kerajaan Negeri merealisasikan Visi Penang2030 dan demi memastikan perkhidmatan awam Negeri Pulau Pinang mampu menangani isu rasuah menjelang tahun 2024.

Justeru, saya ingin menyeru kepada semua Ketua Jabatan dan Agensi untuk sentiasa mengingatkan pegawai dan kakitangan di jabatan/agensi masing-masing untuk sentiasa memelihara diri dan juga integriti sebagai penjawat awam di mana sahaja berada serta perlu berkhidmat dengan penuh supaya kita dapat memberikan contoh dan perkhidmatan yang cekap, akauntabiliti dan telus kepada rakyat sekaligus memacu kejayaan yang cemerlang kepada negeri Pulau Pinang.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan semua  yang hadir pada majlis pada hari ini. Marilah kita terus fokus, membulatkan azam dan terus bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan amanah dan penuh dedikasi agar lebih banyak kejayaan yang lebih besar dapat dinikmati oleh negeri Pulau Pinang.

Selamat Menyambut Bulan Ramadan dan Selamat Berpuasa terutama kepada warga penjawat awam yang beragama Islam.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang