MAJLIS PECAH TANAH BAGI PEMBANGUNAN PERUMAHAN MAMPU MILIK SURIA 2, BANDAR CASSIA
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH BAGI PEMBANGUNAN PERUMAHAN MAMPU MILIK SURIA 2,
BANDAR CASSIA, BATU KAWAN
9 APRIL 2022
TAPAK SURIA 2, BANDAR CASSIA
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa
YB Kasthuriranni a/p Patto
Ahli Parlimen Batu Kawan
YB Goh Choon Aik
ADUN Bukit Tambun
Yang Berbahagia Dato' Azhar bin Haji Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Encik Aziz bin Bakar
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)
Puan Ainul Fadhilah binti Samsudi
Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP)
Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PDC
Ketua-ketua Bahagian
Para Media
Para Jemputan
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Bersyukur kita pada pagi ini dapat bersama-sama untuk menyaksikan satu lagi Majlis Pecah Tanah bagi projek pembangunan Perumahan Mampu Milik yang akan direalisasikan di Bandar Cassia, Batu Kawan ini.
Suria 2, Bandar Cassia akan menjadi antara pelengkap, bukan sahaja kepada Suria 1 yang mendapat permintaan yang cukup tinggi, malah turut akan menjadi nilai tambah kepada perkembangan dari segi perumahan, komersial dan runcit, perubatan serta pendidikan di kawasan Bandar Cassia, Batu Kawan yang bernilai tinggi ini.
Suria 1, Bandar Cassia yang terletak bersebelahan dengan tapak ini adalah fasa pertama dan merupakan salah satu daripada Skim Perumahahan Mampu Milik Kerajaan Negeri yang telah berjaya dibina dan diusahakan di atas kawasan seluas 6.4 ekar, dilengkapi dengan pelbagai fasiliti, sekaligus menyediakan persekitaran komuniti yang selesa dan kejiranan bersepadu untuk semua.
Manakala untuk projek Suria 2 ini pula, PDC juga akan membina sebanyak 520 unit rumah yang merangkumi 371 unit Rumah Mampu Milik C (RMM C) dan 149 unit Rumah Mampu Milik B (RMM B) yang juga merupakan Rumah Mampu Milik Kos Sederhana Rendah. Pembangunan di atas tanah seluas 7.48 ekar ini juga menyediakan tempat letak kereta dan motosikal bagi para penghuni.
Kerja-kerja pembinaan Projek Suria 2 ini akan dimulakan pada Disember 2022 dan kini ianya dalam proses pra-pembinaan dan penyerahan semula Kebenaran Merancang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Meskipun kita mengalami gangguan dan impak pembangunan ekonomi akibat pandemik COVID-19, namun cabaran ini perlu digalas untuk kita bangkit dengan segera bagi mencetus kembali lonjakan pembangunan ekonomi negeri kita. Justeru, Kerajaan Negeri mengambil cabaran ini dengan sepenuh hati dan kita komited untuk meneruskan segala perancangan untuk merealisasikan dan menjayakan aspirasi rakyat dan negeri Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri bertuah kerana setiap agensi di negeri ini menyumbang dan memainkan peranan yang cukup baik sekali. PDC umpamanya, sebagai peneraju pembangunan dan penggerak ekonomi Kerajaan Negeri, sentiasa memberikan kerjaama yang cukup baik dalam merancang dan menyusun strategi pembangunan, selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang ditunjangi empat (4) teras utama yang realistik.
Dalam usaha untuk mengekalkan kesinambungan asas realistik yang penting ini, PDC sentiasa komited terhadap perancangan dan pelaksanaan Projek Perumahan Mampu Milik (PMM) untuk warga Pulau Pinang, sebagaimana tahun-tahun sebelumnya bagi melunaskan tanggungjawab sosial perumahannya kepada golongan sasaran dengan harapan dapat menghasilkan pembangunan sektor perumahan yang lebih berdaya huni dan teratur bagi dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Di samping projek-projek Perumahan Mampu Milk yang telah dirancang sebelum ini, PDC turut mencari ruang dan peluang untuk menambah projek-projek Perumahan Mampu Milik yang baru berdasarkan permintaan dan lokasi yang sesuai agar pelaksanaannya adalah bertepatan dengan kehendak semasa di samping mewujudkan persekitaran hijau yang bersih, harmoni dan menjamin kesejahteraan penduduk Negeri ini.
Lantaran itu, PDC bersama dengan Kerajaan Negeri telah merancang beberapa Projek Perumahan Mampu Milik di mana projek-projek ini mampu merealisasikan impian setiap rakyat Negeri ini untuk memiliki kediaman mampu milik dengan persekitaran yang sihat dan selamat di samping mengekalkan ekosistem bumi hijau di persekitaran kediaman yang dihuni.
Sejak tahun 2013, PDC bersama Kerajaan Negeri telah mula membangunkan projek-projek Perumahan Mampu Milik di mana antara projek-projek Perumahan Mampu Milik yang kini telah siap sepenuhnya serta yang masih dalam peringkat pembangunan. Antaranya adalah seperti berikut:-
- Projek Suria 1 di Bandar Cassia, Batu Kawan, 520 unit telah disempurnakan penyerahan kunci pada Mei 2018.
- Projek Dua Residensi, Teluk Kumbar, 694 unit telah disempurnakan penyerahan kunci pada Oktober 2020.
- Projek Jiran Residensi, Butterworth, 707 unit telah disempurnakan penyerahan kunci pada Februari 2021.
- Projek Cecil Residensi, Georgetown, 348 unit yang masih dalam 38% pembinaan dan
- Projek Mak Mandin Residensi, Butterworth, 187 unit dalam pembinaan 42%
Setakat ini, PDC sendiri telah membantu Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 4,084 unit Rumah Mampu Milik - pecahan kesemua unit ini adalah merangkumi 1,921 unit telah siap dibina; 603 unit sedang dibina dan 1,560 unit dalam perancangan.
Secara keseluruhannya di Negeri ini, sebanyak 130,087 unit rumah meliputi 38,190 unit rumah telah siap dibina dan sedia diduduki, 19,640 unit lagi sedang dalam pembinaan dan 72,257 unit lagi telah diluluskan oleh Kerajaan negeri untuk dibangunkan.
Justeru, saya yakin bahawa dengan pelaksanaan projek Perumahan Mampu Milik yang dirancang rapi ini, rakyat Pulau Pinang akan dapat memiliki rumah sendiri dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Akhir kata, saya ingin berterima kasih kepada PDC atas sumbangan dan usaha gigih mereka yang begitu komited dalam menggalas amanah Kerajaan Negeri bagi bersama-sama merancang dan melaksanakan projek kediaman yang mampu melestarikan kehidupan yang harmoni, selamat dan terjamin untuk seluruh warga Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.