MAJLIS PENGHARGAAN SUKARELAWAN BELIA PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PENGHARGAAN SUKARELAWAN

BELIA PULAU PINANG

 

14 MEI 2022

 

YB Soon Lip Chee                

Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang                  

                  

YB Daniel Gooi Zi Sen         

ADUN Pengkalan Kota          

                            

YB Teh Lai Heng         

ADUN Komtar               

                            

YB Ong Ah Teong                

ADUN Batu Lancang              

                            

YB Joseph Ng Soon Siang           

ADUN Air Itam              

                            

Dr Gwee Sai Ling                 

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang            

Para Sukarelawan Belia Pulau Pinang               

                            

Wakil-wakil Agensi                 

                            

Rakan-Rakan Media              

                            

Hadirin sekalian  

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) atas penganjuran Majlis Penghargaan Sukarelawan Belia Pulau Pinang Tahun 2022 pada pagi ini.

Sejak dilancarkan pada 1 Mac 2020, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kini telah berkembang dengan cukup positif. Platform ini telah menarik minat hampir 2,200 orang golongan belia untuk menceburi aktiviti kesukarelawan ini.

Melalui inisiatif ini, pelbagai program telah dirangka dan disusun untuk disesuaikan dengan model kesukarelawan meliputi pelbagai aspek pemerkasaan dan pemantapan kendiri. Asas ini dijadikan sebagai agenda penting untuk merangka teras dan strategi untuk kemajuan bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga kepada komuniti dan negeri secara keseluruhannya.  

Sememangnya Kerajaan Negeri bercita-cita tinggi untuk mewujudkan masyarakat yang progresif dan bernilai tinggi. Justeru, selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, penglibatan dan penyertaan ini sangat penting dalam usaha kita untuk memaksimakan golongan belia yang menjadi tonggak dan harapan negara.

Dengan objektif utama untuk mendedahkan para belia kita dalam aktiviti kesukarelawanan di samping meningkatkan semangat kepimpinan komuniti yang tinggi dan membina hubungan yang baik antara masyarakat, pendedahan awal ini sangat berguna terutamanya dalam aspek pembangunan belia secara holistiknya.

Kita percaya semangat kesukarelawanan ini sangat penting dalam memupuk nilai-nilai insaniah yang tinggi dalam kalangan belia dan masyarakat serta menyumbang kepada keseimbangan pembangunan negara dan insan. Semangat ini juga perlu diterapkan melalui kerjasama pelbagai pihak, sama ada individu, badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan mahupun institusi keluarga.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada PYDC yang telah menjadi penggerak utama dan sentiasa konsisten dalam membantu merealisasikan aspirasi ini secara kolektif untuk membangunkan negeri Pulau Pinang sebagai masyarakat maju dan progresif melalui pembangunan belia.

Tahniah dan syabas juga kepada Sukarelawan Belia Pulau Pinang yang akan menerima pengiktirafan Sumbangan Kecemerlangan 2022. Semoga dengan pengiktirafan ini dan segala usaha berterusan ini mampu meletakkan kedudukan Pulau Pinang selangkah lagi ke hadapan.

Selamat Berkhidmat kepada Sukarelawan Belia Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang