MAJLIS PERASMIAN PROJEK KERJA-KERJA PENGUKUHAN DAN PENAMBAHBAIKAN TEMBOK LAUT, PADANG KOTA LAMA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROJEK KERJA-KERJA PENGUKUHAN DAN PENAMBAHBAIKAN TEMBOK LAUT, PADANG KOTA LAMA

 

13 MEI 2022

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa

Yang Berbahagia Dato' Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berusaha Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ketua-ketua Jabatan

Para Jemputan

Rakan- rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin menzahirkan rasa syukur atas kesempatan untuk kita semua berkumpul dalam Majlis Perasmian Projek Kerja-Kerja Pengukuhan dan Penambahbaikan Tembok Laut Padang Kota Lama pada pagi yang berbahagia ini.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri sedang giat menaiktaraf dan meluaskan rangkaian reruang serta kemudahan awam bagi meningkatkan ketersambungan interaksi sosial di seluruh kawasan tumpuan di negeri ini, termasuklah Georgetown.

Inisiatif ini yang dipertanggungjawabkan kepada George Town Conservation Devalopment Corporation (GTCDC) sejak 2016 adalah berdasarkan North Seafront Master Plan iaitu Pelan Induk yang bertujuan menaiktaraf reruang awam berkualiti yang boleh diterima, menarik dan inklusif untuk semua di dalam Rancangan Kawasan Khas George Town.

Pelan Induk ini melibatkan kira-kira 14 projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM140 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri, MBPP dan Think City secara bersama. Daripada 14 projek tersebut (projek fizikal dan projek kajian), 10 daripadanya telah disiapkan setakat ini dengan penglibatan pelbagai agensi dan jabatan negeri termasuklah Projek Tembok Laut ini dengan kerjasama MBPP.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Projek Pengukuhan dan Penambahbaikan Tembok Laut yang berjaya direalisasikan ini merupakan salah satu projek yang menzahirkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan infrastruktur dan kemudahan awam yang selesa dan selamat kepada rakyat Pulau Pinang.

GTCDC iaitu sebuah agensi usaha sama antara Chief Minister Incorporated (CMI) dan Think City Sdn Bhd yang mewakili Kerajaan Negeri telah mengambil langkah positif menjalankan kajian yang menyeluruh merangkumi bidang sejarah kewujudan pembinaan tembok laut, warisan, kerja ukur persisiran pantai, kejuruteraan marin dan struktur dalam usaha untuk menaiktaraf dan memberikan wajah baru ke atas tembok laut ini yang semakin uzur sekaligus memastikan ciri-ciri keselamatan di kawasan sekitar dititik beratkan.

Hadirin sekalian,

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Berbahagia Datuk Bandar, kos keseluruhan untuk pembangunan jajaran Tembok Laut Esplanade termasuk promenade pejalan kaki sepanjang kira-kira 570 meter dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia adalah sebanyak RM12.9 juta dibiayai MBPP, selain tambahan sebanyak RM1.4 juta lagi daripada Kerajaan Negeri untuk projek Linear Garden yang akan dilaksanakan oleh MBPP pada tahun ini untuk melengkapkan fungsi reruang awam dan kawasan hijau berdekatan Tembok Laut ini.

Selaras dengan hasrat dan impian kita bersama dalam gagasan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, adalah diharapkan projek ini mampu memberikan dimensi baharu yang berimpak, bukan sahaja kepada pengunjung/rakyat tetapi kepada negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya.

Hadirin sekalian,

Pelaksanaan projek North Seafront berdasarkan Pelan Induk juga menunjukkan kelebihan pendekatan  berasaskan budaya yang menawarkan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan sambil mengekalkan nilai sejarah dan alam sekitar di Negeri Pulau Pinang.

Selain Tembok Laut, beberapa projek-projek utama  yang sedang dalam pelaksanaan di bawah Pelan Induk ini termasuklah projek konservasi Kota Cornwallis yang memartabatkan pemuliharaan Bangunan Warisan Kategori 1. Selain itu, terdapat juga projek-projek yang melibatkan naiktaraf laluan pejalan kaki di Lebuh Light serta di kawasan sekitar North Seafront bagi memastikan setiap kawasan tumpuan adalah dihubungkan dengan baik dan terancang. Dilaksanakan juga kerja-kerja menaiktaraf kemudahan awam dan taman permainan berhampiran Astaka Medan Selera serta Projek Linear Garden yang akan melengkapkan lagi ketersediaan kawasan Tembok Laut sebagai kawasan reruang awam.

 

Akhir kata, Kerajaan Negeri mengiktiraf dan menghargai penglibatan dan sumbangan semua pihak bagi menjayakan projek dan Majlis Perasmian pada pagi ini. Saya amat percaya dengan kerjasama erat ini, kita boleh berusaha mewujudkan persekitaran dan reruang awam yang selamat, selesa, mampan dan inklusif untuk semua.

Dengan ini, saya merasmikan Projek Kerja-Kerja Pengukuhan dan Penambahbaikan Tembok Laut, Padang Kota Lama.

Sekian, terima-kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang