MAJLIS APRESIASI PETUGAS BARISAN HADAPAN INSIDEN KEBAKARAN TAPAK PELUPUSAN SAMPAH PULAU BURUNG
TEKS UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS APRESIASI PETUGAS BARISAN HADAPAN
INSIDEN KEBAKARAN TAPAK PELUPUSAN SAMPAH
PULAU BURUNG, NIBONG TEBAL
29 MAC 2022 (SELASA)
DEWAN JAWI, SPS
YB Dato Dr. Ahmad Jailani bin Mohamed Yunus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh Deo
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa
YB Phee Boon Poh
Exco Alam Sekitar dan Kebajikan
Yang Berbahagia Dato Azhar bin Haji Arshad
Dato Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berbahagia Puan Marlia binti Mohd Belia
Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)
YB Ahli Parlimen dan ADUN
Ketua-ketua Jabatan
Para Jemputan
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang telah memastikan Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Insiden Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal pada malam ini dapat diadakan dengan jayanya.
Meskipun mungkin diadakan secara ringkas sahaja, tetapi ia sebenarnya memberi makna yang cukup besar kepada Kerajaan Negeri dalam menyatakan rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada 277 orang petugas yang telah terlibat dalam insiden tersebut.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Imbas kembali, Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 82 ekar telah terlibat dalam insiden kebakaran pada 12 Januari 2022 dan diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kawasan yang terlibat dengan kebakaran tersebut adalah melibatkan keluasan 28 ekar dan memberikan kesan langsung kepada 2 kawasan perumahan berhampiran iaitu di Ladang Byram yang melibatkan 38 buah keluarga dan 52 buah keluarga di Kampung Kebun Baru.
Operasi pemadaman telah menggunakan pelbagai jentera dan peralatan dan melibatkan koordinasi para petugas daripada pelbagai agensi negeri dan persekutuan serta bantuan daripada Bomba Sukarela sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) dan juga daripada Parit Buntar, Perak.
Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang turut memainkan peranan penting dalam memantau kualiti udara di sekitar kawasan tersebut. Selama 21 hari, kerjasama erat antara semua agensi dengan semangat kerja sebagai sebuah pasukan amat membantu dalam menjayakan misi pemadaman kebakaran ini dengan sebaiknya dan membolehkan penduduk yang terjejas kembali ke kediaman masing-masing.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kejadian bencana kebakaran tapak pelupusan sampah yang melibatkan pembebasan gas ke udara ini merupakan kejadian bencana yang jarang berlaku dan memberikan kesan yang sangat besar. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di bawah Pengerusi, Puan Marlia binti Mohd Belia yang merupakan Pegawai Daerah SPS berdepan cabaran namun ia telah diurus dan dapat diatasi dengan sangat baik.
Kerajaan Negeri amat berbangga dengan komitmen, tanggungjawab serta peluh dan keringat yang tidak mengenal erti penat lelah tuan-tuan dan puan-puan yang meletakkan kepentingan awam lebih daripada kepentingan peribadi dalam membantu memadamkan kebakaran serta memindahkan kesemua penduduk ke tempat yang lebih selamat.
Di sebalik tugas menguruskan bencana kebakaran ini, saya dimaklumkan ada juga di kalangan petugas barisan hadapan yang yang mengalami kecederaan sama ada kecederaan dari segi fizikal ataupun emosi. Oleh yang demikian, majlis ini adalah untuk anda semua yang telah sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan. Walau pun, bentuk sumbangan ini kecil tetapi ia tidak ternilai dengan segala jasa serta pengorbanan yang diberikan oleh semua.
Jasa tuan/puan amatlah tinggi nilainya dan penghargaan serta sumbangan yang diberikan pada hari ini diharap dapat menjadi penyuntik semangat agar dapat meneruskan usaha dan dedikasi tuan/puan pada masa akan datang. Syabas saya ucapkan kepada semua.
Saya berharap semua cabaran, dugaan dan kepayahan yang telah tuan/puan lalui menerusi kejadian ini dapat dijadikan pedoman dan kekuatan untuk kita mengorak langkah untuk lebih maju. Memang benar ianya bukan mudah, namun semangat sebeginilah yang diperlukan untuk kita terus berjaya dalam apa yang kita laksanakan.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan sekali lagi kepada ADUN Jawi, YB H’ng Mooi Lye, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan serta semua yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung yang telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang berlakunya kejadian kebakaran ini.
Sekian, terima kasih.